Wednesday, May 14, 2008
Iqra: Buku hurai isu fasakh lebih terperinci
Judul: Perceraian Secara Fasakh Konsep dan Amalan di Malaysia
Penulis: Nurhidayah Muhd Hashim
Penerbit: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi Mara Shah Alam
Pengulas: Hasliza Hassan
PERKAHWINAN adalah satu ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Kedua-dua pihak perlu berusaha memastikan ikatan perkahwinan dijaga supaya terus berkekalan.
Namun, ada ketika rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang dilanda masalah dan disebabkan perkara tidak dijangka, berlaku perceraian. Atau, dalam mengatasi kemelut yang melanda, perceraian menjadi penyelesaian terbaik.
Ada beberapa kaedah perceraian dibenarkan dalam Islam iaitu takal, perceraian taklik, khuluk (tebus talak) dan perceraian menggunakan kuasa mahkamah yang dipanggil fasakh.
Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memberi ruang besar untuk isteri menuntut fasakh di mahkamah menyebabkan timbul tanggapan bahawa fasakh adalah hak eksklusif wanita dalam sebuah rumah tangga.
Bagaimanapun, melalui Pindaan 2005, suami juga diberi ruang menggunakan kaedah fasakh untuk membubarkan perkahwinan dengan alasan diperuntukkan.
Benarkah fasakh hak mutlak wanita dan bagaimana pelaksanaan fasakh di mahkamah atau apakah prosedur perlu diikuti bagi mereka yang ingin membuat tuntutan cerai fasakh? Semua terjawab dalam buku Perceraian Secara Fasakh Konsep dan Amalan di Malaysia hasil tulisan Nurhidayah Muhd Hashim.
Buku yang bermula dengan membincangkan isu perkahwinan dan perceraian dalam Islam membawa pembaca menghayati maksud serta fungsi perkahwinan yang tujuannya lebih banyak membawa kebaikan kepada manusia.
Bab dua membicarakan mengenai fasakh menurut hukum syarak kerana dalil al-Quran tidak menunjukkan peruntukan fasakh secara jelas tetapi keharusan mengamalkannya diterima pakai demi kebaikan hidup mana-mana pihak yang memerlukannya.
Dari segi konsep, fasakh boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, pembubaran berlaku secara serta merta tanpa memerlukan campur tangan hakim dan kedua, pembubaran berkehendakkan campur tangan serta keputusan hakim.
Fasakh berlaku cara automatik berlaku dalam kes yang jelas faktor perkahwinannya iaitu saudara susuan, perkahwinan sesama adik beradik, salah seorang pasangan murtad dan lain-lain. Fasakh yang memerlukan campur tangan hakim berlaku dalam kes tidak begitu jelas dan boleh dipertikai oleh pihak yang didakwa terbabit dengan alasan itu.
Jika isteri mendakwa suami gagal menyempurnakan nafkah, maka isteri perlu membuktikan dakwaan itu manakala suami mempunyai hak untuk menafikan atau mempertikai dakwaan berkenaan dan atas dasar itu ia perlu dibawa kepada hakim bagi menyelesaikan pertelingkahan.
Perbincangan dalam buku Perceraian Secara Fasakh Konsep dan Amalan di Malaysia memfokuskan kepada peruntukan yang memerlukan campur tangan hakim sebelum perceraian fasakh disabitkan.
Turut dijelaskan ialah perbezaan antara talak dan fasakh dari segi takrif, kuasa menceraikan, kuasa rujuk, bilangan baki talak dan kesahan talak susulan dalam edah. Begitu juga alasan fasakh berdasarkan pendapat fuqaha.
Prosedur tuntutan fasakh dalam bab enam yang dibincangkan memberi panduan kepada masyarakat umum untuk memahami tindakan atau langkah yang perlu diambil bagi membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah bersama contoh kes.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment