Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
DALAM soal pemakanan harian, Allah SWT menetapkan garis panduan halal dan haram yang merujuk kepada makanan boleh dimakan atau tidak. Langkah itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan rohani dan fizikal manusia. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik." (Surah al-Baqarah, ayat 168).
Perlu ditegaskan bahawa isu halal dan haram adalah isu sensitif kepada pengguna Islam kerana ia membabitkan kesucian agama. Oleh itu, pihak industri makanan halal di negara ini seharusnya menyedari sensitiviti umat Islam mengenai isu makanan halal.
Justeru, bagi menjamin kualiti makanan halal pihak industri lebih suka mendapatkan pengesahan halal dikeluarkan kerajaan dan tidak sewenang-wenang menggunakan sebarang logo halal.
Umat Islam di negara ini beruntung kerana kerajaan terbabit secara langsung dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengawalan pencemaran makanan halal. Inilah kelebihan dan faktor utama pengeluaran makanan halal negara ini terkenal di seluruh dunia.
Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) yang kini mengeluarkan sijil halal dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) mengamalkan prosedur pemeriksaan halal ketat bagi menentukan pengeluaran makanan halal memenuhi standard ditetapkan.
Langkah itu wajar sebagai usaha menjaga imej Islam dan mengekalkan prestasi keyakinan tinggi umat Islam terhadap produk makanan halal yang dikeluarkan di negara ini.
Perlu diinsafi bahawa pendedahan isu pemakanan halal mengisyaratkan bahawa umat Islam prihatin terhadap kesucian agama Islam, sekali gus menggambarkan mereka ingin mempraktikkan Islam sebagai cara hidup yang syumul dan seimbang dalam segala lapangan hidup.
Ini kerana umat Islam menyedari kepentingan makanan halal yang turut mencorakkan hala tuju kehidupan sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Memilih yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam kerana setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama baginya." (Hadis riwayat Ahmad)
Selain itu, umat Islam seharusnya menyedari bahawa mereka sepatutnya berusaha mengeluar dan membekalkan keperluan makanan halal sendiri. Apabila hal ini menjadi kenyataan, umat Islam tidak perlu lagi menjadi pengguna makanan halal yang diusahakan oleh orang bukan Islam.
Menurut beberapa penganalisis ekonomi dunia, nilai pasaran makanan halal dunia dianggarkan bernilai lebih AS$50 bilion (RM190 bilion) setahun membabitkan 1.6 bilion pengguna umat Islam di seluruh dunia.
Berdasarkan perkembangan itu, umat Islam sewajarnya berlumba-lumba mengambil kesempatan mengeluarkan produk makanan halal sendiri seperti mana dituntut Islam. Ini bukan saja akan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam, malah dapat mengembalikan kegemilangan dan kejayaan umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat.
Untuk mencapai matlamat itu, umat Islam perlu berusaha dan mengorak langkah dari sekarang untuk menjadi pengeluar dan pembekal utama makanan halal sedunia. Ini kerana kekuatan ekonomi tidak dapat dipisahkan daripada kemajuan dan tamadun sesebuah negara.
Malah Islam menggalakkan umatnya supaya menerokai dan menguasai sumber kekayaan sedia ada bagi membangunkan ekonomi mereka. Islam pada dasarnya tidak melarang umatnya menjadi kaya, tetapi Islam melarang seseorang itu memperoleh harta dengan menghalalkan segala cara seperti berjudi, merompak atau merampas.
Setiap manusia akan diaudit hartanya pada hari akhirat nanti dengan dua soalan iaitu dari mana harta itu diperoleh dan untuk apa harta itu digunakan. Islam menganggap harta sebagai urat nadi kehidupan yang akhirnya akan membawa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat di samping ia sebahagian daripada kepentingan individu dan masyarakat umum.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah sudah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan hidup kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niaga) dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik." (Surah al-Nisa', ayat 5)
Jelas daripada maksud ayat itu bahawa mencari harta bukanlah sesuatu yang terlarang, sebaliknya Islam menganjurkan umatnya memakmurkan bumi Allah SWT yang terbentang luas ini.
Zaman pasca moden ini menyaksikan persaingan sengit di kalangan negara maju dan sedang membangun untuk berjaya serta cemerlang dalam pelbagai bidang. Perlu diingat bahawa ekonomi adalah senjata paling ampuh berupaya mengangkat darjat dan maruah sesebuah negara.
Sebuah negara yang maju ialah negara yang kaya dan rakyatnya berilmu pengetahuan tinggi. Negara Jepun sebagai contohnya adalah kuasa dunia baru yang amat digeruni masa kini kerana rakyatnya rata-rata berilmu serta ekonominya juga kukuh dan kuat.
Sudah sampai masanya umat Islam di Malaysia bangkit daripada belenggu ketinggalan dengan memanfaatkan sebaik mungkin sumber kekayaan yang Allah SWT kurniakan bagi menghasilkan barang bermutu berjenama Malaysia untuk menguasai pasaran dunia, terutama produk makanan halal yang mendapat permintaan tertinggi di seluruh dunia kini.
Monday, May 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment