Saturday, May 17, 2008

Keluarga harmoni elak kes dera anak

Oleh Hasliza Hassan

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggerakkan semula program ‘Rumahku Syurgaku’ melalui proses penjenamaan semula dengan memasukkan elemen yang akan memperkasakan institusi keluarga.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Anan C Mohd, berkata pendedahan kepada program yang pernah diperkenalkan pada Julai 1992 bagi memperkukuhkan institusi keluarga itu diharap dapat membantu usaha menangani masalah penderaan serta pengabaian terhadap kanak-kanak.

Katanya, sebagai ejen pembangunan masyarakat dan negara, pembinaan institusi keluarga yang bahagia serta harmoni perlu diberi perhatian supaya dapat melahirkan anak cemerlang yang mampu menghadapi cabaran zaman.

“Untuk lahirkan modal insan cemerlang, kilang melahirkan produk itu ialah daripada keluarga. Ini yang kita hendak berikan penekanan kerana apabila rumah tangga porak peranda menyebabkan anak terbiar.

“Sedangkan kita hendak bina negara masa depan dan anak kita yang akan membentuk masa depan negara. Jika baik generasi kita hari ini, baiklah generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian Seminar Pencegahan Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak anjuran Jakim di Shah Alam, Khamis lalu.

Seminar Pencegahan Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak bertujuan meningkatkan kesedaran serta pemahaman di kalangan pemimpin masyarakat serta orang ramai terhadap kesan penderaan dan pengabaian kanak-kanak terhadap masyarakat.

Seminar itu juga mengetengahkan permasalahan utama berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak, selain menggalakkan semua pihak terbabit dalam usaha pencegahan dengan melaporkan kes kepada pihak berkuasa.

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan pada seminar sehari yang dihadiri kira-kira 150 peserta daripada agensi kerajaan, Jabatan Agama Islam negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

Anan berkata, 12 konsep dan falsafah yang menjadi teras Program Rumahku Syurgaku berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan akan dihebahkan semula bagi menyedarkan ibu bapa tanggungjawab melahirkan keluarga sejahtera.

Antara konsep dan falsafah itu termasuk mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, mengekalkan kedamaian dan kerukunan rumah tangga, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga, mewujudkan pergaulan suami isteri yang baik dan mewujudkan hubungan baik ibu bapa dengan anak.

Beliau berkata, keluarga yang menghadapi masalah hingga menyebabkan berlaku penderaan dan pengabaian kepada anak boleh menyebabkan kepincangan dalam masyarakat yang mana kesannya turut dirasai negara.

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan kehidupan berkeluarga dilimpahi perasaan kasih sayang serta saling hormat menghormati supaya anak dapat membesar dengan sempurna selain dapat mengelakkan keciciran dalam pelajaran.

“Rumah tangga perlu dijaga dengan baik daripada awal perkahwinan hingga akhirnya kerana apabila anak lahir nanti, mereka dapat dididik secara bersama oleh ibu bapa dengan baik. Keluarga yang dapat menghayati ajaran Islam mampu mewujudkan suasana damai dalam keluarga,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kumpulan sasar yang sepatutnya menghadiri seminar berkenaan kerana kebanyakan kes penderaan serta pengabaian kanak-kanak berlaku di kalangan keluarga golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, beliau berkata, perkara itu turut diberi perhatian Jakim.

Katanya, Jakim akan meminta bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO untuk menyampaikan maklumat serta memberi pendedahan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

No comments: