LAKSANA TUGAS: Pekerja awam atau swasta mempunyai tanggungjawab terhadap pelanggan yang memerlukan khidmat mereka. - Gambar hiasan
Tepati janji, ikhlas laksana tanggungjawab tonjol sifat Muslim sejati
AMANAH adalah satu konsep yang luas meliputi sikap bertanggungjawab terhadap Allah dan sesama manusia. Di dalam konsep bertanggungjawab kepada Allah apa yang ditekankan ialah semua harta dan kekayaan yang ada di dalam dunia ini adalah milik Allah.
Kita semua hanyalah khalifah atau pemegang amanah yang diamanahkan dengan harta tertentu untuk sementara waktu sehingga ia berpindah kepada orang lain disebabkan kita mati atau sebab lain. Tugas kita sebagai pemegang amanah ialah untuk menjaga harta ini sebaik mungkin bagi memastikan ia tidak susut atau rosak dan ia mendatangkan faedah kepada sebanyak mungkin ummah.
Di dalam konsep amanah sesama manusia, setiap kita adalah dibebankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memimpin dan menunjukkan contoh yang baik. Jadi kita perlu melaksanakan amanah ini dengan baik.
Di samping itu, apabila diberikan amanah oleh rakan atau sesama insan, kita perlulah menunaikan tanggungjawab itu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Amanah di sini dikhususkan kepada konsep berpegang teguh dengan janji dan persetujuan sama ada nyata atau diandaikan. Ia biasanya dirujukkan kepada tanggungjawab penyimpanan harta bagi pihak orang lain.
Di dalam amalan hari ini usaha melobi dan mengipas adalah satu usaha tidak beramanah kerana ia akhirnya mengetepikan sesuatu kepentingan yang sudah diterima atau diakui dan mengabaikan kebolehan orang yang berkemampuan dengan melebihkan orang yang kurang layak.
Amanah tidak semestinya dikaitkan dengan harta. Ia boleh dikaitkan dengan tanggungjawab atau jawatan. Hadis Nabi Muhammad diriwayatkan oleh Muslim berbunyi, "Pengkhianat yang paling besar dan paling bahaya ialah yang dilakukan oleh seseorang yang ditugaskan menjaga urusan itu dari pengkhianatan".
Amanah dikatakan sebagai 'perasaan hati kecil' yang sensitif di samping kefahaman yang benar terhadap al-Qur'an dan al-Sunnah. Amanah satu sifat kelebihan yang sangat besar disamakan oleh Allah sebagai bebanan semua yang ada di alam wujud ini. Oleh itu, ia tidak boleh dipandang ringan dan dicabuli haknya. Ini dijelaskan di dalam firman Alllah yang berbunyi:
"Sesungguhnya kami mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya." (al-Ahzab 33:72)
Kesimpulannya, orang yang melanggar amanah itu adalah dianggap zalim dan jahil. Mereka ini bersikap mengkhianati, munafik dan menyekutukan Allah. Jadi wajarlah mereka ditimpa azab sengsara.
Menepati janji ini juga luas pengertiannya. Ia meliputi sikap menunaikan janji bila membuat temu janji, menyempurnakan tugas tepat pada waktu yang dijanjikan sehinggalah menepati semua akad perjanjian yang telah dimeterai. Menepati janji dikaitkan dengan amanah, di mana orang yang tidak menepati janji dianggap sebagai pecah amanah. Janji mestilah ditunaikan dan sumpah mestilah dilaksanakan. Balasannya ialah janji dan sumpah itu mestilah kepada perkara benar dan perkara kebajikan saja. Janji tidak boleh berlaku kepada perkara maksiat dan sumpahan tidak berlaku kepada perkara yang berdosa.
Usaha menepati janji memerlukan dua sifat di dalam diri, pertamanya ialah kekuatan daya ingatan dan keduanya kekuatan keazaman atau kemahuan. Jadi ingatan yang berterusan adalah perlu untuk orang yang berjanji supaya ia dapat menunaikannya. Itulah sebabnya kita perlu menyimpan rekod dan mendokumenkan perjanjian di dalam bentuk surat ikatan perjanjian. Keazaman kuat pula hanya boleh dipupuk dengan memperkecilkan hawa nafsu yang meronta, sikap memandang ringan segala kesusahan yang bakal menimpa dan semangat pengorbanan untuk cuba menepati janji.
Satu lagi konsep 'menunaikan janji' ialah sikap seseorang yang mengenang zaman dahulunya untuk kebaikan masa kini dan masa depan. Jika dulu, ia di dalam keadaan sengsara kemudian Allah menjadikannya senang dan kaya-raya adalah tidak wayar baginya untuk mendakwa bahawa ia tidak pernah mengalami kemiskinan. Ini boleh menjadikannya bongkak serta mengingkari kenyataan yang berlaku. Sikap itu adalah satu pengkhianatan yang boleh membawa seseorang itu bersikap munafik sehingga menjauhkan rahmat Allah sepertimana di dalam kisah 'Tha'labah' yang masyhur.
Nilai menunaikan janji adalah berkaitan 'menjelas atau menunaikan hutang'. Ini adalah hak yang paling dituntut oleh Allah menangguhkan pembayaran balik hutang adalah satu yang dianggap datang dari bisikan tamak. Lebih pokok sebenarnya ialah Islam menegah tindakan berhutang di dalam soal yang diperlukan. Bagaimanapun, Allah memaafkan mereka yang terpaksa berhutang kerana keperluan yang mendesak dan juga memaafkan orang yang tidak mampu menjelaskan hutang kerana ditimpa mala petaka.
Kepentingan hutang ini ditonjolkan di dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang berbunyi, "ahli syahid diampunkan segala dosanya kecuali hutang."
Ikhlas pula dikaitkan dengan niat atau dorongan di dalam melakukan sesuatu. Ini biasanya dikaitkan dengan naluri semula jadi manusia yang menjadi asas budi pekerti umum. Di dalam Islam, kita mengamati secara halus niat yang mengiringi setiap gerak laku manusia dan juga perasaan yang menyelubungi.
Bagi Islam, nilai sesuatu perbuatan itu pada asasnya terhenti kepada tabiat dorongan atau niat yang mencetuskan perbuatan itu. Malahan segala kelazatan nikmat yang diingini oleh nafsu jika disertakan dengan niat yang baik maka ia bertukar menjadi amalan yang bertujuan mendapat pahala dari Allah. Nilai faedah atau pahala yang diperoleh dari suatu amalan yang baik akan berlipat ganda jika ia dilakukan dengan penuh ikhlas. Sebuah hadis Nabi Muhammad berbunyi, "Ikhlaslah terhadap agamamu, cukup bagimu amalan yang sedikit."
Di dalam perniagaan, keikhlasan boleh diterapkan di dalam tugasnya sebagai 'pemberian perkhidmatan' kepada pengguna. Jika peniaga berazam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna atas niat mendapatkan keredaan Allah sudah pasti bukan saja perniagaannya akan bertambah maju dan berkembang disebabkan oleh sikap kita amat baik kepada pelanggan tetapi juga kita akan memperoleh pahala berlipat ganda.
Di dalam falsafah perniagaan Barat pelanggan itu adalah raja. Berasaskan kepada akhlak Islam, pelanggan itu bukan lagi raja. Allah adalah Raja yang mutlak yang melihat dan yang mengetahui apa yang kita lakukan. Jika kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan niat untuk mendapatkan keredaan atau balasan dari Allah, pastinya kita akan lebih bersikap murni kepada pelanggan. Menganggap sebagai raja boleh dilakukan secara hipokrit hanya di hadapan pelanggan saja. Bersikap baik terhadap pelanggan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah menjadikan kita bersikap baik sepanjang masa terhadap pelanggan kerana kita menyedari bahawa Allah sentiasa mengawasi kita sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment