Oleh Aminuddin Mansor
PROFESYEN keguruan masih diminati dan dipandang mulia masyarakat. Sebut saja pekerjaan sebagai guru, masyarakat akan memandang tinggi dan menghargai jasa yang disumbangkan mereka.
Semua manusia sama ada berjaya atau tidak mempunyai guru. Tugas utama guru ialah mengajar. Menurut pandangan Islam, orang yang menjadi guru diberi kelebihan berganda oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa orang berilmu harus mengajarkan ilmu pengetahuan kepada orang lain dan pekerjaan mengajar itu terpuji.”
Disebutkan dalam riwayat iaitu setelah Rasulullah SAW menghantar Mu’az bin Jabal menjadi guru di Yaman, Baginda berpesan kepadanya yang bermaksud: “Jika Allah memberi hidayah hingga kamu dapat memberi pelajaran kepada seseorang, yang demikian lebih baik bagimu daripada memiliki dunia berserta sekalian yang ada di dalamnya.”
Selanjutnya, Nabi Isa pernah bersabda yang maksudnya: “Barang siapa berilmu kemudian diamalkannya, barulah dia disebut pembesar kerajaan langit. Bahawa Allah dan para malaikat berserta ahli-ahli langit dan bumi, sehingga semut di sarangnya dan ikan di lautan, mengucapkan selawat kepada guru yang mengajar ilmu pengetahuan.”
Begitulah tingginya martabat dan darjat guru di sisi Allah SWT. Hakikatnya, guru menjadi pengganti ibu bapa murid dan paling utama menjadi contoh kepada muridnya. Oleh itu, setiap guru mestilah mempunyai akhlak yang baik, sahsiah tinggi serta berbudi pekerti mulia.
Guru yang baik juga mestilah berbudi bahasa, mesra dan mudah didampingi, suka bercakap di dalam perjumpaan dan sentiasa menyukai kanak-kanak.
Justeru, mengenai kebaikan mengajar ilmu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Dzar, kamu pergi mengajarkan ayat dari kitabullah lebih baik bagimu daripada sembahyang (sunat) seratus rakaat dan pergi mengajarkan satu bab ilmu pengetahuan baik dilaksanakan atau tidak, itu lebih baik daripada sembahyang seribu rakaat.” (Hadis riwayat Ibu Majah)
Sementara itu, dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengejarkannya kepada orang tidak mengetahui adalah sedekah. Sesungguhnya, ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat ar Rabii)
Kalimat ‘guru’ berasal daripada bahasa Sanskrit membawa erti pemimpin jiwa, pendidik rohani dan jasmani. Tingkat yang paling tinggi digelar ‘Maha Guru’ manakala puncaknya dikenali sebagai ‘Betara Guru’.
Peribahasa Arab menyatakan, “Walaupun satu kalimat yang diajarnya, dialah gurumu. Guru pembina budaya ilmu. Guru dan masyarakat asas kemajuan pendidikan. Guru juga pembentuk generasi akan datang.”
Sementara itu, Dr Hamka menjelaskan, guru mengaji, guru sekolah atau guru yang hanya sekali kita temui, tetapi beroleh pelajaran daripadanya semuanya adalah jasa yang tidak dapat dibalas dengan harta benda. Jika ada di dunia ini suatu pengorbanan dan kejujuran serta kelapangan hati, satu antaranya adalah pekerjaan guru.
Begitulah tinggi dan murninya guru kepada kehidupan manusia di dunia dan keberkatan di akhirat. Guru yang baik akan sentiasa memberikan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya tidak mengira masa dan tempat.
Dr Hamka menyatakan, bukankah guru boleh diumpamakan seperti pahlawan yang tidak terkenal? Bukankah pahlawan tanah air, negarawan, pengarang, ahli pidato, orang penting atau berjawatan tinggi, dulunya pernah belajar di bangku sekolah dari serendah-rendahnya hingga setinggi-tingginya?
Kadang-kala guru itu masih mengajar di sana, masih duduk berbaris di bangku, sedangkan bekas muridnya 20 tahun dulu sudah menjadi menteri dan presiden.
Begitulah, mulianya tugas guru di sisi Allah. Oleh itu, guru memerlukan sikap kehidupan seperti sifat zuhud, mendidik kerana mencari keredaan Allah. Guru perlu menjaga kehebatan dan kehormatan dirinya. Guru sebagai ibu bapa ketika menghadapi setiap muridnya serta memahami tabiat muridnya.
Monday, May 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment