Friday, May 16, 2008

UIAM ukir kecemerlangan unggul

Oleh Mona Ahmad

BERMULA dengan penubuhan dua fakulti, Kulliyyah Undang-undang dan Kulliyyah Ekonomi pada 1983 dengan pengambilan 153 pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus unggul melahirkan generasi berilmu dan cemerlang dalam bidang diceburi.

Jika 25 tahun lalu, pelajar terpaksa belajar di kampus yang serba kekurangan di Lembah Pantai dan Seksyen 17, Petaling Jaya, tetapi itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjaya dengan cemerlang.

Malah, UIAM yang kini mempunyai 20,000 pelajar bukan hanya disegani di mata rakyat Malaysia tetapi turut mengukir nama pada peringkat dunia terutama di kalangan negara Islam.

Sempena sambutan Jubli Perak pada 20 Mei ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan sambutan gilang-gemilang itu.

Pada awal penubuhan, pelajar ditempatkan di kampus Lembah Pantai sebelum berpindah ke Seksyen 17, seterusnya di kampus induk di Gombak pada 1996.

Dengan keluasan 288 hektar, kampus induk UIAM di Gombak yang dipenuhi segala kemudahan dan keindahan seni bina, sekali gus memenuhi konsep Taman Ilmu dan Budi (Garden of Knowledge and Virtue).

Selain kampus induk, UIAM turut mempunyai kampus cawangan di Kuantan, Pahang untuk Kulliyyah Perubatan, Farmasi dan Sains Bersekutu, kampus Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (Istac) di Kuala Lumpur, Institut Pendidikan dan Pusat Asasi di Petaling Jaya dan Nilai, Negeri Sembilan.

Timbalan Rektor (Pelajar dan Hal Ehwal Alumni) UIAM, Hamidon Abd Hamid, berkata sambutan itu bukan hanya untuk melihat kembali pencapaian universiti itu, tetapi berhadapan dengan cabaran serta memacu universiti terus gemilang bagi 25 tahun ke hadapan.

“Walaupun sudah berusia 25 tahun, jika diukur dari segi akademik ia masih muda. Namun, kita bangga dengan pencapaian dari segi akademik yang diiktiraf dunia.

“Ia dibuktikan apabila pelajar kita diterima melanjutkan pengajian dalam program ijazah sarjana dan doktor falsafah di universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Havard, Amerika Syarikat, Universiti Oxford dan Universiti Cambridge masing-masing di United Kingdom,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus induk UIAM di Gombak, baru-baru ini.

Malah, Hamidon berkata, dari segi rangkaian, universiti itu adalah antara yang dikenali di dunia Islam. Dengan itu, katanya, pihaknya turut mengadakan perkongsian pintar dengan universiti di seluruh dunia terutama di Asia Barat.

Sejak penubuhan universiti kini mempunyai 14 fakulti dalam pelbagai bidang seperti perundangan, kejuruteraan, perubatan, seni bina, teknologi maklumat, ekonomi dan sains kemanusiaan, kini sudah melahirkan 30,000 lulusan dan mempunyai lapan cawangan alumni di seluruh dunia termasuk Asia, Eropah, Australia dan Afrika.

Apa yang membanggakan, katanya, kebanyakan lulusan UIAM berjaya dalam kerjaya dan tanggungjawab masing-masing sehingga ada yang sudah mencapai tahap kepemimpinan dalam bidang yang diceburi di negara mereka.

“Ada lulusan UIAM yang menjawat jawatan tinggi di negara mereka termasuk beberapa menteri di Maldives, gabenor bank pusat di Gambia dan ketua pengarah pembangunan ekonomi di Bosnia Herzegovina.

“Tidak ketinggalan juga, pencapaian cemerlang lulusan UIAM di negara ini yang diberi tanggungjawab penting dalam politik dan jabatan kerajaan, malah, ada yang memegang jawatan tertinggi dalam sektor korporat dan usahawan berjaya,” katanya.

UIAM satu-satunya universiti yang menggunakan bahasa Inggeris dan Arab sebagai pengantar secara keseluruhan, kini melahirkan generasi kepemimpinan dunia Islam.

Selain daripada bidang akademi, pelajar UIAM juga cemerlang dalam bidang kokurikulum dan membantu menaikkan nama Malaysia pada peringkat dunia terutama sejak penubuhannya menjadi antara 10 kumpulan debat terbaik dunia dalam pertandingan debat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua pada peringkat antarabangsa.

Pada waktu itu, UIAM terus meniti kecemerlangannya ada juga persepsi masyarakat mengenai lulusan universiti itu yang didakwa lebih pro pembangkang, bagaimanapun, ia disangkal Hamidon sama sekali.

“Pelajar dan lulusan UIAM bukanlah penyokong parti pembangkang tetapi mereka menyuarakan pandangan secara kritikal. Ia dibuktikan, kebanyakan lulusan universiti ini berkhidmat dengan kerajaan untuk membangunkan negara,” katanya.

Hamidon berkata, UIAM turut berterima kasih kepada pemimpin Malaysia yang banyak membantu memasarkan nama negara yang sekali gus tempiasnya diterima universiti itu terutama menerusi ribuan permohonan untuk memasuki universiti itu daripada calon di luar negara setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya terpaksa memilih dan menapis terlebih dulu pelajar antarabangsa yang mahu melanjutkan pelajaran di universiti itu dengan mengambil hanya mereka yang layak.

Berikutan itu, katanya, sasaran UIAM ialah untuk mengambil 30 peratus pelajar dari luar negara belajar di universiti itu tanpa mengabaikan kualiti akademi universiti itu.

Ketika ini, kira-kira 3,000 pelajar luar negara dari lebih 90 negara menuntut di UIAM termasuk dari Jerman, Bosnia Herzegovina, China, Jepun, Amerika Syarikat, Russia, Sri Lanka dan negara Asia Barat.

“Kita bersyukur kerana pelajar tidak mempunyai masalah rumit dalam membiayai pengajian kerana pelajar tempatan dibiayai dana seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mara, syarikat korporat dan bank.

Katanya, bagi pelajar luar negara pula, UIAM menyediakan Tabung Endowmen yang menerima sumbangan dan dana daripada sektor swasta dalam dan luar negara untuk kegunaan pelajar memerlukan.

Beliau berkata, dengan tenaga pengajar seramai 2,000 orang termasuk lebih 50 peratus pemegang ijazah doktor falsafah (PhD).

Katanya, UIAM turut membuat persediaan untuk bertukar daripada universiti pengajar kepada penyelidikan apabila sasaran 60 peratus tenaga pengajarnya memiliki PhD menjelang 2010.

“Kita yakini kejayaan universiti ini sedikit sebanyak kerana keberkatan dari Allah menerusi niat ikhlas pemimpin Malaysia yang menganggap universiti ini sebagai satu sumbangan rakyat Malaysia kepada umat Islam di dunia dan manusia amnya,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments: