KEMBALI kepada ajaran agama adalah penyelesaian terbaik dalam menangani tekanan yang menyebabkan ibu bapa hilang pertimbangan hingga sanggup melakukan penderaan atau pengabaian terhadap anak.
Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Unit Mekar Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail, berkata kekuatan iman dapat membantu ibu bapa yang berdepan masalah dalam rumah tangga untuk kembali kepada pemikiran rasional.
Selain itu, katanya, sokongan sosial daripada orang yang rapat seperti ahli keluarga atau sahabat karib juga penting bagi mengembalikan ibu bapa memikirkan cara terbaik menghadapi tekanan hidup berkeluarga.
“Memang sebaiknya jika mereka menghadapi masalah atau tekanan, berjumpa kaunselor adalah langkah terbaik tetapi berapa ramai ibu bapa yang bersedia. Walau apa pun, jika menghadapi masalah, dinasihatkan lakukan sesuatu, jangan pendam saja.
“Jika ada sahabat karib, jumpa dan luahkan perasaan untuk mendapat pandangan mereka atau ada ibu saudara untuk dapatkan nasihat,” katanya pada Seminar Pencegahan Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Penderaan Emosi Trauma yang Tersembunyi bagaimanapun mengakui, tidak ramai ibu bapa hari ini yang bersedia mendapatkan khidmat pihak ketiga bagi membantu mereka mengatasi masalah rumah tangga yang dihadapi.
Justeru katanya, penderaan yang berlaku kepada kanak-kanak terutama penderaan emosi berlaku secara berterusan hingga menimbulkan impak kepada anak terutama dari segi tingkah laku serta keyakinan diri.
Dr Fauzi berkata, kesan penderaan emosi tidak dapat dilihat atau dibuktikan seperti penderaan fizikal menyebabkan sukar untuk mengetahui sama ada kanak-kanak itu pernah didera secara emosi atau tidak.
Katanya, kesan penderaan emosi hanya boleh dikesan berdasarkan pemerhatian teliti terhadap perkembangan anak yang menjadi mangsa mengikut peringkat umur atau selepas mereka menjadi ibu bapa yang mendera.
Bagi anak prasekolah, antara perubahan boleh dilihat ialah mereka sering demam, tidak boleh memberi tumpuan kerana tiada yang memberi tumpuan kepada mereka dan tidak tahu cara bergaul dengan kawan kerana emosi tidak tenang.
“Hari ini berjuta-juta kanak-kanak yang didera dan diabaikan serta beribu menderita. Bagi yang berjaya mengharunginya, trauma masih ada dalam jiwa mereka tetapi kita tidak nampak dengan jelas. Kesan dapat dilihat, bila mereka jadi ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa yang mendera atau mengabaikan anak mereka pernah melalui peristiwa penderaan dan bagi ibu yang tidak pernah didera, sikap itu berpunca daripada tekanan serta persekitaran hidup.
Dr Fauzi turut berkongsi perbuatan penderaan emosi yang sering dilakukan ibu bapa hari ini tanpa menyedari bahawa layanan itu sebenarnya memberi kesan kepada perkembangan emosi anak mereka.
Antaranya, memberi maklum balas tidak bersesuaian terhadap perasaan anak, menggunakan kata-kata kesat, menganggap kanak-kanak tidak mempunyai perasaan, memperkecilkan kemampuan anak, mendiskriminasi serta menyisihkan mereka dan tidak menunjukkan kasih sayang.
Contoh maklum balas tidak bersesuaian ialah apabila anak datang dengan perasaan gembira untuk memberitahu beliau mendapat 90 markah dalam peperiksaan tetapi jawapan yang bertanya kenapa tidak mendapat 100 peratus menyentap jiwa mereka.
“Kadang kala kita ingat ini tidak ada apa-apa tetapi sebenarnya memberi kesan kepada jiwa mereka. Memperkecilkan kemampuan anak dan tidak menghargai usaha mereka juga cara kita mendera secara emosi,” katanya.
Katanya, bagi ibu bapa yang berasakan mereka sudah melakukan penderaan emosi terhadap anak, langkah pertama perlu diambil ialah persekitaran keluarga untuk mencari punca berlakunya tekanan atau konflik dalam rumah tangga.
Seterusnya, berbincang untuk memikirkan langkah yang perlu diambil kerana selalunya ibu bapa yang mendera selain disebabkan pengalaman dilalui, ia didorong oleh persekitaran yang memberi tekanan kepada mereka.
Mengenai peluang kanak-kanak yang didera untuk kembali menjalani kehidupan normal, beliau berkata perkara itu boleh berlaku dengan syarat kanak-kanak itu dipindahkan daripada persekitaran didera kepada kehidupan yang penuh kasih sayang.
Menurutnya, daya ingatan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah yang masih belum kuat membolehkan mereka lupa kepada peristiwa penderaan dilalui. Bagaimanapun katanya, ingatan itu boleh kembali jika tiba-tiba mereka melalui pengalaman sama selepas dewasa.
Dr Fauzi berkata, dalam kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, tragedi bukan saja kepada orang yang mendera tetapi juga pihak yang berdiam diri walaupun tahu atau melihat orang lain menderita akibat didera.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab mereka yang melihat kes penderaan melaporkan perkara itu sebagai salah satu langkah terbaik menangani masalah penderaan serta pengabaian kanak-kanak daripada terus berlaku.
“Saya harap kita sedar dan bertindak pantas dengan membuat laporan apabila melihat berlaku kes dera. Jika bukan kita siapa lagi yang dapat membantu mereka. Apakah kita rela melihat mangsa terus didera,” katanya.
Saturday, May 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment