Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
HARI ini semua kakitangan awam, swasta dan persendirian menyambut Hari Pekerja. Selain mendapat satu hari cuti istimewa, objektif sambutan Hari Pekerja adalah untuk memberi peluang pekerja bermuhasabah diri mengenai tuntutan tanggungjawab dan amanah kepada kerjaya mereka.
Islam menitikberatkan etika kerja cemerlang. Etika kerja cemerlang sebenarnya bukan milik atau hak seseorang individu atau mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya ia meliputi keseluruhan pegawai dan kakitangan dalam sesebuah organisasi.
Kesan daripada etika atau budaya kerja cemerlang akan menjadikan organisasi itu maju dan berjaya kerana mempunyai pegawai serta kakitangan berkeupayaan tinggi. Mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi, patuh kepada arahan atau peraturan ditentukan pihak pengurusan dari semasa ke semasa.
Budaya kerja cemerlang sebenarnya adalah hak setiap individu dalam organisasi, bermula dari peringkat atasan hingga peringkat bawahan seperti buruh, tukang kebun, pelayan pejabat dan jawatan seumpamanya.
Jika budaya kerja cemerlang dapat diserapkan ke dalam minda setiap pegawai dan kakitangan kerajaan, maka tinggilah kualiti dan kuantiti kerja setiap individu seterusnya peningkatan produktiviti.
Apabila setiap pegawai dan kakitangan dapat menunjukkan tahap kecemerlangan dalam bidang kerjaya masing-masing, maka negara akan maju serta rakyatnya pula akan dapat menikmati taraf hidup lebih baik dan sempurna.
Islam sebagai agama yang syumul, menggalakkan setiap umatnya bekerja keras dan berusaha meningkatkan taraf hidup supaya bebas daripada belenggu kemiskinan kerana kemiskinan adalah musuh bagi setiap manusia.
Dengan kata lain, apabila budaya kerja cemerlang ada pada setiap individu, sudah pasti ia akan mendapat keuntungan selama hidup di dunia dan akhirat kerana setiap apa yang kita kerjakan dapat memberi sumbangan kepada setiap orang, termasuk diri, keluarga, bangsa dan seterusnya negara. Malah bekerja adalah ibadah yang dituntut Islam.
Oleh itu, setiap kerja disertai niat sama seperti kita menunaikan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Tanpa niat, sudah pasti amalan kita tidak akan diterima. Demikian juga dalam mencari kerja atau mencari rezeki, tentu ada matlamat dan disertai dengan niatnya sekali.
Tujuan kita bekerja sebenarnya adalah untuk menyara diri, keluarga, seterusnya memberikan sumbangan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, setiap pekerjaan yang kita lakukan, termasuk makan gaji sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta hendaklah seimbang.
Jika kita mendapat gaji penuh, maka waktu bekerja pula hendaklah cukup atau menepati waktunya kerana jika kita bekerja sambil lewa atau sering ponteng daripada menjalankan tugas dan kewajipan, sudah pasti ia akan ditanya Allah di akhirat nanti.
Sesungguhnya sikap malas dan kurang bersemangat untuk memajukan diri, terlalu mementingkan diri sendiri dan rapuh dengan pegangan agama sudah pasti akan membantutkan usaha melahirkan generasi pekerja cemerlang.
Pekerja sebeginilah yang selalunya menjalankan tugas dan tanggungjawab seadanya saja. Apabila ada arahan daripada ketua, barulah bekerja, selepas itu kembali duduk hingga waktu balik bekerja atau rehat.
Pegawai dan kakitangan yang menghadapi sindrom atau tabiat kurang baik ini, perlu diberi kursus, motivasi dan memerlukan pengawasan secukupnya terutama hubungannya dengan pemberian rezeki yang menjadi sumber kehidupan sepanjang perkhidmatan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kebenaran." (Surah al-Asr, ayat 3)
Selain memberi peringatan kepada mereka yang tidak dapat menggunakan masa dengan sebaiknya, Allah juga mengingatkan mereka mengenai golongan orang yang rugi kerana membuang masa di luar pejabat atau menyalahgunakan kuasa bagi mereka yang diamanahkan pihak berkenaan.
Kesan sikap tidak bertanggungjawab itu sudah tentu akan membabitkan banyak pihak termasuklah pelanggan yang sentiasa berurusan dengan mereka.
Renungkan kata negarawan Amerika, John F Kennedy: "Jangan ditanya apakah sumbangan negara kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu sumbangkan kepada negara."
Kata-kata hikmat dan padat itu harus menjadi pedoman berguna jika kita ingin maju dan memberikan sumbangan ke arah kecemerlangan bukan saja kepada negara tetapi juga bagi diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Thursday, May 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment