JUDUL: Persiapan Menghadapi Kematian
Penulis: Mohd Yaakub Mohd Yunus
Penerbit: Karya Bestari Sdn Bhd
Pengulas: Jami'ah Shukri
KEMATIAN adalah perkara yang pasti, tanpa mengenal bangsa, kedudukan dan kekayaan, cuma ajal maut itu tidak diketahui bila waktunya hanya tuhan maha mengetahui dan ia berlaku dengan pelbagai cara sama ada disebabkan menghadapi sesuatu penyakit, kemalangan atau kematian mengejut.
Tiada siapa boleh melarikan diri daripada menghadapi kematian dan mereka tidak mempunyai kuasa untuk mempercepat atau menangguhkan.
Setiap manusia perlu sentiasa bersiap sedia terutama dari segi amalan supaya kematian disambut dalam keadaan yang bebas daripada sebarang dosa. Manusia yang tenggelam dalam kemewahan duniawi, dikuasai hawa nafsu dan maksiat, mungkin tidak begitu memikirkan mengenai kematian.
Bagaimanapun, bagi mereka yang sentiasa mengingati kematian, akan lebih berwaspada menghadapi liku kehidupan dan berusaha menurut perintah Allah serta meninggalkan segala larangannya.
Di dalam buku ini, penulis melakarkan cara terbaik untuk mengingati kematian antaranya, perlu menziarahi kubur kerana ia dapat membantu kita mengingatkan mengenai nasib yang sama menghadapi kematian, menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengkebumian.
Mengingati kematian hanya sekadar meyakinkan ajal pasti tiba dan perlu mempersiapkan diri menghadapinya, selain menimbulkan ketenangan jiwa dengan kesulitan. Ini sekali gus memberi kesedaran kesenangan berbentuk duniawi tidak kekal. Hanya kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Ini dapat menggerakkan jiwanya untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia demi mencapai kebahagiaan di akhirat.
Rasulullah mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana.
Bagi menghadapi kematian itu, seseorang itu perlu bertaubat kerana kehidupan kita tidak sunyi daripada melakukan perkara yang menyalahi syariat Islam terutama kalangan mereka yang hanyut dengan perbuatan maksiat. Keinginan bertaubat hanya akan terdetik apabila timbul kesedaran perbuatan itu salah, boleh menghancurkan hidup, meragut kebahagiaan di akhirat, membunuh jiwa serta punca regang hubungan dengan Allah.
Namun, bertaubat akan mudah dilakukan dengan menyedari kesalahan dilakukan dan berazam untuk memperbaiki serta menjauhi perbuatan yang melanggar syariat. Bagaimanapun, bagi memastikan taubat itu diterima, sewajarnya, mereka menghentikan segala maksiat, menyesal atas perbuatan dilakukan dan berazam bersungguh tidak mengulangi.
Apa yang pasti, amalan bertaubat itu akan dapat menyucikan diri daripada dosa dan Allah mengasihi mereka, sikap segera bertaubat adalah ciri-ciri orang orang berjaya, dapat menghindarkan diri menerima azab pedih di dunia dan akhirat dan akan bebas dari sifat golongan orang yang zalim.
Wednesday, May 28, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment