Oleh Hasliza Hassan
SAYANG IBU: Anak diwajibkan mentaati ibu bapa kerana jasa dan pengorbanan mereka mengembangkan zuriat dipandang mulia oleh Islam.
Tuntutan ekonomi bolahkan wanita mencari rezeki bantu ringan beban suami
HARI Ibu yang disambut semalam pasti memberi kenangan manis kepada ibu yang diraikan dengan majlis perkumpulan keluarga, dibawa makan malam di restoran atau mendapat hadiah berharga daripada anak mereka.
Walaupun ada yang tidak bersetuju dengan sambutan Hari Ibu atas alasan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan ibu tidak seharusnya pada satu hari tertentu saja, rasanya tidak salah bagi anak yang ingin meraikan sambutan hari ibu pada satu hari yang istimewa.
Maklumlah, dengan komitmen serta jarak yang memisahkan, usaha mengadakan sambutan istimewa seisi keluarga dapat memberi peluang ibu berjumpa dengan anaknya dan anak pulang menjenguk kampung.
Malah, anak sekecil lima dan tujuh tahun pun sudah faham kepentingan meraikan ibu apabila menunjukkan kesungguhan menyediakan kad ucapan Hari Ibu untuk diberi kepada ibu masing-masing.
Di sebalik sambutan serta penghargaan diterima ibu, hakikatnya mereka berdepan dengan cabaran mendidik serta membimbing anak terutama bagi ibu yang bekerja. Dengan waktu terbatas, mereka perlu memastikan tanggungjawab wajib seorang ibu tetap dilaksanakan.
Perubahan dunia hari ini dengan kebanjiran maklumat, pengaruh budaya serta kecanggihan teknologi menjadikan tanggungjawab ibu bertambah dan perkembangan masa memaksa mereka mengikut rentak supaya dapat mengendali tugas dengan lebih berkesan.
Walaupun prinsip umum bapa sebagai ketua keluarga mencari nafkah sementara ibu menjaga anak di rumah, tuntutan ekonomi dan keperluan memberi pilihan kepada ibu keluar bekerja atas niat membantu meringankan beban suami menyediakan kehidupan selesa untuk keluarga.
Anehnya, tanggungjawab bapa tetap di takuk itu tetapi tanggungjawab ibu terus bertambah, dengan tugas di rumah dan kerja pejabat yang perlu dilaksanakan. Justeru, untuk menjadi ibu yang sempurna, wanita perlu bijak menguruskan masa.
Bagi tujuan itu, Pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nik Salida Suhaila Nik Salleh berkata, ibu terutama yang berkerjaya perlu menetapkan komitmen supaya tidak lari daripada tujuan asal dan lebih mengutamakan perkara sunat.
Katanya, mengingatkan ibu akan tanggungjawab asasinya bukan menghalang wanita menjadi pekerja cemerlang sebaliknya rumah tangga yang aman akan membantu mereka meningkatkan prestasi di tempat kerja.
"Inilah antara cabaran ibu masa kini. Mereka perlu tahu kaedah mentadbir masa supaya semua komitmen dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Hakikatnya memang sukar untuk fokus pada kerjaya dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab wajib di rumah.
"Tetapi jangan kerana mahu cemerlang di tempat kerja, tanggungjawab di rumah diabaikan. Jika boleh biarlah tumpuan itu 50 peratus tugas di rumah dan 50 peratus di tempat kerja. Baru seimbang kerana kita tidak mahu ibu lebih utamakan yang sunat daripada perkara wajib," katanya.
Beliau berkata, kegagalan ibu menentukan keutamaan boleh menjadi salah satu faktor menyebabkan mereka dipersalahkan apabila berlaku perkara tidak diingini terhadap keluarga lebih-lebih lagi dalam hal membabitkan anak.
Justeru katanya, dalam menangani cabaran dunia langit terbuka, ibu perlu peka dengan perkembangan semasa supaya jika mereka tidak dapat memantau kegiatan anak, sekurang-kurangnya mereka tahu bagaimana mengendalikan perkembangan dilalui mereka.
Nik Salida berkata, walaupun dalam Islam anak diwajib taat kepada ibu bapa, menjadi tanggungjawab ibu bapa membimbing anak supaya mereka dapat memahami konsep taat serta hormat kepada ibu bapa itu.
"Sebab itu kita katakan pengorbanan ibu memang besar tetapi ibu jugalah yang bertanggungjawab mendidik anak hingga menjadi manusia sempurna. Oleh itu, jika ibu mahu anak taat serta menghormati mereka, ibu juga perlu menghormati anak.
"Jangan kata anak mesti hormat ibu tetapi tidak didik anak konsep hormat dan bentuk penghormatan yang patut diberi kepada ibu. Sebenarnya untuk didik anak hormat ibu, ibu perlu menunjukkan hormat kepada anak.
"Jangan cerita keburukan anak depan orang lain. Jangan buka baju anak depan orang. Apabila anak dibesarkan dengan cara hidup yang baik, sampai besar nilai baik itu akan terbawa dalam diri mereka," katanya.
Katanya, tanggungjawab ibu terhadap anak tidak akan selesai hingga mereka menutupkan mata seperti mana hadis Rasulullah SAW yang menyebut, "Ajarkan anak kalimah syahadah daripada dia pandai bercakap hingga tertutup matanya."
Maksud kalimah syahadah dalam hadis itu bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah tetapi membawa makna semua perkara serta perbuatan baik yang perlu diajar kepada anak hingga mereka meninggal dunia.
Nik Salida berkata, antara cara mendidik anak yang perlu diberi perhatian ibu bapa hari ini ialah mengenepikan sifat ego sebaliknya menghayati cara Rasulullah SAW yang melayan isteri serta anak Baginda dengan rasa hormat.
Diriwayatkan, Rasulullah SAW sedang duduk bersama isteri Baginda dan apabila terlihat Fatimah dari jauh, Baginda SAW bangun untuk menyambut anak perempuannya. Baginda SAW yang memberi salam dulu dan memberi tempat duduk Baginda SAW kepadanya.
Ibu bapa hari ini tidak akan melakukan perkara itu dan anak yang tidak memberi salam dulu atau memberi duduk kepada ibu bapa, dianggap sebagai anak kurang ajar. Sedangkan, ibu bapa yang menghormati anak tidak jatuh martabat mereka malah mereka akan lebih dihormati anak.
"Jika ibu dan anak tidak boleh menjadi sahabat karib, itu yang anak cari teman sebaya untuk meluahkan perasaan. Apabila masing-masing tidak tahu bagaimana nak selesaikan masalah, maka timbul pula masalah lain," katanya.
Sebenarnya, ada kebenaran apa yang dilalui keluarga dan masyarakat hari ini apabila ibu bapa tidak mendapat tempat sewajarnya di hati anak hingga kita terdengar serta terbaca kisah mendukacitakan mengenai layanan buruk anak terhadap ibu bapa.
Bagi ibu yang ingin dihormati anak, terjemahkan konsep hormat menghormati itu dalam belaian yang diberi kepada anak supaya kesannya nanti akan lahir daripada hati, bukan atas paksaan hanya kerana agama memerintahkan semua anak wajib mentaati ibu bapa.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi SAW) di dalam syurga."
Monday, May 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment