Tuesday, May 20, 2008

Perspektif IKIM: Negara wajar jadi jurutera muamalah

Oleh Mohd Noor Omar


BERKEMBANG: Institusi kewangan di Malaysia kini menawarkan perkhidmatan berlandas syariah. - Gambar hiasan

Amalan kewangan Islam buka peluang pelaburan lebih luas, berkeyakinan

MALAYSIA kini terkenal sebagai negara yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam antarabangsa dan pelantar utama kepada pelabur serta pelanggan perbankan berlandaskan syariah. Perkembangan memberangsangkan ini berlaku dalam tempoh singkat iaitu bermula daripada institusi perbankan pertama ditubuhkan pada 1983 hingga kepada pelancaran institusi kewangan terbaru kebelakangan ini.

Penggubalan dan penguatkuasaan Akta Perbankan Islam 1983 juga selari dari sudut perlembagaan dalam usaha penambahbaikan tadbir urus syariah menerusi kewangan Islam.

Sokongan pelanggan korporat dan individu dalam serta luar negara banyak menyumbang kepada perkembangan ini, selain sokongan dasar kewangan negara yang peka kepada keperluan semasa, peluang pembangunan dalam industri kewangan.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian secara khusus untuk menjamin Malaysia terus mengetuai perkembangan dan pembaharuan bukan saja industri kewangan antarabangsa, tetapi perkhidmatan dalam industri lain.

Perkara pokok itu ialah pemurnian kaedah laporan dan audit kewangan standard serta pengemaskinian pemantauan dan pematuhan syariah. Secara umum, kunci utama kepada perbankan dan kewangan Islam terletak kepada kekuatan badan seliaan perakaunan dan pemantauan syariah dan secara tidak langsung pengguna kepada laporan kewangan syarikat yang terdiri daripada pelabur berpotensi serta masyarakat umum.

Kedua-dua ciri inilah yang membezakan pandangan alam dan amalan kewangan Islam. Dengan adanya satu aturan yang kukuh, keyakinan pematuhan boleh membuka peluang pelaburan lebih luas dan berkeyakinan.

Usaha badan penetapan standard perakaunan dan audit seperti Badan Kewangan dan Perakaunan Islam Antarabangsa (AAOIFI) mendahului aturan pelaporan akaun dan kewangan. AAOIFI juga memberi satu arah tuju kepada kedua-dua kejanggalan yang disebutkan negara ingin mengguna pakai piawaian dikeluarkan walaupun piawaian itu boleh dikemaskinikan lagi.

Sementara Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) pula memberi tumpuan kepada laporan syarikat tidak terhad kepada institusi kewangan, menjadikan laporan kewangan dapat dibandingkan pada peringkat antarabangsa serta membolehkan pergerakan modal dan pelaburan.

Perkembangan ini tidak selari dengan perkembangan semasa di Malaysia. Tumpuan kepada piawaian sama ada dibuat AAOIFI atau IFRS kurang mendapat perhatian. Tambahan pula, peranan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) mengeluarkan beberapa piawaian perakaunan Islam tidak menampakkan pengaruh berbanding garis panduan dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Institusi kewangan Islam cenderung mengguna pakai Garis Panduan BNM berbanding standard dikeluarkan MASB kerana BNM mempunyai kekuatan penguatkuasaan. Keadaan itu akhirnya menjadikan institusi perbankan dan kewangan Islam mengambil jalan pintas dengan hanya mengguna pakai piawaian yang menjamin kelangsungan lesen operasi mereka.

Institusi kewangan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia juga sedikit demi sedikit terpengaruh dengan iklim itu dan penekanan kepada satu piawaian antarabangsa semakin terpinggir.

Penetapan piawai audit perakaunan dan pematuhan syariah penting untuk menjamin maklumat berkenaan dengan urus tadbir syarikat sampai kepada pengguna laporan secara telus dan tepat dengan operasi sebenar.

Dalam hal ini, penekanan bukan saja penting kepada institusi berkenaan kewangan Islam, malah badan atau syarikat dalam perusahaan lain. Sehubungan itu, pemantauan dan laporan syariah bukan saja perlukan kepada piawaian, tetapi pemantauan dan laporan yang tidak terikat dan bebas.

Permintaan barang dan perkhidmatan berlandaskan pematuhan syariah kini memberi kesan kepada keseluruhan urusan dan muamalah negara dan antarabangsa. Pengenalan Pelan Induk Perindustrian Islam (IMP) yang dipelopori badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mula mendapat tempat dalam pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa (Mihas).

Dalam industri khusus kewangan Islam pula, perkembangan terkini deposit perbankan dan kewangan Islam dapat dilihat dalam laporan terkini (sehingga Februari 2008) BNM yang secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Menurut laporan itu, jumlah deposit (simpanan, pelaburan, deposit pelaburan khas dan deposit instrumen) menjangkau 125,258.8 juta iaitu peningkatan sebanyak 26.3 peratus daripada Disember 2006.

Deposit ini adalah deposit terkumpul hasil akad pelabur dengan bank tersenarai berlandaskan Bai Bithaman Ajil, Ijarah, Ijarah Thumma al-Bai, Murabahah, Musyarakah, Mudharabah, Istisna' dan lain-lain.

Dalam perkembangan lain, Malaysia juga adalah negara penyedia pasaran sukuk serta penguasaan ke atas industri takaful dan bakal menguasai takaful semula (re-takaful) antarabangsa, manakala pertumbuhan rizab antarabangsa semasa BNM kini mencecah RM396.7 bilion setakat 30 April 2008.

Kedudukan rizab itu memadai untuk peruntukan 9.8 bulan imbangan import dan 7.3 kali hutang jangka pendek. Keadaan ini menunjukkan BNM berupaya menjadi satu bank pusat yang disegani pada peringkat antarabangsa.

Hakikat yang perlu dilihat semua pihak ialah sejauh mana semua muamalah ini selari dan mengikut ketetapan sebenar syariah jika piawaian pelaporan dan pemantauan syariah di Malaysia masih tidak selaras.

BNM mengeluarkan Garis Panduan berkenaan pelantikan dan tanggungjawab Jawatankuasa Syariah, namun laporan kewangan institusi kewangan Islam di Malaysia yang dikeluarkan tidak selaras dan berbeza kandungan serta bentuknya.

Apatah lagi jika pengguna atau pelanggan ingin membuat perbandingan dengan luar negara. Kelemahan piawaian ini menyukarkan pengguna mengetahui mengenai pematuhan syariah dalam laporan kewangan itu. Kejanggalan ini boleh menutup peluang aliran modal dan deposit pelaburan.

Di samping keperluan kepada satu standard antarabangsa, Malaysia juga perlu membuka jalan membangunkan satu model kejuruteraan kewangan supaya dapat dijadikan landasan kepada syarikat korporat tidak terhad institusi kewangan untuk merombak pengurusan kewangan korporat kepada pengurusan kewangan berlandas pematuhan syariah.

Usaha itu pasti memerlukan kerjasama semua pihak dan syarikat yang sudah merombak aturan kewangan kepada pematuhan syariah. Inilah yang menjadi saranan dan penekanan agama Islam supaya tidak mengasingkan antara agama dan urusan seharian, khususnya dalam muamalah.

No comments: