Oleh Penulis Khas YaPEIM
Disiplin ilmu berpaksi asas agama dapat diketengah dalam konteks semasa
PERMASALAHAN berhubung bidang pengurusan bukan perkara baru. Sejak menjadi satu bidang ilmu yang tersendiri, ada banyak pemikiran, pandangan dan pendekatan yang diperkenalkan hingga tidak ada satu model dapat mewakili satu teori sejagat.
Dengan itu, kita lihat usaha mengkaji bidang pengurusan daripada pelbagai perspektif, termasuk perspektif Islam yang turut mengalami permasalahan dari segi pendekatan mana harus diambil supaya menjadi asas atau gagasan untuk kita berkembang dengannya.
Ketiadaan satu kerangka ilmu yang jelas menyebabkan kadang kala kita dilihat sebagai sekadar memberi perasa kepada sesuatu yang sudah wujud dan tidak lebih daripada itu, malah kita tidak mempunyai identiti tersendiri.
Sama ada kita setuju dengan pandangan ini atau tidak, terpulang kepada matlamat cuba dicapai. Sebarang usaha perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dan masih ada ruang untuk mengaturnya menjadi kerangka pemikiran serta disiplin ilmu yang mengutarakan ciri Pengurusan Islami utuh.
Perbahasan umum yang dibangkitkan dewasa ini ialah apakah wujud istilah atau disiplin Pengurusan Islami dan jenis pengurusan lain kerana pengurusan itu sendiri sesuatu yang berkecuali serta berbentuk sejagat, tidak mempunyai identiti agama.
Jadi, bagaimana sesuatu yang berkecuali itu diagamakan. Jika ini dapat dibuat, maka akan ada pelbagai pengurusan berasaskan agama seperti pengurusan Hindu, pengurusan Kristian, pengurusan Buddha dan lain lagi.
Kita perlu faham bahawa disiplin ilmu pengurusan adalah hasil jelmaan daripada pemikiran sekular yang berkembang sejak zaman pembaharuan di Eropah. Justeru, pembentukan ilmu itu sudah disisihkan daripada aspek keagamaan atas sebab sejarah bangsa Eropah itu sendiri.
Jika hujah seperti itu kita terima, maka pengurusan hanya dapat dilihat daripada perspektif (agama) berbeza tetapi masih berasaskan/bertunjangkan kepada ilmu pengurusan konvensional (Barat).
Masih ramai kalangan sarjana dan guru pengurusan baik yang Islam dan bukan Islam melihat bidang ilmu lain (sains, ekonomi, perbankan) juga menerima nasib sama kerana masih beranggapan semua ilmu itu berkecuali dan mempunyai etika tersendiri. Oleh itu, tidak perlu diberikan interpretasi agama terhadapnya.
Ada pula beranggapan jika kita melihat pengurusan kontemporari sebagai salah satu sistem mengikut disiplin ilmu pengurusan maka dengan itu kita boleh mengadakan sistem Pengurusan Islami. Ia adalah satu cabang dalam ilmu pengurusan semasa.
Pendapat itu juga beranggapan bahawa ia masih berpaksikan kepada disiplin ilmu sedia ada iaitu kita masih tidak bebas untuk meletakkan peradaban ilmu berasaskan kepada agama Ilahi.
Walau apa sekalipun hujah diberikan, ia seharusnya tidak melemahkan semangat ilmuwan dan intelektual Muslimin untuk berusaha mewujudkan gagasan Ilmu Pengurusan Islami berasaskan kepada pandangan alam Islam itu sendiri.
Pendekatan awal yang kita buat ini mungkin bersifat meminta maaf tetapi sebenarnya bermatlamat membentuk pengurusan Islami sebagai satu disiplin ilmu berpaksikan asas agama. Hanya dengan itu konsep dan falsafah bidang ilmu dapat diketengahkan dalam konteks semasa, iaitu selepas kita membuat penyelidikan ilmiah daripada sumber khazanah silam khususnya dari ulama tersohor.
Sehubungan itu, ia tidak memerlukan kaedah penstrukturan pemikiran agama bagi menyesuaikan sebahagian ciri kehidupan moden ini dalam Islam. Pengorbanan seumpama itu tidak seharusnya merosakkan akidah dan keimanan orang Islam sendiri.
Aspek pengurusan sama tua usianya dengan bangsa manusia. Sebagai satu amalan hidup, ia bukan sesuatu yang baru, malah sejak manusia bermasyarakat unsur kerukunan dan peradaban kehidupan itu sudah mula berfungsi.
Daripada kedudukannya yang primitif sehingga ke zaman moden di mana ada kesepakatan di antara manusia bagi menyerahkan sebahagian hak peribadi kepada pihak pemerintah supaya ketertiban kehi-dupan dapat dijalinkan dengan sempurna. Maka dengan itu undang-undang dan peraturan tertentu dibekalkan dari semasa ke semasa.
Kematangan bidang pengurusan mula dirasai dengan revolusi perusahaan Eropah pada abad ke-17 dan seterusnya selepas Peperangan Dunia Pertama di mana aspek tertentu pengurusan semakin penting di dunia perusahaan dan perniagaan.
Malah, ia mula menjadi subjek penting pusat pengajian di Eropah dan Amerika Syarikat. Kajian ilmiah dalam bidang ini menjadi semakin popular sehingga terbentuk pelbagai teori pengurusan kontemporari.
Perkembangan itu akhirnya menjadikan bidang pengurusan sebagai satu disiplin ilmu yang mempunyai gagasannya tersendiri. Semuanya itu berlaku dalam tempoh 200 tahun kebelakangan ini. Perlumbaan teori pengurusan itu semakin rancak di awal abad ini yang kadangkala seolah-olah saling bertentangan antara satu dengan lain.
Harold Koontz menyifatkan perkembangan ini sebagai belantara yang sudah pasti dalam keadaan berkecamuk, manakala Henry M Boetingger mentakrifkan ilmu pengurusan sebagai satu seni mewujudkan ketertiban kepada keadaan kucar-kacir.
Kesimpulannya, semua teori pengurusan itu boleh dikumpulkan kepada empat bidang iaitu Pendekatan Pengurusan Klasik, Pendekatan Pengurusan Tingkah Laku, Pendekatan Sistem dan Pendekatan Kuantitatif.
Kebanyakan berpendapat pengurusan moden boleh disifatkan sebagai seni melakukan sesuatu melalui manusia. Ia dengan sendirinya membatasi bidang ini kepada persekitaran organisasi saja yang mempunyai ciri:
Perlu ada manusia (lebih daripada seorang)
Perlu mempunyai punca yang terhad (modal, peralatan, pekerja)
Perlu mempunyai matlamat bersama.
Bagi memastikan sesuatu tugasan itu dapat dilaksanakan (oleh pekerja) maka ia memerlukan proses pengurusan supaya punca terhad tadi dapat digunakan sebaik mungkin. Dengan itu ia memerlukan kaedah perancangan, pengurusan dan pemantauan.
James A F Stonner menyatakan, pengurusan adalah satu proses merancang, menyusun, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi dan menggunakan sumber lain organisasi bagi mencapai matlamat organisasi.
Apa yang dapat diperhatikan di sini, bidang pengurusan yang dari segi amalan mempunyai pengertian luas disempitkan kepada aktiviti organisasi yang bermotifkan keuntungan maksimum semata-mata.
Perkembangan mutakhir dalam bidang ini pula menunjukkan pengurusan mempunyai nilai komersial tinggi dalam dunia persaingan sengit ia sudah tidak berkesempatan mengeluarkan teori tertentu tetapi hanya teknik pengurusan yang bertaburan dalam pasaran.
Jika tidak dihalusi sebahagian daripada teknik itu hanya indah daripada namanya saja tetapi tidak mempunyai sebarang makna. Di sinilah kita lihat ada sesuatu yang kurang dalam pengurusan moden yang harus disemak semula supaya satu pendekatan menyeluruh dan seimbang dapat dilaksanakan.
Wednesday, May 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment