Saturday, May 31, 2008

Sumbangan ikhlas dituntut syarak

“APABILA mati seseorang itu, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakannya,” (hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah).

Dalam Surah al-Baqarah: ayat 261, pula yang bermaksud, “Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah amat luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Ayat berkenaan adalah antara berkaitan mengenai kepentingan amalan wakaf yang dituntut Islam walaupun hukumnya adalah harus.

Bagi orang yang mewakafkan hartanya ia dianggap sebagai sedekah jariah. Wakaf itu adalah suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.

Di negara ini, amalan wakaf dilaksanakan sudah dilaksanakan secara bersistematik oleh pelbagai pihak termasuk dikendalikan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri, juga dikendalikan majlis agama Islam negeri.

Dipetik menerusi lama web Jawhar, bahawa wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).

Wakaf adalah suatu pemilikan yang tidak sempurna kerana pemilikan ain (benda yang diwakafkan) adalah kerana Allah atau dihukumkan sebagai milik Allah. Adapun manfaat atau hasil wakaf itu kepunyaan Maukuf Alaih iaitu pihak atau jihah atau orang yang ditentukan menerima manfaat wakaf.

Harta wakaf boleh menyumbang dalam pembangunan sosioekonomi ummah contohnya mendirikan projek komersial seperti hotel wakaf, pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak Yatim, pusat perlindungan dan lain-lain selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Bahagian Wakaf terbahagi kepada dua:

Wakaf Ahli (Wakaf Keluarga): Iaitu wakaf yang memberi manfaat kepada keturunan ‘maukuf alaih’ seperti anak, cucu dan seterusnya. Contoh, “Saya mewakafkan semua harta saya kepada anak cucu dan keturunan saya untuk selamanya”.

Wakaf Khairi (Kebajikan): Iaitu wakaf yang diperuntukkan tujuan kebajikan semata-mata. Wakaf Khairi terbahagi kepada dua iaitu ;

Wakaf Am - Iaitu Wakaf yang tidak dikhaskan oleh pewakaf kepada pihak tertentu. Contohnya seperti seorang mewakafkan sebidang tanah untuk kebajikan am. Dalam wakaf ini, Nazir Wakaf (Pemegang Amanah) mentadbirkan tanah itu untuk apa juga bentuk pembangunan yang boleh memberikan hasil sebaik mungkin tanpa terikat dengan jenis kebajikan atau bentuk pembangunan tertentu. Manfaatnya pula diagihkan kepada apa juga bentuk kebajikan am yang mana pahalanya berterusan kembali kepada pewakaf.

Wakaf Khas - Wakaf yang manfaatnya dikhaskan kepada pihak tertentu seperti yang di tentukan oleh pewakaf. Contohnya: Wakaf rumah khas untuk anak yatim, Wakaf kedai hasilnya dikhaskan kepada masjid atau surau atau madrasah tertentu sahaja dan Wakaf untuk masjid, surau, madrasah, tanah perkuburan dan sebagainya.

Wakaf Am: Wakaf yang tidak dikhususkan oleh pewakaf.

Terdiri dari lima wakaf iaitu ;

Wakaf Irsod - Wakaf bukan daripada pemiliknya, bahkan wakaf daripada Raja atau harta Baitulmal pada masarifnya atau wakaf yang dijadikan oleh pihak kerajaan seperti yang diwartakan sebagai tapak masjid, surau, sekolah agama, rumah kebajikan Islam. Anak Yatim, tanah perkuburan termasuk tanah perkuburan awam.

Wakaf Saham - Mewakafkan saham syarikat perniagaan dengan belian atau saham sedia ada.

Saham Wakaf - Mewujudkan suatu wakaf musytarak melalui saham dengan syarat wakaf atau yang kemudian daripadanya diwakafkan.

Wakaf Musytarak - Penyatuan beberapa wakaf termasuklah wakaf yang diwujudkan melalui Istibdal dan saham wakaf.

Wakaf Musya’ - Mewakafkan apa-apa hak ke atas mana-mana harta yang dimiliki bersama yang tidak boleh dipecah bahagikan.

No comments: