Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my
Iman, ilmu, amal salih jadi benteng perkukuh diri elak mata hati jadi buta
URUSAN dunia memang menyibukkan hingga mampu membuat manusia lupa sama kepada alam persinggahan di kubur, kiamat, kebangkitan semula, timbangan penilaian amal, mahkamah Allah, titian sirat, telaga kawthar, syurga dan neraka yang akhirnya membawa hidup kekal abadi.
Mengapa manusia suka ditipu dan mahu tertipu? Apakah itu akan menyampaikan dirinya ke puncak kepuasan? Tidak, kerana ia diciptakan sebagai makhluk yang tidak boleh merasa puas. Jika begitu untuk apa dia bersungguh-sungguh memperjuangkan kepuasan duniawi sedangkan memang dia tidak akan mendapat kepuasan seratus peratus?
Seperti orang yang sangat bernafsu dengan air sirap ais di tengah panas terik. Sudah pun diminum air itu maka hilanglah sekejap rasa dahaga, tapi kemudian bosan dengan perisanya yang tidak bertukar, mulalah mencari air berperisa yang lain.
Dapat yang satu, mahu yang lain lagi. Maka sungguh benar perumpamaan dalam al-Quran, yang menyebut kenikmatan dunia sebenarnya permainan yang melekakan, tidak boleh memberi kepuasan sebenar kepada manusia. Kenikmatan sesungguhnya berada dalam syurga Allah.
Manusia dibiarkan bermain-main dengan segala kenikmatan yang tidak berharga di sisi Allah. Ramai orang bertanya, mengapa orang kafir diizin Tuhan menguasai dunia ini? Jawapannya sungguh mudah, kerana dunia ini langsung tidak berharga di sisi Allah.
Hatta ia tidak senilai bandingan sebelah sayap nyamuk. Jadi siapa saja boleh ambil dan berpuas dengan nikmat dunia yang menipu itu. Allah mencipta khazanah ini cuma untuk ujian kepada seluruh manusia siapakah yang berjaya melaluinya dengan keimanan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kelak orang kafir akan ditanya pada hari kiamat, bagaimana pendapatmu seandainya seluruh isi bumi ini menjadi emas dan menjadi milikmu, mahukah kamu menebus dosamu dengannya? Jawab orang kafir itu: Mahu! Maka dikatakan kepadanya: Dulu, sudah diminta kepadamu yang lebih ringan daripada itu, tetapi kamu tidak mahu." (Hadis riwayat Muslim)
Ya, dulu di dunia tidak disuruh manusia menyerahkan segala yang ada dalam akaun banknya untuk mendapat syurga. Jika ada 2.5 peratus saja yang menjadi hak fakir miskin itu dikeluar dengan penuh keimanan, ia amat berharga bagi dirinya. Itu pun turut berfaedah bagi rebat dan menghindari dirinya daripada tuntutan cukai.
Allah hanya menyuruh mereka beriman, beramal soleh dan jangan berbuat zalim, keji lagi nista seperti perangai syaitan semata-mata supaya mereka boleh menebus dan layak memperoleh upah syurga Allah di alam akhirat nanti.
Mengapa dengan sujud, kamu tidak mahu membeli syurga Allah, tetapi di akhirat nanti kamu hendak membelinya dengan seluruh hartamu? Itulah hakikat harta tidak membawa manfaat sedikitpun kepada pemiliknya.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Padahal hartanya yang sesungguhnya hanya tiga. Apa yang dimakan lalu habis. Apa yang dipakai lalu rosak. Apa yang disedekah dan ia tersimpan (untuk akhirat). Selain daripada ketiga-tiga itu lenyap atau ditinggalkan untuk orang lain (para waris)." (Hadis riwayat Muslim)
Sungguh, amat memilukan orang tua yang masih bergelut merebut dunia dengan cara batil, padahal malaikat maut sudah pun dekat mengintainya setiap masa. Sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, Muaz bin Jabal ketika sampai saat sakaratul mautnya beliau berkata: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak mencintai hidup semata-mata untuk menanam pokok dan menghiasi taman yang cantik, atau untuk mengalirkan sungai atau untuk membina istana yang tersergam untuk didiami. Tetapi aku mencintai hidup ini hanya untuk tiga perkara, berpuasa di siang hari, menghidupkan ibadah di malam hari dan berkumpul dengan para ulama untuk mengingati-Mu."
Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa ketika dekat kematian di sisi sahabat Rasulullah SAW, panglima perang yang agung, 'Amru bin al-'Ash, beliau berkata: "Sesungguhnya aku sudah melalui tiga jalan dalam kehidupanku. Semasa jahiliah aku tidak mengenal Islam dan orang yang paling kubenci ialah Rasulullah SAW. Seandainya aku mati pada saat itu, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam. Kemudian aku memeluk Islam, Rasulullah SAW menggenggam tanganku dan bersabda: Mengapakah kamu wahai Amru? Aku menjawab: Aku mahu syarat supaya Allah mengampuni seluruh dosaku. Rasulullah SAW tersenyum sambil bersabda: Tidakkah kamu sudah mengetahui wahai Amru, taubat menghapus apa saja dosa yang ada sebelum ini dan Islam menutup kesalahan apa saja yang pernah dilakukan sebelum ini?
Saidina 'Amru berkata: Lalu aku pun masuk Islam, demi Allah sejak saat itu orang yang paling aku cintai adalah Rasulullah SAW. Demi Allah jika kalian meminta kepadaku sekarang untuk menceritakan sifat baginda, sungguh aku tidak dapat menggambarkannya, aku tidak sanggup bersemuka dengan Rasulullah SAW kerana rasa hormat dan wibawa Baginda SAW. Jika aku mati saat itu, besar kemungkinan aku akan masuk syurga. Tetapi amat sayang, aku tidak mati bersama Rasulullah SAW. Kemudian berlalulah masa dan dunia telah mempermainkan diriku. Oleh itu, aku tidak tahu sekarang, sama ada aku akan dimasukkan ke syurga atau dicampakkan ke dalam neraka. Tetapi aku masih mempunyai satu kalimah untuk pertemuanku dengan Tuhanku iaitu: Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah." Akhirnya wafatlah Saidina 'Amru dengan kalimah itu.
Andai saja kita mampu mengingati sejarah hidup yang lalu untuk memperbaiki kesilapan dan mengganti kejahatan dengan amal soleh, nescaya tidak akan ada penyesalan pada akhirnya. Namun sengatan dunia begitu kuat memabukkan, membutakan mata hati, mengeruhkan akal sihat, meracuni kesucian hati sampai ke mati.
Apakah usaha paling efektif untuk melemahkan sengatan dunia? Pertama ialah mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan orang yang lalai. Mereka yang melalui kematian dengan cara suul khatimah.
Melihat kematian di setiap kesibukan yang kita lalui memang tidak mudah, adakah pasti hirupan nafas pertama akan bersambung ke nafas kedua? Sedangkan malaikat maut berada dekat. Lalu bagaimanakah keadaan orang yang lalai sekarang di dalam kuburnya? Mesti mereka merayu dengan tangisan yang tidak pernah berhenti hingga ke hari kiamat.
Firman Allah yang bermaksud: "(Demikianlah keadaan orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) supaya aku berbuat amal soleh terhadap yang sudah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)
Kemudian yang paling penting ialah senjata dan benteng kukuh dalam diri supaya sengatan dunia tidak mematikan hati. Senjata itu ialah iman, ilmu dan amal soleh. Ketiga-tiganya adalah kekuatan sebenar seorang hamba.
Tidak akan bermanfaat harta dan kebesaran melainkan jika bersanding dengan iman, ilmu dan amal soleh. Tetapi sayang, ramai yang sudah memiliki tiga kekuatan itu dan terlalu cepat merasa puas hati. Sehingga usaha untuk memperbaiki iman, ilmu dan amal menjadi terbantut.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Monday, May 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment