Oleh Lokman Ismail
KEINGINAN menikmati kesenangan lahir daripada fitrah manusia sebagai tindak balas spontan berdasarkan keperluan rohani dan jasmani. Islam menekankan kepada perlumbaan mencari rezeki supaya lahir dalam masyarakat yang memberi kebaikan dan menolong satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan rezeki seseorang daripada yang lain.” (Surah an-Nahl, ayat 71)
Individu yang mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang, usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu segera bekerja untuk menampung keperluan sendiri.
Jika sudah meninggalkan bangku sekolah lebih awal disebabkan kandas atau halangan lain, elok terus bekerja mengikut kelulusan. Mereka yang bekerja mencari rezeki dipandang mulia sebagai tanda sikap bertanggungjawab. Seseorang tidak harus malu melakukan pekerjaan dianggap rendah pada mata masyarakat. Sesungguhnya, mencari rezeki halal lebih penting berbanding melihat taraf pekerjaan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan daripada usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Keikhlasan dan rasa bertanggungjawab penting untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan kerana itu yang akan dinilai bagi menentukan kedudukan maruah seseorang. Orang berjawatan tinggi yang terbabit rasuah lebih hina daripada seorang berjawatan kuli yang melaksanakan tugas dengan jujur.
Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya dan keluar daripada kemiskinan. Setiap pekerja mesti menetapkan satu tahap kecekapan yang tinggi untuk mencapai apa dikehendaki. Kekayaan tidak datang dengan sendirinya seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Justeru, setiap pekerja mesti mencari rezeki untuk mendapat kekayaan dan buang sikap malas yang menghalang kejayaan hidup.
Generasi muda berpeluang mencari kekayaan dan kejayaan memandangkan tenaga masih kuat serta semangat sentiasa membara. Sikap sesetengah golongan muda yang lebih suka menghabiskan masa bersuka ria perlu dihentikan kerana pada umur muda inilah perlu dipergunakan untuk mengorak langkah menuju kejayaan.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan golongan muda supaya menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Kelebihan ketika muda perlu dimanfaatkan untuk memulakan usaha mencari rezeki.
Banyak individu yang berjaya sebenarnya berusaha dari usia muda dan hanya mencapainya selepas umur 40-an atau kira-kira 20 tahun berusaha. Bahkan ada yang hanya mencapai kejayaan selepas usia melepasi 50 tahun.
Islam menggalakkan setiap Muslim bekerja gigih untuk merebut setiap kurniaan yang Allah sediakan di muka bumi ini. Sikap mudah berpuas hati dengan apa dimiliki menjadi penghalang kepada kejayaan umat Islam.
Kita bimbang dengan sikap individu yang tidak mahu berusaha secara berlipat ganda kerana lama kelamaan ia akan menjadi satu budaya dalam masyarakat yang mana merasa satu ‘kepuasan’ jika mampu mengadakan keperluan asas biarpun serba daif.
Sikap inilah yang turut mendorong golongan muda sekadar berpuas hati dengan apa diwarisi daripada ibu bapa. Mereka lebih berminat berhibur, berlumba haram dan terbabit dalam aktiviti bermasalah biarpun keluarga dalam keadaan daif yang memerlukan mereka berusaha. Sesungguhnya, amat besar pahala bagi anak yang membantu keluarga dalam soal kewangan khususnya kepada kedua ibu bapa.
Rasulullah SAW menjelaskan anak yang soleh melakukan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya dijanjikan pahala besar ketika menemui Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat Thabrani)
Kisahnya, sedang Rasulullah SAW berbual dengan sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat (dalam lingkungan umur belia) lalu di hadapan mereka. Maka sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang membela agama Allah.”
Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mereka mencari rezeki untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika keluar kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” (Hadis riwayat Thabrani)
Friday, May 2, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment