Thursday, May 22, 2008

Iman bentuk perwatakan, disiplin umat Islam

Oleh Abdul Rashid Ahmad

MISI Islam paling utama ialah berusaha mempertingkatkan manusia supaya mencapai tahap kemanusiaan luhur selaras peranan sebagai khalifah Allah yang memiliki budi pekerti mulia dan bersikap adil.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menegaskan, orang paling sempurna imannya ialah orang yang baik akhlaknya dan paling berlemah lembut dengan keluarganya.

Secara mudahnya, akhlak itu bolehlah diertikan sebagai kelakuan, tatatertib, maruah, bahkan ia mencakupi seluruh perbuatan lahiriah dihasilkan daripada dorongan batiniah dalam diri seseorang.

Akhlak mempunyai hubungan sangat rapat dengan iman. Akhlak yang baik sebagai tanda kesempurnaan iman.

Kuat atau lemah iman seseorang boleh diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya.

Iman yang kuat melahirkan individu baik dan mulia akhlaknya, sebaliknya iman lemah melahirkan individu buruk akhlaknya serta mudah terjerumus ke lembah perbuatan keji yang merugikan diri sendiri dan orang lain.

Dalam konteks ini, Islam meletakkan berbakti kepada ibu bapa sebagai kemuncak akhlak mulia dalam kehidupan seorang manusia di dunia ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibu mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, kepada-Ku juga tempat kembali." (Surah Luqman, ayat 14)

Ibu bapa menduduki tempat paling istimewa dalam Islam. Mereka menduduki tempat yang kedua selepas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kerana tiada seorang manusia pun di dunia ini boleh menyamai mereka.

Sebesar-besar kewajipan yang mesti ditunaikan seorang hamba ialah kewajipan terhadap ibu bapa. Antara keutamaan ibu bapa ialah Allah meletakkan keredaan-Nya di atas keredaan ibu bapa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Keredaan Tuhan terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Tuhan pada kemurkaan ibu bapa." (Hadis riwayat al-Imam al-Tirmizi)

Selain itu, doa ibu bapa untuk anak dikabulkan Allah.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga doa yang tidak ragu-ragu lagi diperkenan Allah iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang musafir dan doa ibu bapa untuk anaknya.

Antara hak yang wajib ditunaikan seorang anak terhadap ibu bapa ialah:

Apabila salah seorang mereka memerlukan makanan, hendaklah diberi makan.
Begitu juga jika mereka memerlukan pakaian.
Jika seorang mereka memerlukan khidmat, hendaklah diberi.
Apabila mereka memanggil hendaklah disahut dan mendatanginya.
Apabila disuruh hendaklah ditaati.
Bercakap dengan mereka dengan lemah lembut.
Jangan memanggil mereka dengan menyebut namanya.
Berjalan di belakang mereka.
Sentiasa menggembirakan hati mereka.
Sentiasa berdoa mohon keampunan untuk mereka.
Islam melarang menderhaka terhadap ibu bapa. Menderhaka bererti melawan dan tidak menunaikan haknya. Antara bentuk derhaka yang disebut ulama ialah:
Memandang mereka dengan pandangan jeling sambil marah.
Menganggap diri sama dengan mereka.
Enggan mencium tangan mereka kerana berasa diri lebih mulia.
Malu memperkenalkan mereka sebagai ibu bapa kerana sombong.
Tidak menunaikan nafkah jika mereka miskin.
Mengeluarkan kata-kata: Ah.., cis.. dan sebagainya terhadap mereka.

Jika sejak kecil lagi anak tahu melaksanakan hak itu dengan baik dan sempurna seperti dikehendaki Islam, maka mudah mereka melaksanakan hak terhadap jiran, kaum keluarga dan guru.

No comments: