Wednesday, May 28, 2008

Peguam Syarie Menulis: Percepat gubal Akta Profesion Guaman Syarie

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
excopgsm@yahoo.com

RAMAI membicarakan mengenai keperluan adanya satu akta yang mengawal selia dan memantau peguam syarie yang dipanggil Akta Profesion Guaman Syarie. Peguam syarie mempunyai peranan besar sebagai pembantu mahkamah dalam menegakkan keadilan di mahkamah. Walaupun pihak bertikai boleh membawa kes mereka sendiri tetapi dengan pengetahuan yang kurang mengenai prosedur undang-undang, ada kalanya sesuatu permohonan tidak menepati kehendak sewajarnya.

Oleh itu, peguam syarie adalah orang yang sangat penting bagi membantu pelanggan mengetengahkan tuntutan supaya sesuatu kes dibicarakan menepati prosiding yang ditetapkan undang-undang.

Pada masa ini, setiap peguam syarie yang ingin beramal dan diterima masuk di mana-mana negeri di negara ini tertakluk kepada Kaedah Peguam Syarie Negeri yang ada. Kaedah ini pula berbeza dan tidak seragam di antara negeri. Ada negeri meletakkan syarat ketat dan ada negeri yang lebih longgar dari segi syaratnya.

Sebelum ini, ada keluhan bakal peguam syarie yang menceritakan kesukaran yang mereka hadapi dalam proses melengkapkan diri untuk diterima sebagai peguam syarie. Sebagai contoh, keluhan disiarkan dalam Berita Harian, 4 September 2006, yang mengatakan kesukaran bakal peguam syarie yang menghabiskan masa hampir lima tahun belajar Syariah, tetapi masih diwajibkan mempunyai Diploma Lanjutan Amalan Syariah, sedangkan pelajar lepasan undang-undang sivil yang mempunyai pengetahuan Syariah yang sedikit juga dikehendaki mengambil Diploma yang sama.

Kepeguaman syarie dewasa ini juga berkembang dengan baik. Kita dapati semakin ramai peguam syarie ditauliahkan. Begitu juga kes dibicarakan juga semakin banyak dengan fakta kes semakin rumit dan membabitkan tuntutan harta sepencarian serta mutaah mencecah jutaan ringgit. Semua ini memerlukan khidmat peguam syarie. Justeru, sudah sampai masanya kerajaan mempercepatkan penggubalan dan seterusnya mewartakan Akta Profesion Guaman Syarie.

Antara rasional perlu dipercepatkan akta ini adalah:

Kedudukan dan martabat peguam syarie akan lebih dimartabatkan sebagai pihak yang penting dalam melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah. Taraf profesion peguam syarie juga akan lebih dimuliakan setanding dengan kedudukan peguamcara dan peguambela di Mahkamah Sivil yang dikawal selia di bawah Akta Profession Undang-undang 1952.

Apabila wujudnya dan dikuatkuasakan akta ini, Majlis Peguam Syarie boleh ditubuhkan yang bertujuan mengawal selia pengeluaran sijil amalan untuk setiap negeri, menjaga rekod peguam syarie, memastikan penerimaan masuk peguam syarie selaras serta dapat menjaga kebajikan ahli sebagai mana sahabat mereka yang beramal sebagai peguam sivil.

Buat masa ini, jika ada peguam syarie terbabit dengan salah laku dan membuat sesuatu perkara tidak wajar seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah dan sebagainya, tidak ada badan tertentu yang ada kuasa ke atas mereka untuk mengambil tindakan. Dengan adanya, Majlis Guaman Syarie yang diberi mandat oleh akta ini, nescaya ia membantu pelanggan untuk membawa kes salah laku ke atas peguam syarie kerana badan ini akan mempunyai kuasa mengambil tindakan disiplin ke atas peguam terbabit. Badan ini berkuasa juga di sisi undang-undang untuk menarik kembali sijil beramal peguam syarie disabitkan dengan salah laku sebagai mana berlaku terhadap peguam sivil di bawah seliaan Majlis Peguam mereka.

Kaedah pemilihan dan terima masuk peguam syarie boleh diselaraskan dan diseragamkan agar tidak bersifat menganiaya bakal peguam syarie di negara ini.

Sebagai contoh:

Negeri Selangor di bawah Kaedah-kaedah Peguam Syarie Negeri Selangor 1991 meletakkan syarat pemohon yang ditemuduga mendapat latihan profesional yang diiktiraf oleh majlis dalam kehakiman Islam. Ini bermakna pemohon perlu menghadiri latihan amalan guaman di firma guaman syarie dan sebagainya. Namun begitu tempoh masa latihan tidak dinyatakan. Pemohon juga perlu mempunyai Diploma Lanjutan Syariah selain mempunyai ijazah asas dalam bidang syariah. Pemohon juga perlu membuat tampalan di seluruh mahkamah di Selangor terlebih dulu sebelum majlis temu duga berlangsung.

Negeri Kedah di bawah Peraturan-peraturan Peguam Syarie 1983 meletakkan hanya peguam bela dan peguam cara LL.B lepasan yang layak memohon sebagai peguam syarie. Ini bermakna lepasan Syariah tidak dinyatakan di situ.

Wilayah Persekutuan hanya meletakkan Ijazah LL.B atau LL.B (S) atau Syariah dan yang selayaknya berhak memohon dan tidak diwajibkan mempunyai Diploma Lanjutan Guaman Syarie.

Ada negeri yang perlu menjalani peperiksaan khas dan selepas lulus peperiksaan, perlu lulus temu duga. Ada negeri yang memberi tauliah peguam syarie setiap tahun tetapi ada pula negeri sudah bertahun-tahun tidak mentauliahkan peguam syarie.

Keselarasan syarat dan kelayakan untuk diterima masuk sebagai peguam syarie adalah satu keperluan supaya tidak menjadi bahan ketawa di negara ini. Melalui akta ini, tatacara yang selaras boleh diterima pakai di seluruh negara. Contohnya jika diperlukan latihan amalan, apakah yang dimaksudkan latihan itu, apakah syarat firma yang boleh menerima pelajar dalam kamar, berapa lama tempohnya dan apakah master (majikan) perlu membuat laporan kepada Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri atau sebagainya. Jika menepati tempoh sembilan bulan seperti peguam sivil, maka apakah perlu ditemu duga lagi atau bagaimana? Semuanya akan dapat diselaraskan dan kebajikan bakal peguam syarie terutama yang mempunyai ijazah Syariah tanpa LL.B akan terbela.

Justeru, sudah sampai masanya Akta Profesion Guaman Syarie dipercepatkan penggubalannya dan diwartakan demi memartabatkan perundangan Syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini. Semoga dengan adanya akta ini dan Majlis Peguam Syarie, maka hasrat untuk memastikan keadilan hak diberi kepada yang berhak akan berjaya direalisasikan.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: