Saturday, May 10, 2008

Cogan kata makna amal jariah pikat juri

COGAN kata menerangkan awalan setiap huruf perkataan AMAL JARIAH yang mempunyai makna tersendiri membawa tuah kepada suri rumah, Hamizah Mohd Rashid, 47, dari Seremban, Negeri Sembilan untuk menjadi juara Kuiz Bersama YaPEIM anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Berita Harian.

Beliau yang tidak dapat hadir pada majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Bersama YaPEIM-Berita Harian malam Selasa lalu kerana baru lepas menjalani pembedahan tumit, bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana cogan kata yang dihasilkan bersama suami, Hasni Hussin, berjaya menarik perhatian panel juri.

"Saya berbincang dengan suami dan akhirnya kami bersetuju mencipta pantun daripada perkataan amal jariah untuk menjelaskan kepentingan sifat memberi untuk memantapkan keimanan, mengerat silaturahim dan mencari keredaan Allah," katanya ketika dihubungi.

Hamizah yang menerima hadiah pakej umrah dan ziarah bernilai RM11,000, wang tunai RM2,000 dan buku terbitan YaPEIM berkata, beliau bersama suami akan menunaikan umrah ke Tanah Suci pada 25 Mei ini.

Pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hamizah diwakili anak perempuannya, Nor Farhana Aini Hasni. Hadir sama Ketua Pengarang Berita Harian, Datuk Manja Ismail, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malik Awang Kechil.

Kuiz Bersama YaPEIM bertujuan memberi nilai tambah kepada rencana mengenai yayasan yang disiarkan setiap Rabu di Ruangan Agama, Berita Harian.

Pembaca perlu menjawab lapan soalan terkumpul berdasarkan rencana disiarkan serta melengkapkan cogan kata pada borang terakhir. Kuiz Bersama YaPEIM-Berita Harian bermula 26 September dan berakhir 12 Disember 2007.

Pemenang kedua, Norpisah Abdul Manap berkata, beliau tidak menyangka akan tersenarai sebagai pemenang hadiah utama dan bersyukur kerana kesungguhan mengumpul soalan serta menghasilkan cogan kata terbaik membuahkan kejayaan.

Katanya, penganjuran kuiz seperti itu secara tidak langsung menggalakkan pembaca meneliti rencana yang disiarkan dan selain mendapat hadiah jika menang, mereka didedahkan kepada maklumat semasa berkaitan perkembangan yayasan itu.

"Kuiz ini sebagai penggalak dan saya rasa penganjuran kuiz boleh membantu pihak berkenaan menyampaikan maklumat mengenai organisasi mereka dengan lebih berkesan. Selain itu, usaha mencari jawapan turut mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya yang mendapat bantuan anak untuk mencari jawapan serta cogan kata.

Norpisah menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan buku terbitan YaPEIM. Tempat ketiga dimenangi Mohd Adnan Yazid dari Machang, Kelantan, yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan buku terbitan YaPEIM.

No comments: