JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri (Jain) mengambil pendekatan pencegahan melalui pelbagai program dianjurkan bagi mengukuhkan institusi keluarga dalam usaha mengatasi masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Program itu termasuk kursus pra-perkahwinan yang memberi pendedahan kepada pasangan ingin berkahwin mengenai tanggungjawab ibu bapa, seminar Rumahku Syurgaku, seminar keibubapaan, khutbah Jumaat dan kelas bimbingan fardu ain serta al-Quran.
Perkara itu dijelaskan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jakim, Zawiyah Hassan yang membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Institusi Agama dalam Menangani Isu Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak anjuran Jakim.
Beliau berkata, berbeza dengan institusi lain yang mempunyai tanggungjawab atau fungsi khusus, peranan dan tanggungjawab jabatan agama dalam menangani isu berkenaan adalah secara tidak langsung.
Katanya, Jakim dan Jain mengambil tiga pendekatan untuk menangani isu berkenaan iaitu mencegah, merawat dan membimbing melalui pelaksanaan program meliputi masyarakat pelbagai lapisan di seluruh negara.
“Jakim dan Jain tidak buat program yang khusus menjurus kepada masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Sebaliknya, kita membantu secara tidak langsung melalui pendekatan memberi kefahaman kepada orang ramai.
“Sebab itu tidak sepatutnya timbul tanggapan institusi agama tidak membantu menangani masalah ini kerana apa yang kami lakukan tidak secara khusus,” katanya.
Contohnya, modul praperkahwinan menekankan kepentingan membina keluarga bahagia dan setiap minggu dalam khutbah Jumaat, jemaah didedahkan maklumat mengenai kaedah atau cara mengatasi masalah termasuk kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Zawiyah berkata, melalui pendekatan rawatan, Jakim dan Jain menyediakan perkhidmatan kaunseling, Pusat Pembangunan Keluarga Islam (PPKI), Pusat Pembangunan Sosial (PPS) dan pusat pemulihan akhlak.
Katanya, Jakim juga mengambil pendekatan memberi bimbingan dalam soal jawab berkaitan agama selain sesi nasihat terutama dalam pendidikan anak-anak kepada ibu bapa yang ingin mendapatkan khidmat nasihat.
“Selalunya apabila menghadiri seminar atau memberi ceramah, ada yang minta nombor telefon dan selalunya saya beri. Selalunya, dalam sehari saya terima antara 50 hingga 200 SMS yang bertanyakan pelbagai soalan.
“Kadang-kadang tengah malam pun saya jawab SMS sebab saya tahu yang bertanya itu sedang menghadapi masalah dan memerlukan bantuan. Ini antara usaha kita lakukan untuk membantu masyarakat secara tidak langsung.
“Memang nampak kecil tetapi jika dibiarkan isu akan menjadi besar. Oleh itu, sedaya mungkin kita di Jakim memberi ruang supaya orang ramai dapat berhubung dan menerima maklum balas daripada kita,” katanya.
Beliau berkata, Jakim turut menyediakan ruangan soal jawab agama dalam laman web jabatan itu bagi memudahkan orang ramai bertanyakan soalan dan menerima kira-kira 7,000 e-mel yang meminta pelbagai pandangan serta nasihat bagi menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
Malah, katanya, dalam perkara dianggap remeh bagi sesetengah pihak seperti meminta doa untuk mendidik anak, pandangan mengenai pemilihan calon suami atau menantu hingga memilih nama terbaik untuk anak, turut mendapat layanan pegawai Jakim.
Zawiyah berkata, sebenarnya semua pihak mempunyai tugas serta peranan masing-masing untuk membantu menyelesaikan setiap masalah yang boleh mendatangkan kesan negatif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Begitu juga dalam kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang masih berterusan, pihak yang berurusan secara langsung dengan masalah sosial itu tidak seharusnya mendabik dada dengan aktiviti atau sumbangan dilakukan.
Katanya, masyarakat juga hendaklah menjauhkan prasangka bahawa pihak lain tidak melakukan sebarang usaha membantu untuk menyelesaikan isu sosial yang mengganggu ketenangan masyarakat.
“Semua pihak seharusnya berganding bahu melakukan apa saja usaha dengan matlamat memperkukuh institusi keluarga supaya dapat melahirkan insan cemerlang yang dapat menyumbang kepada bangsa dan negara.
“Cara perjalanan kita mungkin tidak sama kerana ada yang mula daripada awal sementara pihak lain membantu di pertengahan. Bagi Jakim, kita cuba bantu daripada awal, pertengahan hingga ke akhirnya,” katanya.
Saturday, May 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment