Oleh Abdurrahman Haqqi
Memperjuang ketuanan kerap disalah faham sedangkan ia cara tersendiri bangsa pertahan agama
MENURUT konsep al-Quran, terciptanya sesuatu bangsa adalah natijah semula jadi daripada perhimpunan beberapa manusia selepas diciptakan seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawa AS). Allah berfirman maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain." - (Surah al-Hujarat: 13).
Dalam ayat ini, al-Quran menggunakan perkataan 'khalaqna' (Kami menciptakan) bagi penggandaan manusia daripada sesuatu yang belum wujud menjadi wujud, manakala perkataan 'ja'alna' (Kami menjadikan) bagi proses menjadikan sesuatu daripada sesuatu yang lain. Adam dan Hawa diciptakan kerana kedua-duanya pada asalnya tidak wujud sedangkan bangsa dan suku puak dijadikan daripada Adam dan Hawa dalam satu proses pembiakan sampai kepada zaman kita. Inilah satu rahsia penggunaan 'khalaqa' bagi penciptaan Adam dan Hawa, dan 'ja'ala' bagi timbulnya bangsa dan suku puak dalam al-Quran al-Karim.
Al-Quran menggunakan beberapa perkataan bagi merujuk perkataan dan pengertian bangsa seperti 'qaum', 'ummah', 'umam', 'nas', 'ahl', 'syu'ub', 'qabail' dan 'bani'. Sedangkan bangsa dalam kamus mempunyai beberapa pengertian, iaitu jenis manusia daripada satu asal keturunan dan kumpulan manusia di dalam satu ikatan ketatanegaraan.
Perkataan 'qaum' disebut al-Quran sebanyak 322 kali, manakala 'ummah' disebut 51 kali dan 'syu'ub' dan 'qabail' masing-masing satu kali yakni dalam surah al-Hujarat ayat 13. Perlu disebut di sini bahawa Abu 'Ubaidah, seorang pakar bahasa Arab silam memahami 'syu'ub' sebagai kelompok manusia bukan Arab dan 'qabail' sebagai kelompok manusia Arab dalam suku dan puak. 'Qaum' pula pada mulanya berasal daripada 'qiyam' yang bererti 'berdiri atau bangkit'. Nampaknya kata 'qaum' digunakan untuk menunjukkan kepada sekumpulan manusia yang berdiri dan bangkit untuk berperang memperjungkan sesuatu. Oleh itu, ia digunakan hanya untuk kaum lelaki.
Selain itu, daripada 51 kali disebutkan dalam al-Quran, kata 'ummah' mempunyai beberapa pengertian. Dalam al-Mufradat fi Gharib al-Quran, kamus al-Quran karangan al-Raghib al-Asfahani, umat didefinisikan dengan: "kelompok yang dihimpun oleh sesuatu sama ada persamaan agama, waktu, mahupun tempat, sama ada pengelompokan itu secara terpaksa mahupun atas kehendak sendiri.
Jumlah anggota suatu umat tidak dijelaskan oleh al-Quran. Ada yang berpendapat minimum 40 atau 100 orang. Bagaimanapun, al-Quran bahkan menyebut seorang pun boleh dianggap sebagai umat seperti dalam ayatnya yang merujuk Nabi Ibrahim bermaksud: "Sesungguhnya Nabi Ibrahim adalah 'satu uma' (walaupun dia seorang diri); dia taat bulat-bulat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas tauhid; dan dia tidak pernah menjadi orang yang musyrik." (Surah al-Nahl: 120)
Ia menunjukkan bahawa kata 'umat' adalah fleksibel boleh disesuaikan dengan keadaan dalam memahaminya kerana dalam ayat ini meskipun Nabi Ibrahim seorang diri tetapi Allah menyifatkannya sebagai 'satu umat' kerana terhimpun padanya segala sifat kebaikan dan kesempurnaan yang hampir-hampir tidak wujud melainkan pada sesuatu umat yang ramai bilangannya.
M Quraish Shihab dalam Wawasan al-Quran berkata, dalam al-Quran ternyata ditemukan sembilan kali kata umat yang digandingkan dengan kata 'wahidah', sebagai sifat umat. Tidak sekali pun al-Quran menggunakan wahdah al-Ummah atau Tauhid al-Ummah (Kesatuan/penyatuan umat)... al-Quran menekankan sifat umat yang satu, dan bukan pada penyatuan umat, ia juga bererti bahawa yang utama adalah perpaduan, bukan penyatuan.
Perlu digariskan bahawa makna umat dalam konteks itu adalah pemeluk agama Islam. Ayat itu pada hakikatnya menyatakan bahawa agama umat Islam adalah agama yang satu dalam prinsipnya, tiada perbezaan dalam akidahnya, walaupun boleh berbeza dalam rincian (furu') ajarannya. ErtinYa, kitab suci ini mengakui kepelbagaian dalam kesatuan.
Ia juga seiring kehendak Ilahi, antara lain yang dinyatakan-Nya dalam al-Quran surah al-Maidah: 48, "Seandainya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja)."
Jalaluddin al-Afghani, yang dikenali sebagai penyeru perpaduan Islam (Liga Islam atau Pan Islamisme), menegaskan bahawa ideanya itu bukan menuntut agar umat Islam berada di bawah satu kekuasaan, tetapi hendaknya mereka mengarah kepada satu tujuan serta saling membantu untuk menjaga kepentingan masing-masing.
Bukan saja manusia disifatkan berbangsa dan bersuku kaum, bahkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan pun mempunyai sifat bangsa dan suku kaum. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan mereka umat seperti kamu." (Surah al-An'am: 38) 'Umat' dalam ayat ini mempunyai pengertian 'seluruh golongan manusia, bangsa' seperti satu makna yang diberikan dalam kamus.
Kewujudan bangsa dan suku puak dalam sejarah manusia adalah bukti kekuasaan Allah yang perlu difahami orang yang berpengetahuan. Allah SWT menegaskan maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan." (Surah al-Rum: 22). Perbezaan bahasa dan warna kulit dalam ayat ini merujuk kepada bangsa yang menurut kamus lain mempunyai definisi 'kesatuan orang yang bersamaan asal keturunan, adat, bahasa, sejarahnya dan pemerintahan sendiri.'
Walaupun tidak disebut secara khusus oleh al-Quran, bangsa Melayu seperti juga bangsa lain di dunia adalah satu bukti kebenaran al-Quran yang mengisyaratkan akan kewujudan bangsa berkenaan. Bangsa Melayu menjadi bangsa terbilang dalam kancah peredaran tamadun kemanusiaan selepas ia menerima Islam seperti bangsa Arab menerima Islam yang dibawa junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Firman Allah maksudnya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.
Kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk dan hidayah-Nya." (Surah Ali 'Imran: 103).
Sebagai entiti kelompok manusia yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidupnya, bangsa Melayu perlu mengekalkan nilai luhur kebudayaannya yang berunsurkan kebaikan, kebajikan, kemuliaan, faedah dan dinamisme kehidupan. Nilai murni ini mesti dijadikan sandaran hidup berkeluarga, bermasyarakat, berbangsa dan bernegara. Di antara nilai itu termasuk nilai mengenai pemikiran, pertuturan, pentadbiran, sifat, sikap, bakat, budi pekerti, adat resam, adat istiadat, penggunaan bahasa Melayu dan cara hidup kemelayuan pada keseluruhannya yang berintikan etika, adat resam, sopan santun dan budi bahasa yang tidak bertentangan dengan Islam.
Termasuk dalam nilai luhur di atas adalah awar galat dan hormat menghormati; menghormati orang lebih tua; mentaati ibu bapa; menghormati ulama; menghormati guru; mentaati pemimpin; mematuhi adat; rajin; adunan; sayang menyayangi; menghargai keturunan Rasulullah SAW; timbang rasa; mengasihani orang luar; dan bertolak ansur.
Pengekalan nilai luhur kebudayaan Melayu di atas membentuk suatu bangsa yang dinamik, bekerja keras, bertamadun tinggi dengan sistem kekeluargaan dan kemasyarakatan yang kukuh, bermuzakarah, bijaksana dalam membuat keputusan serta menjiwai dan peka kepada kemajuan dan pembangunan.
Di samping itu, ada satu nilai luhur warisan Melayu berasaskan ajaran Islam yang perlu terus dikukuhkan yakni nilai taat kepada raja. Nilai taat kepada raja menjadi identiti orang Melayu dari satu zaman ke satu zaman sehingga terukir satu peribahasa Melayu: "Pantang Melayu menderhaka raja" sebagai pentafsiran kepada ayat al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu." (Surah al-Nisa: 59)
Dengan karakteristik demikian yang berpaksikan nilai luhur agama Islam, bangsa Melayu ada kalanya disalah faham dalam sepak terajang perjuangannya sama ada oleh orang Melayu sendiri mahupun orang bukan Melayu. Hal ini tercermin dalam realiti kehidupan bangsa Melayu Islam hari ini. Ketika mereka ingin memperjuangkan ketuanan mereka yang terinspirasi daripada ajaran Islam disalah faham dan begitu pula ketika mereka seolah-olah tidak endah terhadap ketuanan mereka juga disalah faham.
Dalam mempertahankan Islam sebagai agama, setiap bangsa ada cara dan sistemnya sendiri. Bangsa Arab mempertahankan Islam dengan cara dan sistemnya sendiri; Bangsa Turki, Iran, Pakistan, China, India, dan Eropah Islam mempertahankan Islam dengan cara dan sistemnya sendiri; begitu juga bangsa Melayu mempertahankan Islam dengan cara dan sistemnya sendiri. Masing-masing cara dan sistem akan berbeza keberkesanannya jika diaplikasi ke atas satu dengan yang lainnya.
Kewujudan bangsa di dunia dengan segala sifat dan watak masing-masing adalah tanda kekuasaan Allah yang mesti dilestarikan dan dikembang biak mengikuti nilai bangsa masing-masing. Jika sifat dan watak satu bangsa menguasai sifat dan watak bangsa lain, maka terjadilah 'penjajahan' sifat dan watak satu-satu bangsa oleh bangsa lain dan ia bukan tujuan Islam seperti ditegaskan dalam ayat 13 Surah al-Hujarat.
Agar bangsa Melayu Islam tidak kucar kacir dan berjalan masing-masing mengikuti jalurnya sendiri, maka ada baiknya mereka menghayati firman Allah dalam ayat 103 Surah Ali 'Imran di atas yang bermaksud; "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dulu)." Wallahu a'lam.
Sunday, May 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment