Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
KERUNTUHAN tamadun manusia pada masa kini rata-rata di dunia Barat dan Timur adalah disebabkan kegagalan sistem menyusun masyarakat mereka memenuhi tuntutan nilai kemanusiaan. Sistem terbabit yang berasas kepada rasional pemikiran manusia semata-mata gagal membina contoh pembangunan yang syumul dan sempurna.
Justeru, pada masa sekarang dunia maju turut menghadapi permasalahan ekonomi yang menunggu untuk meletus seterusnya menjejas kesejahteraan kehidupan rakyat.
Islam sebagai agama yang bersifat syumul dan sempurna mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyusun umat manusia bermasyarakat dan bernegara. Matlamat akhir bagi Islam ialah untuk mewujudkan sebuah tamadun manusia yang cemerlang, progresif dan sejahtera.
Dalam usaha ke arah matlamat yang mulia itu, Islam beranggapan bahawa melalui pencapaian keadilan sosial sesebuah masyarakat, negara dapat dibangun dan dimajukan sehingga ke mercu kejayaan.
Keadilan sosial bermasyarakat mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah masyarakat pada dasar dan permulaannya mampu menyedia keperluan asasi hidup individu serta bermasyarakat melalui pencapaian faktor berikut:
l Pemuliharaan penghayatan keimanan melalui pemilikan pandangan hidup Islam serta pengamalan akhlak agama dalam kesemua urusan hidup pada peringkat individu dan masyarakat.
l Menaikkan taraf daya fikir serta kemahiran untuk kesemua lapisan masyarakat supaya bebas daripada buta huruf dan memiliki kualiti ilmu yang munasabah bagi menjalankan kehidupan secara berkesan dengan keadaan perubahan masa.
l Memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada setiap individu dalam negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat beradat, bebas, semoga negara ditadbir menepati prinsip dan semangat syura.
l Memberi jaminan kepada semua ahli masyarakat semoga mereka bebas menentu, berusaha secara sendirian atau bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi sama ada di dalam dan luar negara. Justeru, sumber harta dalam negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi semua lapisan rakyat.
l Negara sentiasa berusaha ke arah membina sebuah tamadun masyarakat yang mulia untuk memberi keyakinan dan harapan baik kepada rakyat bahawa zuriat masa depan negara akan terus mengecapi suasana cemerlang. Bahkan mengikut Islam, kecemerlangan masyarakat adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa khususnya di masa depan.
Rata-rata mempunyai pendirian bahawa pembangunan ekonomi menentukan kemampuan negara mewujudkan keadilan sosial. Tetapi pendekatan membangunkan ekonomi yang diambil tidak meletakkan keadilan sosial sebagai syarat mutlak. Usaha mengadakan perancangan ke arah keadilan sosial akan dijayakan selepas pertumbuhan ekonomi tercapai.
Contohnya, usaha memberi pendidikan agama, keperluan individu, membasmi buta huruf, membasmi kemiskinan, memberi kebebasan akhbar turut sama difikir penting. Keperluan itu dianggap sebagai ciri ke arah kestabilan negara.
Pendekatan pembangunan ekonomi semasa yang diasaskan kepada semangat sistem liberal demokrasi kapitalis tidak mungkin secara syumul berjaya menghasilkan keadilan sosial setelah mencapai pertumbuhan ekonomi.
Bahkan pertumbuhan ekonomi turut terjejas pada jangka masa panjang seperti di Eropah dan di Amerika Syarikat (AS). Abad ke-19, ekonomi Eropah begitu menonjol manakala abad ke-20 adalah kepunyaan AS.
Buat masa ini kedua-dua kuasa ekonomi itu menghadapi masalah pertumbuhan dan keperluan keadilan sosial rakyat mereka turut terjejas. Lebih daripada itu, tamadun kemanusiaan mereka turut menghadapi krisis yang ketara sehingga masyarakat hilang pedoman hidup.
Pengalaman dialami Eropah dan AS sepatutnya mengajar kita mengenai pendekatan yang perlu dianjurkan dalam menyusun negara. Di Malaysia, wawasan negara dengan jelas dan yakin mengutarakan acuan sendiri bersesuaian dengan nilai tempatan dalam memaju negara.
Kita dengan yakin dan tegas merasai corak pembangunan Barat tidak sesuai walaupun dari segi pembangunan sektor perindustrian mereka mencatat rekod cemerlang. Di samping itu, rekod negatif seperti keruntuhan nilai kemanusiaan dan alam persekitaran turut membebani mereka. Akibatnya perkembangan sektor perindustrian mereka turut terjejas.
Kepekaan kita untuk membangun ekonomi negara mengikut acuan sendiri membuahkan beberapa prinsip panduan jika disemadikan dalam dasar dan usaha pada semua peringkat akan mengalih pendekatan pembangunan ekonomi negara melalui keadilan sosial.
Prinsip keuntungan melalui tanggungjawab sosial dan pembangunan ekonomi melalui keadilan masyarakat dalam membangun negara adalah antara memperincikan wawasan negara. Jika prinsip itu mampu diterjemah dan dilaksana secara berkesan, pendekatan pembangunan ekonomi melalui keadilan sosial akan menjadi teras pembangunan negara abad ke-21.
Kewujudan keadilan sosial kepada semua lapisan masyarakat sepatutnya menjadi syarat mutlak kepada pembangunan ekonomi negara yang berterusan. Kemantapan prestasi ekonomi dan kemampuannya berterusan mampan, memerlukan satu pendekatan mendahului pembinaan nilai kemanusiaan masyarakat dalam kesemua bidang.
Prestasi ekonomi akan turut sama bergerak maju jika semua bidang yang diperlukan untuk membina tamadun dilihat dalam perspektif bersepadu. Justeru, pembangunan ekonomi melalui kewujudan keadilan sosial hendaklah diterjemahkan dalam perancangan ekonomi negara.
Pembiayaan belanjawan secara seimbang dalam keadaan ekonomi mampan, pembasmian kemiskinan secara agresif, penyediaan mekanisme alternatif dalam sektor pembiayaan kewangan secara berperingkat memberi satu usaha mewujudkan keadilan sosial dalam usaha membangunkan ekonomi negara.
Lebih daripada itu, pelaksanaan institusi zakat dalam dasar fiskal negara patut menjadi asas penting ke arah usaha melaksana semangat keadilan sosial dalam pembangunan negara. Pendekatan, cara atau mekanisme serta matlamat yang hendak dicapai perlulah serasi dengan semangat Islam secara syumul.
Pendekatan acuan tempatan ini jika berjaya bukan saja dapat memantapkan bidang ekonomi negara tetapi sekali gus membentuk masyarakat berakhlak dan bertamadun, yang akan dapat meyakini masyarakat antarabangsa untuk menjadi model Islam sebagai contoh.
Revolusi kualiti yang diberi penumpuan dalam pengurusan Jepun pada awal tahun 50-an membuka mata masyarakat antarabangsa kejayaan pengurusan Jepun yang menjadi ikutan. Begitu juga jika umat Islam berjaya, masyarakat antarabangsa akan ingin mempelajari daripada kita.
Umat Islam pada hari ini tidak seharusnya hanya berbangga dengan kejayaan silam, tetapi mereka perlu menterjemahkan prinsip Islam dalam program penyusunan negara pada peringkat individu dan masyarakat.
Jika masyarakat antarabangsa menyanjungi kejayaan prestasi ekonomi Jepun, mereka juga akan turut serta mengkagumi Islam, jika pendekatannya dapat dijadikan garis panduan dalam usaha kita membangunkan ekonomi negara secara berkesan dan cemerlang.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tuesday, May 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment