Thursday, May 1, 2008

Personaliti: Perubatan Islam tak guna unsur jin

Oleh Hasliza Hassan

Sheikh Ahmad Nur Zihan

Sheikh Ahmad amal ayat al-Quran, zikir dan khasiat bahan semula jadi rawat pesakit

SEBUT saja perubatan Islam, pasti terbayang penyakit dirasuk makhluk halus, sihir, santau atau perbuatan berkaitan gangguan jin dan syaitan. Tanggapan itu membataskan pengertian terhadap perubatan Islam yang hakikatnya meliputi bidang yang luas.

Hasil penyelidikan serta kajian dilakukan mengenai ilmu Allah yang diturunkan dalam al-Quran, perubatan Islam juga mampu merawat serta mengubati pelbagai penyakit seperti jantung, barah, buah pinggang serta penyakit fizikal lain.

Pengasas Rawatan Thib An Nabawi, Sheikh Ahmad Nur Zihan al-Hafiz, berkata kemampuan cara perubatan Islam membantu pesakit untuk sembuh memberi keyakinan masyarakat mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan Islam.

Bagaimanapun katanya, masih wujud kekeliruan terhadap maksud sebenar perubatan Islam dengan perkhidmatan memberi rawatan cara moden, tetapi menekankan amalan dianjurkan Islam ketika melayan pesakit.

"Di pusat perubatan Islam, cara rawatan sama seperti hospital lain, tetapi perkhidmatan diberi kepada pesakit menitikberatkan nilai Islam. Jika makan ubat, kita suruh di baca Bismillah dulu. Apabila datang kepada pesakit, beri salam.

"Perubatan Islam ialah teknik rawatan yang menggunakan ayat al-Quran, zikir serta ubat-ubatan yang dihasilkan daripada bahan seperti habbatul sauda' (jintan hitam), madu, kurma dan air zam-zam.

Kemudian kita anjurkan pesakit bertawakal untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah," katanya.

Beliau berkata, teknik rawatan kepada pesakit yang menemuinya lebih kepada pencegahan di mana beliau akan menasihatkan mereka cara terbaik melawan penyakit termasuk dengan memakan ubat, mengamalkan zikir serta penjagaan pemakanan yang sihat.

Pembabitan Syeikh Ahmad Nur Zihan yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang perubatan Islam bermula sejak umur 10 tahun tetapi ketika itu beliau hanya melihat bapa serta abangnya mengubat penyakit menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Hanya apabila usia mencecah 16 tahun dan ketika itu beliau sudah mula menghafaz al-Quran, minat mempelajari cara mengubat penyakit menurut kaedah Islam terus subur dalam jiwa. Hendak dijadikan cerita, pada umur masih hingusan, beliau berjaya merawat mangsa gigitan lipan.

Reaksi spontan kepada kejadian yang berlaku di depan mata menjadi titik mula pencarian ilmu perubatan Islam bagi anak kelahiran Kampar, Perak itu, seterusnya membuka jalan lebih luas memenuhi cita-cita menjadi pakar dalam bidang perubatan Islam.

"Itu adalah kes pertama saya. Apabila melihat mangsa kesakitan akibat bisa gigitan lipan, saya terus membaca ayat al-Quran, hembuskan ke dalam air dan beri minum kepada pesakit. Dengan izin Allah, bisa gigitan lipan hilang.

"Saya rasa seronok sangat kerana dapat mengubat pesakit berkenaan. Sejak itu saya mula mendalami ilmu mengubat penyakit menurut kaedah Islam. Matlamat saya ialah untuk membantu orang ramai," katanya.

Ketika berkhidmat di Pusat Islam, beliau terpilih mewakili negara di Pertandingan Tahfiz dan Tafsir Peringkat Antarabangsa di Makkah pada 1990. Pada masa itu juga beliau sudah aktif sebagai penceramah bebas serta mengubati penyakit menggunakan ayat al-Quran dan zikir.

Walaupun melanjutkan pengajian dalam bidang qiraat di Universiti al-Azhar, Mesir, keinginan belajar teknik perubatan Islam tidak pernah luntur dan kesempatan waktu yang ada digunakan mencari pakar perubatan di sana.

Di samping mengikuti kuliah universiti, beliau akan menemui guru yang mengajar perubatan Islam untuk menimba pengetahuan. Berkat minat serta kesungguhan beliau dikurnia ijazah perubatan Islam untuk kes berkaitan masalah janin dan jin daripada gurunya di Jordan, Syeikh Mahmud al-Judy.

Tidak berhenti setakat itu, Sheikh Ahmad Nur Zihan melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perubatan Islam. Kajian tesisnya bertajuk Sambutan Masyarakat Islam di Kampung Keramat Mengenai Perubatan Islam. Melangkah setapak lagi, beliau menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang yang sama di UM.

Menjawab persoalan apakah kebolehan mengubati penyakit itu adalah anugerah Allah atau hasil daripada usaha mempelajari serta mengamalkan ilmu perubatan Islam, bagi diri beliau ia adalah hasil kesungguhannya mempelajari bidang itu.

Katanya, ada sesetengah pakar perubatan Islam memang dianugerahkan Allah dengan kemampuan mengubati penyakit menggunakan ayat al-Quran tetapi orang yang mempunyai minat seperti dirinya juga boleh menguasai bidang berkenaan.

"Macam saya lebih kepada pencarian ilmu atas dasar minat dan ingin membantu orang yang menghadapi masalah. Sekarang pun saya masih ingin belajar tetapi dengan pengalaman 20 tahun dalam bidang ini, ada yang tidak sudi mengajar.

"Malah, ada yang memandang serong niat saya kerana menganggap seolah saya hendak menguji kemampuan mereka pula. Sebenarnya ilmu ini tiada batasan dan bagi saya banyak lagi perkara yang boleh saya pelajari untuk mempertingkatkan ilmu mengubati penyakit," katanya.

Katanya, dalam bidang perubatan beliau memfokuskan 70 peratus kepada masalah kerohanian termasuk merawat mereka yang dipengaruhi makhluk halus sementara 30 peratus membabitkan penyakit fizikal seperti barah, leukimia termasuk kes yang sudah ditolak oleh pihak hospital.

Setakat ini katanya, beliau sudah mengubati pesakit barah payu dara, masalah buah pinggang, jantung serta penyakit kompleks lain selain dijemput oleh hospital kerajaan serta swasta untuk membantu memberi rawatan.

Beliau berkata, langkah mewujudkan perkhidmatan perubatan alternatif di hospital kerajaan membolehkan pakar perubatan Islam membantu pengamal perubatan moden merawat pesakit selain memberi pengiktirafan kepada kaedah perubatan Islam dan tradisional.

Sheikh Ahmad Nur Zihan berkata, memang sukar untuk menyangkal persepsi mengaitkan ilmu perubatan Islam dengan pengaruh jin atau makhluk halus yang dikatakan banyak membantu pengamal meyakinkan serta menyembuhkan pesakit.

Lebih-lebih lagi, pengamal perubatan Islam tidak menggunakan peralatan canggih ketika merawat sebaliknya hanya menyentuh pergelangan tangan, melihat tapak tangan atau mendengar penjelasan pesakit saja.

"Pengalaman saya sendiri, saya pegang pergelangan tangan dan pandang dada untuk beritahu penyakit jantung yang dihidapi pesakit. Memang ada mempertikaikan tetapi apa yang saya terangkan sama dengan apa diperkatakan doktor yang ditemui pesakit kemudian.

"Itu kaedah perawatan Islam dan perlu saya beritahu, perubatan Islam anti penggunaan unsur jin. Memang ada kumpulan jin datang dalam pelbagai bentuk menawarkan bantuan, tetapi saya tolak dengan baik.

"Misi saya ialah untuk memperkenalkan kaedah perubatan Islam dan buktikan bahawa tanpa jin pun kita boleh merawat. Kepada pesakit, saya beritahu kuasa penyembuhan di tangan Allah, kita hanya berusaha mengikut caranya saja," katanya.

Katanya, selain penggunaan ayat al-Quran dan zikir, beliau juga membuat penyelidikan mengenai khasiat bahan semula jadi anugerah alam dan sedang mengkaji khasiat bunga raya yang dipercayai boleh merawat penyakit barah.

Di samping itu, beliau membuat ceramah mengenai perubatan Islam bagi menjelaskan bahawa Islam tidak terhad kepada ibadat saja, malah ilmunya menjangkau lapangan lain termasuk perubatan seperti dibuktikan ilmuwan Islam tersohor zaman lampau.

Melalui tugas merawat juga, beliau memenuhi tuntutan dakwah kerana setiap usaha yang dilakukan akhirnya diserahkan kepada Allah dan secara tidak langsung, pesakit yang datang pasti akan dekat dengan Allah.

Begitu juga perihal membantu orang bukan Islam. Jika sebelum ini perkhidmatan rawatan dihadkan kepada masyarakat Islam, atas dasar ingin menyebarkan dakwah Islamiah, beliau turut memberi perkhidmatan kepada bukan Islam.

"Dulu saya tidak buka hinggalah ada satu kes seorang India dirasuk dan meminta saya bantu. Dengan izin Allah, beliau berjaya disembuhkan. Harapan saya untuk mendengar dia mengaku perubatan Islam yang terbaik. Dia tidak cakap tetapi itu tidak mematahkan semangat saya.

"Bagi saya, ini salah satu cara saya sebarkan dakwah di samping membantu yang bukan Islam. Mana tahu apabila mereka melihat kaedah perubatan Islam dan cara kita merawat, akan terbuka hati mereka mendalami Islam," katanya.

Sheikh Ahmad Nur Zihan mengakui, pengamal perubatan Islam berhadapan cabaran besar terutama dalam menangani sikap masyarakat yang akan memandang tinggi kepada orang dianggap mempunyai ilmu hebat jika mampu merawat penyakit.

Justeru, beliau sering menasihatkan mereka yang memuji dan kagum dengan kemahiran dimiliki untuk menguat penyakit dihidapi bahawa penyembuhan sebenar adalah dengan izin Allah selain usaha mereka tidak henti makan ubat, berzikir dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan kejian diterima terutama apabila penyakit yang dirawat tidak sembuh atau memakan masa lama untuk baik, semua itu ditelan dengan sabar kerana semua itu asam garam kehidupan perlu dilalui pengamal perubatan Islam sepertinya.

"Pernah seorang yang datang mendapatkan rawatan memberi hadiah kepada isteri saya tetapi apabila penyakitnya tidak sembuh, dia minta pulangkan semula hadiah itu. Ini antara perkara yang perlu dihadapi.

"Sebenarnya ada penyakit yang boleh saya bantu untuk mengubatinya dan ada yang tidak. Ada kes di mana pesakit itu hanya menghidapi demam dan dia datang berjumpa saya. Setelah berusaha, demam itu tidak juga kebah.

"Sebab itu saya beritahu apa yang Allah beri dia boleh ambil dalam sekelip mata. Tetapi dengan pengalaman selama 20 tahun, saya boleh agak ada penyakit yang ada harapan disembuhkan," katanya yang bercita-cita untuk memiliki hospital perubatan Islam miliknya sendiri satu hari nanti.

PROFIL:

Nama: Sheikh Ahmad Nur Zihan Al-Hafiz.

Tempat lahir: Kampar, Perak.

Pendidikan: Sarjana Muda pengajian dalam bidang qiraat di Universiti al-Azhar, Mesir, Sarjana Usuluddin (Perubatan Islam) Universiti Malaya.

Isteri: Siti Rohana Mamat.

Anak: Wardatul Hannan An-Nur, 14, Minhatul Mardhiah, 11 dan Sheikh Ahmad Azhanil Furqan,10.

Pengasas Rawatan Thib An Nabawi.

Pengalaman 20 tahun dalam bidang perubatan Islam.

Mula menghafaz al-Quran sejak usia mencecah 16 tahun.

No comments: