Monday, May 26, 2008

Cegah kemungkaran kena diulang

Oleh Lokman Ismail



ELAK MUNGKAR: Solat boleh menjauhkan perkara buruk dan amalan kebaikan perlu diulang-ulang sepanjang masa sesuai dengan sifat manusia mudah lupa. - Gambar hiasan


Sikap ambil berat orang ramai mampu halang perbuatan terkutuk terus berleluasa

TUGAS mencegah kemungkaran perlu dilakukan setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing kerana apa juga bentuk kemungkaran tidak boleh dibiarkan berterusan hingga menjurus kepada berlakunya kemungkaran lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangannya, jika tidak berupaya hendaklah diubah dengan lisannya, dan jika tidak berupaya juga hendaklah diubah dengan hatinya dan yang sedemikian itu selemah-lemah iman." (Hadis riwayat Muslim)

Mencegah kemungkaran sebahagian daripada dakwah yang mesti dilakukan setiap Muslim biarpun sekadar dalam hati. Kesan dakwah berterusan sekurang-kurangnya dapat menjinakkan atau mendidik diri supaya tidak pengaruh melakukan keburukan itu seterusnya menghayati ajaran Islam sebaiknya.

Berdakwah bukan bermaksud hendak menjaga tepi kain orang atau masuk campur urusan orang lain, sebaliknya tindakan itu adalah satu tuntutan agama. Perbuatan itu bertujuan mengelak keburukan daripada terus berlaku yang memberi kesan kepada keseluruhan masyarakat.

Sesungguhnya, untuk melahirkan masyarakat yang terbaik bergantung kepada sejauh mana usaha dakwah dilakukan secara berhemah dan berkesan.

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Dakwah bererti menyeru atau mengajak kepada sesuatu serta menggalakkan manusia berbuat kebaikan, mengikut petunjuk, menyeru melakukan kebajikan serta mencegah membuat kemungkaran.

Setiap individu memang berhak mendapat kebebasan melakukan apa diingini tetapi tidak termasuk perbuatan yang menyalahi hukum agama dan undang-undang negara. Sebab itu, perlu ada pihak yang bertindak mencegah perbuatan daripada dilakukan.

Dalam konteks undang-undang, ada pihak penguat kuasa bertanggungjawab menghalang perkara buruk berlaku atau mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu. Namun, dalam banyak keadaan, menjadi tanggungjawab setiap individu mencegahnya sendiri sebagai membantu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak melepasi batasan sepatutnya. Banyak kes berlaku di mana anggota masyarakat mengambil tindakan keterlaluan dalam 'mengajar' mereka yang melakukan kesalahan sehingga ada menyebabkan kematian. Lebih malang, jika yang 'dihukum' itu sebenarnya tidak bersalah dan berlaku disebabkan salah faham saja.

Sikap saling membantu dan ambil berat soal mencegah kemungkaran daripada berlaku penting ditingkatkan memandangkan sekarang banyak berlaku perkara tidak diingini seperti penculikan kanak-kanak, perkosaan, mencuri atau merosakkan harta benda awam.

Peningkatan kes antara lain berpunca sikap masyarakat kurang memberi perhatian kepada usaha mencegahnya. Sesungguhnya, membiarkan individu lain melakukan kesalahan sebenarnya mendedahkan diri kita sendiri kepada keburukan.

Setiap apa berlaku dalam masyarakat turut membabitkan individu lain yang terpaksa menanggung akibatnya. Oleh itu, kita tidak seharusnya mengamalkan sikap pandang dan dengar saja tanpa mengambil langkah mencegahnya biarpun mengetahui ada perkara buruk berlaku.

Contohnya, dalam satu kejiranan jika ada individu menjadi penagih dadah, perbuatan yang sama akan berjangkit kepada individu lain. Jika tidak dibendung, semakin banyak individu akan menjadi penagih dadah, yang mungkin terdiri kalangan ahli keluarga kita sendiri.

Oleh itu, kejiranan yang didiami ramai penagih dadah dan pelaku jenayah sentiasa berada dalam keadaan tidak selamat. Kehidupan anggota kejiranan sentiasa dalam ketakutan dan tidak dapat melakukan aktiviti seharian dengan selesa, biarpun dalam rumah sendiri.

Justeru, kita perlu mengambil pendekatan mencegah sebarang kemungkaran biarpun kecil kerana dengan cara atau pendekatan itu ia lebih mudah diatasi dan diperbetulkan sebelum melarat menjadi keadaan serius sehingga sukar dikawal lagi.

Sikap tidak apa dan peduli apa yang orang lain lakukan menyebabkan perkara buruk berlaku secara berleluasa sehingga dianggap satu kebiasaan yang tidak lagi dikisahkan, melainkan berlaku terhadap diri sendiri.

Allah memberi peringatan bahawa sekiranya kemungkaran sudah berleluasa, doa dan pengharapan supaya kejadian itu tidak berterusan berlaku tidak akan diendahkan lagi. Allah menjadikan kejahatan sesama manusia sebagai satu balasan atas kealpaan menjalankan tugas mencegah kemungkaran ketika keadaan masih terkawal.

Penting setiap orang menanam perasaan bencikan maksiat dan kejahatan. Sebarang bentuk kemungkaran biarpun kecil dianggap sesuatu mengaibkan dan perlu dicegah segera. Kita tidak boleh berkompromi dengan maksiat kerana menganggap ia perkara kecil atau sudah biasa berlaku.

Biarpun kita diminta sensitif dan sentiasa bertindak mencegah perkara buruk, tugas itu hendaklah dilakukan dengan bijaksana bagi mengelak berlaku perkara lebih buruk. Jangan sekali-kali mudah naik angin apabila berdepan perbuatan maksiat sehingga menghukum mereka yang tidak bersalah atau tindakan tidak sepadan dengan kesalahan dilakukan.

Sebenarnya banyak keadaan yang lebih memerlukan tindakan secara nasihat dilakukan dengan bijaksana, sabar, sopan dan reda. Pendekatan itu adalah senjata utama yang membawa kepada kejayaan dakwah Rasulullah SAW yang perlu dicontohi setiap Muslim.

Firman Allah yang bermaksud: "Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (Surah an-Nahl, ayat 125)

Seruan dan ingatan supaya menjauhkan perkara buruk dan meningkatkan amalan kebaikan perlu diulang-ulang sepanjang masa sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa. Syaitan sentiasa mempengaruhi manusia supaya lupa melakukan suruhan agama. Pada masa sama menggalakkan mereka melakukan perkara ditegah.

Allah menjelaskan pentingnya saling memberi peringatan. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman." (Surah adz-Dzariyat, ayat 28)

Sikap tidak ambil kisah terhadap kemungkaran yang dilihat atau diketahui perlu diubah. Sikap inilah menyebabkan kemungkaran sukar dibendung. Pelaku perbuatan mungkar tidak takut melakukannya secara terang-terang kerana tahu apa yang dilakukan itu tidak dipedulikan oleh orang ramai.

No comments: