Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
JUMAAT lalu akhbar melaporkan seorang mualaf bernama Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang, 39, diisytiharkan sebagai keluar Islam kerana tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk Islam. Mahkamah Syariah memerintahkan sijil pemelukan Islam Siti Fatimah dibatalkan.
Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mestilah dihormati semua pihak kerana ia dikeluarkan oleh mahkamah yang sah dan mempunyai bidang kuasa mengeluarkannya. Jika ada pihak tidak berpuas-hati dengan keputusan itu, hendaklah membuat tindakan menurut undang-undang seperti rayuan ataupun semakan.
Selagi keputusan itu tidak diketepikan oleh mahkamah lebih tinggi, ia adalah keputusan yang sah dan berkuat kuasa.
Berbeza dengan apa yang dilaporkan, sebenarnya perbicaraan permohonan keluar Islam itu bukan perbicaraan pertama membabitkan orang masih hidup. Sudah ada perbicaraan dan keputusan diberikan di negeri lain tetapi tidak mendapat publisiti meluas seperti kes Siti Fatimah Tan.
Apa yang ingin ditekankan di ruangan ini bukanlah mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi ialah kekesalan hakim berkenaan kerana suami Siti Fatimah Tan dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) gagal membimbing serta menjaga kebajikan Siti Fatimah Tan sehingga mendorong beliau meninggalkan Islam.
Malah hakim berkenaan dilaporkan berkata, MAIPP tidak menunjukkan minat terhadap kes itu dengan tidak hadir pada prosiding awal walaupun saman sudah diserahkan kepada mereka. Maipp dikatakan hanya mengemukakan hujah pembelaan di hujung perbicaraan saja.
Kekesalan ini mempunyai asas yang kuat. Ia menggambarkan orang Islam dan Majlis Agama seolah-olah tidak membimbing saudara baru serta prihatin atas kebajikan mereka. Majlis Agama setiap negeri bertanggungjawab terhadap kehidupan sosial, ekonomi dan kebajikan orang Islam.
Majlis Agama perlu bertindak bagi menjaga kebajikan orang Islam tanpa mengira mereka itu lahir Islam ataupun baru memeluk Islam. Majlis Agama bukanlah satu badan untuk bermegah-megah kerana amanah yang dipikul bagi menjaga nama agama adalah terlalu berat.
Jawatan dalam Majlis Agama bukanlah untuk direbutkan tetapi tanggungjawab perlu dilaksanakan. Penulis mengakui tidak mengetahui apakah sebabnya Maipp begitu lewat menyertai perbicaraan yang dijalankan itu. Adalah tidak masuk akal jika Maipp tidak mengetahui prosiding kes sedangkan saman sudah diserahkan dan kes berkenaan mendapat publisiti meluas.
Majlis Agama di negeri lain seperti Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIDAMP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) juga banyak menerima saman berhubung permohonan keluar Islam tetapi mereka amat profesional dan bekerjasama dengan Mahkamah Syariah.
Oleh demikian mahkamah dapat mengeluarkan keputusan yang adil dan tepat menurut hukum syarak. Ambillah iktibar dan pengalaman dari negeri lain dalam menangani isu keluar Islam ini.
Disamping itu juga, di mana pula suami Siti Fatimah Tan? Adakah sebarang usaha menjejaki beliau walaupun di Iran (negara asal beliau). Bagaimana pula status perkahwinan mereka?
Penulis kecewa dengan sikap orang Islam berkahwin dengan mualaf tetapi tidak membimbing mualaf itu mengikut lunas Islam. Malah, ada juga dalam beberapa kes, pasangan mualaf itu lebih mengamalkan Islam berbanding pasangan yang lahir Islam.
Orang Islam sendiri gagal menjadi contoh yang baik kepada mualaf dan orang bukan Islam bahawa mereka adalah teladan yang baik perlu diikuti. Inilah kelemahan orang Islam. Kita mesti mengakui hakikat ini dan hendaklah memperbaikinya dengan segera.
Penulis mengesyorkan satu undang-undang dibuat supaya orang Islam yang mendorong secara langsung atau tidak langsung kepada mualaf untuk keluar daripada Islam hendaklah didakwa di Mahkamah Syariah dan boleh dihukum.
Ini bagi menjadi pengajaran kepada orang Islam dan mengelakkan tohmahan orang bukan Islam yang mengatakan kita hanya ingin menghukum orang bukan Islam atau orang yang ingin meninggalkan Islam saja. Dengan cara kita menghukum orang Islam terlebih dulu kritikan berat sebelah dan sebagainya akan dapat dikurangkan.
Peranan Majlis Agama Islam juga penting, bukan sekadar mengeluarkan sijil perakuan memeluk Islam saja, malah aspek pengajaran, kebajikan dan kepentingan mualaf juga perlu dititikberatkan. Sudah sampai masanya satu kaedah pendaftaran, pengajaran, penjagaan dan kebajikan mualaf digubal bagi membantu mualaf dalam kehidupan seharian mereka. Jangan hanya tatkala mereka mengucap dua kalimah syahadah saja mualaf diraikan, hari seterusnya mereka ditinggalkan terkapai-kapai memahami ajaran Islam.
Begitu juga halnya dengan wang zakat. Sebagaimana kita tahu, mualaf adalah salah satu daripada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Oleh demikian, gunakanlah wang bagi asnaf ini untuk membantu mualaf dalam kehidupan mereka.
Walaupun mualaf ini terdiri daripada golongan berada, mereka juga sebenarnya layak menerima zakat. Dengan cara ini mereka berasa dihargai oleh saudara seagama. Begitu juga tafsiran mualaf, tidak perlu disempitkan semata-mata kepada orang yang sudah memeluk Islam saja.
Mualaf bererti seorang yang berjinak-jinak dengan agama Islam. Oleh itu, orang yang masih belum Islam tetapi hatinya sudah hampir dengan Islam pun boleh menerima peruntukan zakat. Namun cara dan pendekatannya mungkin sedikit berbeza.
Kita mungkin tidak perlu memberikan wang kepada golongan ini tetapi cukuplah dengan membuat program untuk membuka hati mereka menerima Islam sebagai suatu cara hidup. Dana untuk program ini bolehlah diambil daripada hak asnaf ini.
Dalam masyarakat agak kompleks dewasa ini dan kemajuan yang begitu pesat, kaedah serta cara berdakwah juga perlu disesuaikan dengan peredaran masa. Kaedah yang ketinggalan zaman hendaklah diganti dengan kaedah baru yang digarap sesuai golongan sasar. Dengan cara ini saja dakwah Islam akan berjaya dilaksanakan.
Berbalik kepada kes Siti Fatimah Tan, setiap pihak khususnya Majlis Agama Islam Pulau Pinang perlu mengambil pengajaran daripada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang. Perbaikilah segala kelemahan supaya insiden sama tidak berulang. Jangan kita hanya menumpukan kepada jawatan saja tanpa memenuhi tuntutan jawatan itu.
Perubahan kaedah dan cara dakwah juga perlu dilakukan serta merta. Penulis yakin ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di luar sana yang sanggup membantu Majlis Agama Islam menegakkan syiar Islam serta dakwah kepada orang bukan Islam serta di kalangan orang Islam. Sama-samalah kita berganding bahu demi untuk memartabatkan Islam di bumi bertuah bernama Malaysia.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment