Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
UMAT Islam memerlukan sains sebagai antara sebab kejayaan mereka memimpin dunia hari ini. Antara prinsip Islam Hadhari ialah penguasaan ilmu pengetahuan dan kekuatan pertahanan. Kedua-dua aspek itu berkaitan dengan ilmu sains.
Kekuatan pertahanan memerlukan ilmu sains dalam membuat peralatan perang. Pengertian ilmu sains ialah ilmu yang maklumatnya (hasil daripada pengamatan fenomena alam tabii) dijana dan dikembangkan secara bersistem dengan kaedah tertentu oleh pencerapnya sehingga menumpukan pengetahuan yang boleh dipercayai sama ada melalui eksperimen alam hujah mantik secara teori.
Ia juga diertikan sebagai ilmu sains yang berpaksikan bagaimana manusia mampu mencerap dan memerhati alam tabii yang berkelakuan mengikut fitrahnya. Hasil pencerapan secara sistematik itu kemudiannya dihujah dan dianalisis secara mantik dan objektif dilakukan eksperimen dan perbandingan dengan andaian teori.
Pengetahuan itu terus dipupuk dan dikembangkan kemudiannya untuk menambahkan khazanah keilmuan sains itu sendiri. Pengertian sains Islam iaitu dirujuk dari segi sejarah dan aspek keislaman sains itu sendiri.
Istilah Sains Islam yang merujuk dari segi sejarahnya lebih menekankan sains dihasilkan ketika zaman kegemilangan tamadun Islam. Pandangan kedua mengenai Sains Islam adalah melalui keislaman ilmu sains itu sendiri. Aspek ini ditekankan sarjana Islam seperti al-Attas, Seyyed Hossein Nasr dan ramai lagi.
Menurut pandangan mereka, Sains Islam mempunyai nilai kerohanian tersendiri dan lahir daripada gabungan ajaran al-Quran dan ilmu lain. Oleh itu, Sains Islam perlu selaras dengan syariah Islam, berlandaskan tauhid yang menegaskan keEsaan Allah dan mempercayai kesatuan dalam ilmu. Di samping itu menggambarkan aspek pandangan alam berlandaskan ajaran Islam.
Kegagalan umat Islam kini disebabkan mereka tidak menguasai ilmu sains. Penguasaan umat Islam terhadap ilmu sains akan mengukuhkan kepercayaan kepada Allah. Kelemahan dalam ilmu sains menyebabkan umat Islam bergantung sepenuhnya kepada orang lain terutama dari segi ketenteraan dan teknologi maklumat.
Tujuan mempelajari sains, teknologi dan seluruh spektrum ilmu ialah untuk membangunkan dan digunakan sebagai alat bagi memenuhi hasrat ke arah keamanan, kemakmuran, kesatuan dan keadilan untuk umat manusia. Dalam konteks zaman sekarang, umat Islam menyedari kepentingan sains dalam kehidupan mereka.
Pada awal abad ini ada juga ulama seperti Muhammad Abduh dan Tantawi al-Jawhari melihat sains sebagai sesuatu yang penting bagi manusia. Perkara ditentang sebahagian sarjana Muslim apabila sains itu dipenuhi dengan nilai Barat dan tidak dibina dalam acuan Islam.
Pada 1960-an, barulah muncul sarjana Muslim mengasaskan sains mengikut acuan Islam dan proses Islamisasi ilmu. Oleh demikian, tidak timbul ulama menentang ilmu sains. Perkara yang ditentang ulama ialah sains Barat yang tidak bercirikan Islam kerana sains itu mempunyai premis tertentu dan mencabar amalan tradisi didasarkan kepada penemuan sains termasuk mencabar kesahihan dikemukakan dalam kitab agama termasuk Injil, Zabur dan al-Quran sendiri. Hujah sebegini menyebabkan segolongan ahli sains terkemuka dipenjara dan dihukum golongan gereja pada awal kebangkitan sains Barat moden.
Menurut Mohd Yusuf Othman, manusia memerlukan sains dan teknologi untuk membangun dan memperkasa bangsa mereka. Pembangunan berlaku secara berterusan dan tidak ada titik noktahnya selagi manusia masih ada. Tetapi pembangunan dan usaha memperkasa ummah tidak hanya bergantung kepada sains dan teknologi.
Dalam Islam pembangunan ummah sepatutnya merangkumi aspek kekuatan akidah, ilmu, budi pekerti, ekonomi, sains dan teknologi, kekuatan ikatan masyarakat, susunan perdamaian dan kekuatan jihad. Perkara yang dikhuatiri adalah apabila sains dan teknologi tidak dipandu nilai keagamaan dan keimanan hingga mendatangkan kerosakan daripada kebaikan.
Tanpa iman, manusia akan menjadikan nafsunya sebagai panduan. Oleh kerana nafsu tidak terbatas, maka kehendak nafsu juga tidak terbatas dan terkawal, akhirnya menjadikan sains dan teknologi hilang roh dan jiwa murninya untuk memakmurkan alam.
Ternyata dalam Islam, sains dan teknologi diperlukan untuk proses pembangunan ummah, tetapi pembangunan sains dan teknologi mestilah dilaksanakan dalam usaha membangun ummah secara keseluruhannya. Sains dan teknologi perlu dibangunkan dalam acuan pembangunan lebih besar, yang dapat memastikan keharmonian pembangunan insan secara menyeluruh.
Oleh kerana ilmu sains dianggap sebahagian daripada ilmu yang perlu dibangunkan atas tuntutan membangunkan alam, maka premis dan tanggapan sarjana Islam terhadap ilmu sains adalah berbeza daripada tamadun lain. Umat Islam tidak mungkin dapat memahami perkembangan dan pembangunan sains dan teknologi tanpa mengetahui ajaran Islam itu sendiri.
Islam menjana pembangunan sains dan teknologi Islam. Ilmu sains dan teknologi tidak dapat dipisahkan daripada ilmu yang berhubung dengan ilmu ketuhanan, adab dan akhlak, etika dan moral dan ilmu yang berhubung dengan pembangunan dunia ini keseluruhannya.
Perlu difahami bahawa yang disifatkan sebagai pembangunan insan bukan sekadar membangunkan sains dan teknologi. Sesungguhnya jatuh bangun tamadun silam bukanlah terletak kepada penguasaan sains dan teknologi.
Tamadun silam jatuh kerana ada segolongan insan yang mementingkan diri sendiri, lantas sains dan teknologi dijadikan wahana terpenting memenuhi kehendak peribadi ini. Akhirnya dukungan ke arah memperkasa umat menjadi lemah.
Bagi mengatasi masalah kekurangan saintis, adalah disarankan supaya dunia Islam menyediakan tempat dan dana mencukupi, peralatan dengan makmal yang lengkap dan insentif peribadi supaya saintis Muslim dapat melakukan kajian di negara Islam.
Sebenarnya, umat Islam sekarang tidak kekurangan jumlah saintis Muslim, tetapi mereka tidak bekerja di negara Islam. Apa yang diperlukan ialah kehendak dan keazaman untuk melakukannya kerana keupayaan itu sudah pun ada dengan prasarana mencukupi.
Penguasaan umat Islam kepada ilmu sains akan mengukuhkan kepercayaan kepada Tuhan. Di samping itu, penguasaan ilmu ini akan membantu masyarakat Islam bersaing dalam apa juga bidang.
Sains dan teknologi adalah kunci kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi. Hubungan antara ekonomi dan teknologi dalam negara maju ibarat aur dengan tebing. Perkembangan sains perlu kepada minat masyarakat.
Perkembangan sains perlu dirancang dengan objektif yang jelas. Ahli sains dan teknologi bertanggungjawab memimpin, menjaga kesejahteraan ummah dan mengembangkan ilmu bermanfaat pada peringkat individu serta ummah.
Masa depan Islam terletak di tangan orang Islam. Umat Islam tidak mampu menjelmakan Islam sebagai kuasa pembangunan tamadun agung tanpa sains dan teknologi. Hanya mereka yang berketrampilan dalam sains dan teknologi mampu menggunakan sains dan teknologi untuk memanfaatkan dan menjaga sumber alam bagi tujuan membina tamadun Islam.
Keupayaan dalam sains dan teknologi adalah sesuatu keperluan pada era globalisasi. Di samping itu, penyelidikan sains perlu dipertingkatkan dalam ilmu sains di kalangan umat Islam di Malaysia.
Penyelidikan dan dana daripada kerajaan, badan korporat dan institusi zakat diperlukan untuk mengorak Malaysia sebagai negara maju terutama dalam melahirkan saintis Muslim. Kerajaan dan masyarakat Muslim perlu peka terhadap ilmu sains yang bercirikan nilai Islam supaya sains yang dibina mengharmonikan kemajuan dunia dengan tauhid kepada Tuhan.
Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali adalah Felo Pemikiran dan Siasah Islam di Future Global Network, sebuah badan bukan kerajaan
Tuesday, May 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment