Monday, May 12, 2008

Sedekah perlu sederhana, beri barang disayangi

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SUKA dan duka datang silih berganti sebagai ujian dan dugaan daripada Allah SWT. Apa yang perlu dilakukan adalah menerima ujian itu dengan penuh reda dan rela kerana manusia yang sabar dijanjikan ketenangan berpanjangan oleh Allah SWT.

Apabila ada di antara saudara kita yang ditimpa ujian, kita digalakkan menghulurkan bantuan bagi meringankan kesusahan mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai kenderaan melebihi dari keperluannya sendiri hendaklah bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai kenderaan dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan makanan hendaklah ia bersedekah kepada orang yang tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebiji benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengeluarkan 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah maha luas kurnia-Nya lagi maha mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Galakan memberi pertolongan dan bantuan kepada orang yang susah dan memerlukan bantuan sama ada harta benda, kewangan dan sebagainya dapat mengelakkan kita daripada mementingkan diri sendiri.

Kita juga digalakkan memberi sumbangan atau derma barang yang kita sayang. Janganlah pula kerana hendak bersedekah, kita bagi makanan yang sudah tamat tempoh atau sudah basi. Atau menderma pakaian yang memang sudah tidak boleh dipakai lagi.

Dalam keadaan biasa, kita tidak akan berasa betapa nikmat atau perlunya kepada bantuan orang lain. Tetapi, apabila kita sudah kenyang, walaupun kawan belanja makan tetapi nikmatnya tidak seberapa.

Jika kita bandingkan mangsa banjir atau taufan yang berada dalam kesusahan sekarang, sebagai orang yang lapar pastinya berasa amat bersyukur apabila diberi makanan dan jasa yang memberi akan kita ingat sampai bila-bila.

Kita bersyukur kerana baik agensi kerajaan mahupun sektor swasta sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada mereka memerlukan termasuk mangsa bencana alam di dalam dan luar negara.

Usaha itu bertepatan dengan seruan Allah yang menyuruh kita saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan bukan membantu dalam perkara membawa kerosakan.

Ujian yang didatangkan Allah SWT adalah sebagai peringatan kepada kita untuk sentiasa bersedia kerana dugaan Allah SWT boleh mengenai siapa saja.

Justeru, jangan bakhil dengan harga yang ada sebaliknya sentiasa ingat bahawa lebih banyak kita memberi, lebih banyak lagi rezeki yang akan Allah SWT kurniakan. Bersedekah tidak akan menjadikan seorang itu miskin.

Islam mencela golongan yang bakhil. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka kebakhilan itu baik bagi mereka. Sesungguhnya, kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di akhirat kelak." (Surah Ali-Imran, ayat 180)

Selain membantu menyediakan keperluan, amalan bersedekah dan bantu membantu mengeratkan silaturahim sesama Muslim seterusnya membina satu ummah kuat atas dasar persaudaraan.

Bagaimanapun, dalam bersedekah atau apa juga yang kita lakukan, ia perlu dibuat secara sederhana. Jangan terlalu ghairah bersedekah jika hanya bertujuan untuk menyerlahkan kemewahan dimiliki, atau sekadar inginkan publisiti murahan di media massa.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak Allah berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit. Mengapa tidak engkau kunjungi Aku? Jawab anak Adam: Wahai Tuhanku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam? Firman Allah: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati-Ku di sisinya? Hai anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan? Jawab anak Adam: Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam? Firman Allah: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan minta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi-Ku? Hai anak Adam! Aku minta minum kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku minum? Jawab anak Adam: Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum padahal Engkau Tuhan semesta alam? Firman Allah: Hamba-Ku si fulan minta minum kepadamu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi-Ku." (Hadis riwayat Muslim)

No comments: