Oleh Ibrahim Abdullah
Kesabaran hadapi dugaan dijanjikan ganjaran lebih besar buat umat Islam
MANUSIA sering diuji Allah SWT dengan penyakit supaya ia mengetahui bahawa tubuh badannya dan dunia ini mengalami perubahan serta kebinasaan. Tidak semuanya akan kekal abadi dalam ciptaan Allah.
Banyak daripada kita tidak sukakan penyakit, lebih-lebih lagi apabila diberitahu menghidap penyakit tidak disangka. Keadaan itu menyebabkan fikiran serta perasaan tertekan kerana memikirkan kesan yang dibawa penyakit berkenaan.
Lebih berbahaya apabila kita tidak dapat mengawal fikiran dan emosi disebabkan tindak balas atau reaksi negatif akibat tidak dapat menerima kenyataan terhadap ujian yang didatangkan Allah kepada kita.
Apabila didatangkan ujian, bukan semua melihat keadaan itu daripada sudut positif. Begitu juga halnya dengan penyakit kerana kebanyakan kita belum memahami terhadap hikmah daripada penyakit yang menimpa diri.
Sesetengah menuduh Allah tidak adil menimpakan penyakit kepadanya. Sikap seperti ini mesti dibuang jauh-jauh. Memang benar kita mesti sihat, sebab dengan badan sihat gerak hidup menjadi lancar dan berjaya. Banyak amal ibadat dan kerja dapat ditunaikan.
Ada cara untuk menghadapi situasi itu antaranya, meyakinkan diri bahawa hidup ini ada pusingan seperti malam dengan siang. Tubuh badan kita pun ada kalanya sihat dan berpenyakit. Hal ini adalah suatu hikmah kebijaksanaan Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Kedua, yakin dan percaya bahawa semua yang terjadi ada di dalam genggaman Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada di dalamnya (penyakit) dan mengetahui pula waktu dikembalikan kepada-Nya. Lalu diterangkan-Nya kepada mereka apa yang sudah mereka kerjakan. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah an-Nur, ayat 64).
Ketiga, yakin dan percaya bahawa Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah Maha Mengetahui akan keadaan tubuh badan kita. Semua yang dilimpahkan kepada kita sudah diukur dengan sangat sempurna.
Firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapatkan pahala daripada kebaikan yang diusahakannya dan mendapat seksa daripada kejahatan yang dikerjakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Jika kita memahami hikmah penyakit sebagai ujian kesabaran serta penebus dosa, pasti kita selalu merindukan keampunan-Nya. Maka inilah bentuk dan cara untuk doa orang yang menanggung sakit dimakbulkan.
Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang ditimpa penderitaan (penyakit), maka Allah mengutus dua malaikat kepadanya. Allah berfirman: Dengarkanlah apa kata hamba-Ku ketika diziarahi oleh orang lain. Jika ia mengucapkan Alhamdulillah, maka Allah berfirman kepada dua malaikat, Sampaikanlah kepadanya, jika Aku mematikannya kerana penyakitnya, maka ia pasti masuk syurga, dan jika Aku sembuhkan, maka pasti daging dan darahnya akan Aku ganti dengan yang lebih baik daripada asalnya, serta Aku jadikannya penderitaan (penyakitnya) sebagai penebus dosanya." (Hadis riwayat al-Faqih)
Hikmah lainnya, selain penyakit dapat dijadikan sebagai penebus dosa dan tafakur, ia juga dapat menginsafkan manusia yang melakukan maksiat dan jenayah. Penyakit dapat menghindar daripada kemaksiatan yang mungkin akan dilakukan ketika dalam keadaan sihat.
Menjenguk atau menziarahi orang sakit, adalah suatu kewajipan bagi setiap Muslim terhadap saudaranya. Dalam Islam, menziarahi orang sakit adalah amalan salih yang dapat mendekatkan diri kita kepada keampunan, rahmat dan syurga Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang lelaki menziarahi saudara Muslimnya (yang sedang sakit), maka seakan-akan ia berjalan sambil memetik buah-buahan syurga sehingga dia duduk. Apabila sudah duduk maka diturunkan kepadanya rahmat dengan cepat. Apabila menziarahi di pagi hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya supaya mendapat rahmat hingga waktu petang tiba. Apabila menziarahi pada petang hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya supaya diberi rahmat hingga waktu pagi tiba." (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad)
Islam mengajarkan beberapa etika yang harus diperhatikan waktu menziarahi orang sakit. Pertama, hendaklah orang yang menziarahi mendoakan yang sakit supaya lekas sembuh, mendapat kasih sayang Allah, selamat dan disembuhkan penyakitnya.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila Baginda menziarahi orang sakit, Baginda akan mengucapkan, "Tidak apa-apa. Sihat Insya Allah" dan berdoa tiga kali untuk kesihatan pesakit. (Hadis riwayat Bukhari).
Kedua, dianjurkan yang menziarahi mengusap pesakit dengan tangan kanannya dan berdoa, "Wahai Allah, Tuhan bagi manusia, hilangkanlah kesengsaraan (penyakitnya), sembuhkanlah, Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit." (Hadis riwayat Muttafaqa 'Alaih)
Penyakit adalah suatu ujian yang direncanakan menurut hikmah Allah, yang terjadi dengan kehendak-Nya, dan sebagai peringatan bagi manusia. Banyak orang kembali menghadapi Allah memohon pertolongan kerana hanya Allah yang dapat menyembuhkan penyakit.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila manusia ditimpa bahaya, ia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, ia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah ia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang menimpanya. Begitulah orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan." (Surah Yunus, ayat 12)
Allah mengirimkan penyakit kepada manusia, sekurang-kurangnya untuk menyedarkan dan mendidik mereka ke jalan yang benar. Dengan penyakit, manusia menyedari dan mengingatkan akan kematian, kerana orang yang ditimpa sakit selalu ingatkan kematiannya.
Allah mengaitkan sesuatu yang terjadi di dunia ini pada sebab akibatnya. Segala sesuatu terjadi mengikuti sebab akibat. Oleh itu, seseorang haruslah melakukan segala yang diperlukan dalam sebab akibat ini, sambil berdoa Allah yang menyembuhkan penyakit seseorang.
Sesungguhnya sekalipun seseorang itu dalam keadaan sihat atau tanpa cubaan dan ujian, seseorang wajib berdoa serta bersyukur kepada Allah atas segala kenikmatan, kesihatan dan kurniaan diberikan.
INTI PATI:
Yakinkan diri bahawa hidup ini ada pusingan seperti malam dengan siang.
Percaya bahawa semua yang terjadi ada di dalam genggaman Allah.
Yakin dan percaya bahawa semua yang terjadi ada di dalam genggaman Allah.
Selain penyakit dapat dijadikan sebagai penebus dosa dan tafakur, ia juga dapat menginsafkan manusia yang melakukan maksiat dan jenayah.
Menziarahi orang sakit adalah amalan salih yang dapat mendekatkan diri kita kepada keampunan, rahmat dan syurga Allah.
Saturday, May 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment