Thursday, May 15, 2008

Personaliti: Rashid promosi kulit sosej halal

Oleh Hasliza Hassan


USAHAWAN BERJAYA: Rashid dan Faldila menjawab soalan ketika ditemubual.

Supreme Halal Foods beribu pejabat di Australia hasil produk ikut syariat

DARI Melbourne ke Kuala Lumpur, pasangan suami isteri Rashid Essop dan Faldila Essop berjihad memperkenalkan sarung sosej halal untuk pasaran masyarakat di Malaysia melalui pembabitan mereka pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas 2008) yang berakhir Ahad lalu.

Melalui syarikat Supreme Halal Foods Pty Ltd yang berpangkalan di Melbourne, Australia, pasangan itu cuba mengembangkan lagi penerokaan pasaran makanan halal di negara ini bagi memenuhi keperluan pengguna tempatan.

Berdasarkan maklum balas diterima, mereka yakin sarung sosej yang dihasilkan menggunakan bahan semula jadi berkualiti tinggi daripada biri-biri yang disembelih menurut syariat Islam bakal mendapat tempat di hati syarikat tempatan yang menghasilkan produk berasaskan daging.

"Tidak dinafikan memang sukar untuk memasarkan sarung yang kami hasilkan kerana kebanyakan syarikat sudah biasa dengan sarung dihasilkan daripada kolagen. Bagaimanapun, saya yakin produk kami akan diterima kerana selain diperbuat daripada bahan semula jadi, ia mengekalkan rasa, rempah dan kelembutan sosej," kata Rashid, Pengarah Urusan Supreme Halal Foods Pty Ltd.

Walaupun usaha mengintai pasaran Malaysia dilakukan sejak 2004, hanya pada Oktober tahun lalu, syarikat beliau berjaya membekalkan sarung sosej kepada syarikat industri kecil sederhana (IKS) tempatan.

Menurut Rashid, usaha sebelum itu gagal kerana mereka tidak merujuk kepada jabatan sepatutnya dan setelah mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hasrat melihat produk Supreme Halal Foods Pty Ltd di Malaysia menjadi kenyataan.

Mulai Disember 2007, mereka mula mengeksport bahan makanan halal ke Malaysia dan maklum balas yang baik mendorong mereka datang mempromosikan produk syarikat selama lima hari pada Mihas 2008.

Rashid berkata, hingga Januari lalu syarikatnya mengeksport 10 peratus daripada hasil pengeluaran kilang mereka ke Malaysia yang bernilai kira-kira RM120,000.

Beliau berkata, walaupun perniagaan asas syarikatnya ialah membekalkan daging berkualiti tinggi kepada peniaga dan organisasi amal, penghasilan produk kecil daripada daging termasuk sarung sosej yang terus mendapat sambutan kini menjadi aktiviti penting syarikat.

Katanya, kejayaan syarikatnya bukan saja kerana berjaya memenuhi peraturan ditetapkan AUSMEAT, pihak yang bertanggungjawab mengenai industri daging Australia, tetapi didorong oleh komitmen serta perkhidmatan berkesan yang diberi kepada pelanggan.

Pada pertemuan petang itu, selain bercerita mengenai Supreme Halal Foods Pty Ltd, satu-satunya syarikat menghasilkan produk berasaskan daging halal di Australia, pasangan Rashid dan Faldila turut berkongsi cerita mengenai perkembangan masyarakat minoriti Islam di wilayah barat Melbourne.

Ini termasuk kisah penghijrahan mereka sebagai penghijrah perniagaan dari Johannesburg, Afrika Selatan ke Melbourne 28 tahun lalu atas alasan tidak bersetuju dengan dasar aparteid dan bimbang akan keselamatan tiga anak perempuan serta anak lelaki yang ketika itu baru berumur tiga tahun.

Kata Faldila, pemilihan Australia khususnya Melbourne ialah selain keadaan negara itu yang tidak jauh beza dengan kampung halaman mereka, penghijrahan adalah atas ajakan abang Rashid yang sudah lama menetap di sana.

"Sebagai bukan kulit putih, kamu juga terkesan dengan dasar aparteid. Malah, sukar untuk memberi jawapan apabila anak saya bertanya kenapa mereka tidak boleh bermain kasut roda di luar seperti orang lain.

"Memikirkan berhijrah adalah penyelesaian terbaik, kami mengambil keputusan berhijrah ke Australia. Syukur kepada Allah SWT kerana dasar yang diamalkan kerajaan Australia membolehkan masyarakat Islam berkembang di sana," kata Faldila.

Dengan pengalaman berniaga barangan runcit di Johannesburg, Rashid dan Faldila memulakan perniagaan perabot dan dua tahun selepas itu membuka kilang menghasilkan perabot. Pada 1986, mereka berjinak-jinak memulakan perniagaan menjual daging secara kecil-kecilan.

Apabila perniagaan menunjukkan potensi memberangsangkan terutama bagi produk daging halal, mereka memberi tumpuan kepada kilang memproses pada 2000 dan mula mengeksport ke luar negara termasuk negara asal mereka Afrika Selatan.

Pada masa sama, mereka menyuntik syariat Islam dalam perniagaan melalui perkhidmatan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disediakan kepada individu serta organisasi yang ingin sedekahkan daging korban ke seluruh dunia.

Sejak menjejakkan kaki di Melbourne pada 1980, Rashid dan Faldila bersama 20 keluarga Islam lain yang juga penghijrah dari seluruh dunia yang berada di sana ketika itu mewujudkan komuniti minoriti yang berkembang secara perlahan-lahan dengan mengamalkan cara hidup Islam.

Kini, masyarakat Islam di Melbourne seramai 300 keluarga mampu bermegah dengan pencapaian mereka selain mendirikan masjid dan menjalankan pelbagai aktiviti, mereka juga adalah pengasas Rumah Persaraan ISOMER yang dikendalikan Persatuan Islam Wilayah Barat Melbourne (ISOMER).

Pertubuhan bukan kerajaan itu bertujuan memberi perkhidmatan memenuhi keperluan masyarakat Muslim di kawasan berkenaan termasuk membina Rumah Persaraan ISOMER pada 1986 yang terletak di kaki bukit Dandenong.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Rumah Persaraan ISOMER, Rashid berkata, rumah berupa asrama itu memberi kemudahan kepada keluarga yang mempunyai ahli sudah tua dan tidak mampu menjaga mereka.

Katanya, walaupun diuruskan oleh orang Islam, asrama berkenaan terbuka kepada semua bangsa dan agama terutama dalam hal penjagaan keperluan mereka melalui kemudahan, perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan.

Buat masa ini, asrama itu menyediakan kemudahan 50 katil untuk penghuni dengan kemudahan ruang tamu, ruang rehat dan halaman besar. Penghuni juga berpeluang melakukan aktiviti kegemaran termasuk bersiar-siar di luas asrama.

"Falsafah ISOMER adalah jelas untuk melakukan kebaikan kepada golongan warga tua, menunjukkan semangat toleransi dengan bangsa lain dan menggalakkan hubungan harmoni di kalangan masyarakat setempat.

"Perkhidmatan kami tidak terhad kepada penghuni yang tinggal lama di situ kerana kami juga menerima ahli keluarga tua untuk dijaga sementara. Jika keluarga hendak pergi bercuti tetapi tidak boleh membawa keluarga yang uzur, kami boleh menjaga buat sementara waktu," katanya.

Rashid berkata, sebagai memenuhi keperluan masyarakat Islam menepati perubahan semasa, ISOMER menjalankan aktiviti seperti kelas pengajian Islam dan memastikan fungsi masjid dapat dimanfaat dalam mengembangkan ilmu mengenai Islam.

Beliau berkata, antara aktiviti dianjurkan ISOMER ialah kelas al-Quran untuk golongan dewasa lelaki pada setiap petang Isnin dan wanita (Selasa), pihaknya turut mengadakan kelas Bahasa Arab (Rabu) dan perhimpunan remaja (Jumaat).

Kelas Ahad pula dikhususkan untuk kanak-kanak belajar al-Quran dan Bahasa Arab bermula dari 9 pagi hingga 1 petang.

Menjawab persoalan mengenai mazhab yang menjadi pegangan masyarakat Islam di sana, bekas guru akaun itu berkata, pengikut mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki tidak mempunyai masalah untuk duduk bersama atau solat berjemaah.

Malah katanya, pengiktirafan diberikan kerajaan membolehkan umat Islam di Australia mempraktikkan amalan agama mereka tanpa sebarang sekatan seperti mengenakan hijab serta meraikan hari kebesaran Islam.

"Jika dulu kita ada satu masjid, sekarang sudah ada antara 15 hingga 20 masjid dan 10 sekolah agama swasta. Kerajaan juga menggalakkan perbincangan antara agama dan ini membantu kita menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat lain," katanya.

No comments: