Oleh Masmawi Abdullah
UMAT Islam masa kini sebenarnya masih berada dalam keadaan sangat menyedihkan dan membimbangkan. Rata-rata umat Islam di dunia ini terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman, tekanan, penderitaan dan bermacam bentuk faktor kemusnahan.
Umat Islam hari ini seolah-olah kehilangan daya kekuatan dibekalkan Allah kepada mereka untuk dijadikan senjata bagi mempertahankan diri dan menentang musuhnya.
Umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur berkewajipan mengembalikan diri masing-masing kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan. Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak Adam, Kami bawa mereka di daratan dan lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik yang Kami lebihkan mereka dengan kelebihan sempurna atas kebanyakan makhluk Kami jadikan." (Surah al-Isra, ayat 70)
Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan perkataan baik, pekerjaan dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan serta material kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan sunnah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebaikan, supaya kamu mendapat kemenangan." (Surah al-Haj, ayat 77)
Lantaran itu, kita yang mengaku diri sebagai seorang mukmin perlu mencari hakikat sebenar kehidupan sebagai mukmin sejati. Jika tidak, perlakuan kita tidak mencerminkan sebagai mukmin yang bertanggungjawab.
Apabila kepincangan ketara dalam masyarakat Islam, maka hilanglah rasa takut kepada kebesaran Allah dan umat Islam dijauhkan daripada rahmat serta pertolongan Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu seperti orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri, mereka itulah orang yang fasik." (Surah al Hasr, ayat 19)
Untuk menegakkan keutuhan dan kebenaran agama Islam, umat Islam tidak boleh lagi lalai serta berkhayal dengan hiburan hasil kemajuan sains teknologi mutakhir ini. Sebaliknya insaf dengan saki baki iman yang ada di dada.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9)
Jika dibandingkan antara kedudukan kita sebagai umat Islam dengan apa yang ada pada kita hari ini, sudah cukup untuk mengajar supaya bekerja lebih tekun, berani, amanah serta menjauhkan diri daripada segala unsur negatif yang melalaikan.
Sesungguhnya Allah hanya menjanjikan ketinggian dan kemuliaan kepada mereka yang benar-benar beriman. Dan mereka inilah yang dipelihara Allah daripada kehinaan dan ketakutan. Firman Allah yang bermaksud: "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman." (Surah al-Imran, ayat 139)
Sementara itu, belia Islam hari ini khususnya tidak boleh lari daripada menyedari hakikat kehancuran bangsa disebabkan kerosakan akhlak. Islam didatangkan bukan untuk membawa kepada keruntuhan tetapi bertujuan meninggikan pencapaian akhlak dan pengertiannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan ketinggian akhlak."
Malangnya, masih wujud sebilangan besar remaja dan generasi muda Islam yang tidak memahaminya lalu mengambil unsur negatif bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas ke arah hidup tidak beretika.
Inilah antara penyakit yang sedang mencalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam.
Mereka sebenarnya jahil dan lupa bahawa kebinasaan yang sedia menunggu adalah lebih besar dan buruk daripada itu.
Justeru, tanggungjawab semua pihak daripada peringkat kepemimpinan hingga ibu bapa dan masyarakat menerapkan syiar Islam dalam semua aspek kehidupan supaya dapat membina semula kekuatan Islam.
Berbekalkan kepada kekuatan yang ada itu, umat Islam mampu meningkatkan martabat seterusnya membuktikan kepada dunia bahawa umat Islam mampu bersaing serta mempertahankan diri daripada tekanan musuh Islam.
Pembaharuan sikap dan pemikiran membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan untuk membina kehidupan lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah.
Monday, May 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment