Oleh Mohd Shukri Hanapi
NEGARA kini dilanda krisis kekurangan dan kenaikan harga bekalan makanan seperti beras serta barang keperluan lain. Krisis ini bukan saja berlaku di dalam negara malah pada peringkat antarabangsa.
Sebenarnya krisis adalah satu ketentuan yang ditetapkan Allah. Justeru, seluruh umat manusia terutama umat Islam diingatkan supaya tidak mudah lalai dan lupa diri atas kesenangan dikurniakan Allah selama ini.
Allah berfirman yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpa di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu mengenai itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan sesuatu yang sudah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan sesuatu yang diberikan kepada kamu. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang sombong, lagi membanggakan diri.” - (Surah al-Hadid, ayat 22-23)
Sesungguhnya Allah sentiasa menguji keimanan hamba-Nya atas sesuatu bencana yang ditimpakan. Allah berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” - (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Oleh itu, musibah atau ujian seharusnya dihadapi umat Islam dengan tenang dan sabar. Ini kerana dengan kesabaran itu kita akan beroleh kemenangan, tidak mudah cemas dan sentiasa bersedia menghadapi segala kerenah kehidupan.
Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali.” - (Surah al-Baqarah, ayat 156)
Meskipun ujian demi ujian menimpa umat manusia, kita tidak seharusnya berdiam diri dengan tidak melakukan sebarang usaha. Sebaik-baiknya umat manusia harus mempertingkatkan lagi usaha dan membuat perancangan bagi menjamin masa depan lebih baik.
Dalam al-Quran diceritakan mengenai langkah yang dilakukan sebuah kerajaan untuk menghadapi masalah kelaparan dan kekurangan bekalan makanan.
Diceritakan dalam surah Yusuf (ayat 46-48) ketika utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf di dalam penjara meminta beliau mentakwilkan mimpi, ia berkata: “Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami mengenai (mimpi) tujuh ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina kurus; dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering (terangkan maksud mimpi itu) supaya aku kembali kepada orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya.” - (Surah Yusuf, ayat 46)
Nabi Yusuf ternyata tidak hanya mentakwilkan mimpi itu saja, bahkan baginda memberi cadangan kepada mereka supaya membuat perancangan masa depan untuk mengatasi masalah kelaparan dan kekurangan bekalan makanan yang diramalkan akan menimpa negeri Mesir.
Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil antaranya, menggiatkan lagi pekerjaan yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu diperlukan. Kedua, bersungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu, ketiga, meningkatkan pengeluaran dan keempat, bekerja keras secara terus menerus.
Nabi Yusuf menyatakan, “Supaya kamu bercucuk-tanam selama tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa.” - (Surah Yusuf ayat 47)
Maksudnya, bercucuk-tanam selama tujuh tahun berturut-turut pada musim subur, seperti mana yang diperlihatkan dalam mimpi iaitu tujuh ekor lembu betina yang gemuk dan bagi gandum yang dituai, biarkan saja pada tangkainya kerana hal itu akan menjadikan gandum terselamat daripada gangguan serangga perosak dan tahan daripada perubahan cuaca panas.
Berdasarkan cadangan itu, jelas menampakkan betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi. Makna ayat itu mencakupi petunjuk mengenai kepentingan menyimpan dan cara hidup berekonomi, tidak boros serta tidak berlebih-lebihan.
Tuesday, May 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment