Thursday, May 22, 2008

HAK MUSLIM: Suami tabur janji melangit untuk kahwin lagi

SYARAT untuk suami berpoligami ialah membuat permohonan ke mahkamah. Lelaki jika mahu berpoligami apa pun mereka boleh buat, contohnya menulis pendapatannya bagi yang berniaga. Mahkamah hanya lihat pada pendapatan dan meluluskan. Ini terjadi kepada suami saya yang dibenarkan berpoligami oleh mahkamah. Namun, kini beliau selalu mengadu tidak cukup duit, perlu berjimat, jangan boros dan belajar hidup bersederhana. Sejak berpoligami, suami tidak memberi nafkah batin kepada saya hampir dua tahun. Jika saya membuat aduan kepada Mahkamah Syariah, apakah jatuh talak kerana dia sudah menipu berkenaan pendapatannya ketika memohon berpoligami dan kini tidak berlaku adil.

Inginkan Pembelaan,

Seremban, Negeri Sembilan.

SEMOGA puan sentiasa dilimpahi Allah dengan kesabaran tinggi mengharungi dugaan hidup. Sesungguhnya Allah tidak sesekali memberatkan seseorang dengan dugaan yang tidak tertanggung olehnya. Ujian Allah juga sebagai tanda kasih-Nya untuk menambahkan pahala kepada mereka yang bersabar dan insaf dengan ujian itu.

Bagi menjawab persoalan puan, rujukan dibuat terhadap Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 (EUUKI). Sejak 2003, EUUKI meluluskan peruntukan baru Seksyen 23 berkaitan poligami.

Subseksyen (5) seksyen berkenaan memperuntukkan antara lain, apabila menerima permohonan mahkamah mesti atau wajib memanggil pemohon, isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan sesiapa saja difikirkan boleh memberikan keterangan berkaitan permohonan berpoligami itu untuk ke mahkamah.

Mahkamah boleh membenarkan permohonan jika berpuas hati perkahwinan itu patut atau perlu berdasarkan sebab tertentu, pemohon mempunyai kemampuan menanggung isteri dan bakal isteri serta tanggungan sedia ada, berupaya memberikan layanan adil kepada semua isteri dan perkahwinan dicadangkan tidak menyebabkan darar syari’e kepada isteri sedia ada.

Pemohon perlu menyertakan segala butir pendapatan, tanggungan sedia ada dan bakal isteri.

Butir itu khasnya pendapatan perlu disokong dengan bukti bertulis daripada majikan atau jika bekerja sendiri, melalui akaun peribadi.

Salinan permohonan hendaklah disampaikan kepada puan sebagai isteri sedia ada dan puan boleh hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

Walaupun puan tidak hadir ke mahkamah, bukanlah sewenang-wenangnya bagi mahkamah membenarkan berpoligami jika semua keperluan yang disyaratkan oleh Seksyen 23 tidak memuaskan hati mahkamah.

Selain itu, walaupun isteri sedia ada bersetuju suami berpoligami, malah memilih calon isteri baru untuk suami, mahkamah tidak boleh membenarkan permohonan jika tidak berpuas hati atau suami gagal membuktikan keupayaannya seperti disyaratkan dalam seksyen berkenaan.

Nyata, peruntukan baru Seksyen 23 itu lebih ketat dan tidak memudahkan kebenaran berpoligami.

Penyataan bahawa mahkamah hanya lihat pada pendapatan dan meluluskan permohonan berpoligami boleh dipertikaikan kerana memberi tohmahan kepada Mahkamah Syariah.

Puan tidak menyatakan sama ada puan hadir atau tidak ke mahkamah semasa perbicaraan kes permohonan berpoligami suami dan apa terjadi ketika perbicaraan kes.

Jika penyataan mahkamah hanya lihat pada pendapatan dan meluluskan benar terjadi dalam kes suami puan, puan berhak merayu terhadap keputusan mahkamah seperti dibenarkan oleh subseksyen (7) Seksyen 23 dengan mengemukakan alasan rayuan puan.

Jika puan mendakwa suami tidak menunaikan nafkah batin selama dua tahun, puan berhak menuntut cerai secara fasakh seperti diperuntukkan Seksyen 53 EUUKI iaitu seseorang perempuan berhak mendapat suatu perintah untuk fasakh atas satu atau lebih alasan.

Antara alasan itu, suami tidak menunaikan tanpa sebab munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun dan/atau suami sudah menganiayai isteri, jika suami mempunyai lebih daripada seorang isteri, dia tidak melayani isteri secara adil mengikut hukum syarak.

Namun, permohonan puan hendaklah difailkan iaitu didaftarkan ke Mahkamah Syariah dengan menyatakan alasan tuntutan. Jika suami tidak bersetuju menceraikan puan secara lafaz talak, ketika perbicaraan kes fasakh, puan perlu membawa bukti, keterangan serta saksi menyokong alasan tuntutan.

Aduan semata-mata ke mahkamah tidak boleh membubarkan perkahwinan puan. Hakim Syarie tetap terikat dengan hukum syarak dalam membuat keputusan yang pihak menuntut atau pihak kena tuntut hendaklah memberikan keterangan masing-masing dengan membawa bukti, saksi atau keterangan lain yang boleh membantu mahkamah membuat keputusan.

Puan perlu sanggup bersumpah istizhar jika diminta mahkamah berkaitan dakwaan tiada nafkah batin selama dua tahun.

Dapatkan khidmat peguam syarie daripada Biro Bantuan Guaman atau swasta untuk meneruskan perjuangan dan semoga melalui saluran yang benar, puan berjaya memperoleh pembelaan sewajarnya.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.

No comments: