Thursday, May 8, 2008

Personaliti: Pakaian mandi ikut syariat Islam

Oleh Hasliza Hassan



PENUHI IMPIAN: Dengan berpakaian mandi menutup aurat sesuai dengan fesyen semasa, setiap wanita Muslimah boleh turut aktif di kolam renang atau di laut.

Active Attire mampu penuhi impian Muslimah aktif dalam kolam renang

JIKA dikatakan kolam mandi kebanyakan hotel dan pusat peranginan tidak mesra pengguna terutama wanita Islam yang bertudung, pasti ramai bersetuju selain berkongsi pengalaman dijerit wisel pengawal kolam kerana pakaian mandi mereka tidak menepati syarat ditetapkan.

Melihat wujudnya kelompongan dalam memenuhi keperluan wanita Islam bertudung untuk berenang secara santai di kolam renang, usahawan muda, Nuraini Mohd Ariffin, 35, merasa terpanggil menjalankan kewajipan fardu kifayah.

Selain memenuhi keperluan golongan berkenaan, pembabitan secara langsung dalam perniagaan pakaian mandi menutup aurat sekali gus menyelesaikan masalah yang turut dihadapinya setiap kali bercuti bersama keluarga atau ketika berkelah di tepi pantai.

"Masalah ini bukan masalah wanita di Malaysia saja tetapi saya melihat ia sebagai masalah sejagat. Semua berhadapan masalah serupa, begitu juga saya tetapi ketika itu kita tidak mempunyai pilihan.

"Sama ada melupakan hasrat untuk berendam dalam kolam kerana akur dengan syarat pihak pengurusan hotel atau memakai kemeja-T dan seluar sukan yang sememangnya tidak sesuai untuk aktiviti berenang.

"Justeru, apabila terbuka peluang menceburi perniagaan menjual pakaian mandi menutup aurat, saya bukan saja melihat ia sebagai peluang perniagaan tetapi tanggungjawab membantu wanita Islam lain melakukan aktiviti kegemaran mereka tanpa melanggar syariat Islam," katanya.


Nuraini Mohd Ariffin

Beliau yang ditemui di pejabat Aktif Bestari Sdn Bhd di Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam, berkata hakikatnya bukan mudah untuk memperkenalkan produk baru terutama apabila ia dikaitkan dengan tuntutan memenuhi kehendak Islam.

Kata anak kelahiran Kuala Lumpur yang memiliki ijazah sarjana muda bidang ekonomi itu, ketika memulakan perniagaan itu pada April 2006, ada rakan yang bertanya apakah akan ada wanita bersedia memakai pakaian mandi yang hanya akan menampakkan mereka seperti 'sotong'.

Jawapan yang diberikan beliau mudah saja, bagi suami yang tidak mahu isteri memakai baju mandi seksi (bikini) di kolam mandi atau tepi pantai pastinya pakaian mandi berjenama Active Attire dijual syarikatnya adalah pilihan terbaik.

Nuraini berkata, walaupun hatinya terkesan dengan kritikan sinis rakan yang memperkecilkan produk syarikatnya itu, ia tidak mematahkan semangat beliau kerana yakin produk terbaru yang belum lagi ada di pasaran tempatan bakal menerima sambutan menggalakkan.

Ternyata telahannya ada kebenaran apabila perlahan-lahan pakaian mandi Active Attire mula disedari kehadirannya dan akhirnya berjaya dipasarkan dengan bantuan publisiti media, maklumat di laman web www.activeattire.com.my serta sebaran dari mulut ke mulut.

"Artikel mengenai pakaian mandi menutup aurat yang pertama dikeluarkan dalam akhbar Berita Harian pada November 2006. Selepas itu, ramai mula peka dengan produk kami. Dalam seminggu antara 50 hingga 100 set pakaian mandi berjaya dijual.

"Memang jika dilihat angka itu agak kecil tetap sebagai permulaan bagi saya sudah memadai. Bagi yang pertama kali melihat, akan berasa janggal kerana pakaian mandi kami mempunyai potongan longgar dan siap bertudung pula," katanya.

Bagaimanapun katanya, dari segi material digunakan, pakaian mandi Active Attire diperbuat daripada kain spandex lycra yang ringan, memeri, mudah kering dan sememangnya sesuai untuk semua peringkat usia.

Nuraini berkata, memperkenalkan pakaian mandi menutup aurat juga adalah sebahagian daripada usaha beliau mendidik masyarakat supaya melihat setiap permasalahan sebagai hikmah yang menyembunyikan khazanah berharga.

Beliau berkata, dengan pemikiran kreatif serta keberanian mencuba, akan membolehkan seseorang itu mengorak harta yang tertanam di sebalik kemelut melanda masyarakat terutama umat Islam yang melihat agama sebagai penghalang.

Bagi dirinya, beliau berterima kasih kepada suaminya, Zaidi Zainuddin, yang banyak memberi tunjuk ajar serta dorongan malah, bersedia membantu memulakan perniagaan berkenaan walaupun menyedari cabaran serta risiko bakal dihadapi.

"Sekarang banyak persaingan kerana sudah ada pihak turut menjual pakaian mandi menutup aurat. Bagi saya ini persaingan sihat kerana pengguna mempunyai pelbagai pilihan. Cara memastikan pakaian mandi Active Attire terus mendapat sambutan, saya tekankan kepada kualiti.

"Rekaan juga tidak kurang penting dan kerana itu saya mengambil perhatian maklum balas diberikan pelanggan. Dulu saya gunakan material corak berbunga tetapi pelanggan kata kurang sesuai dan mereka lebih suka corak polos. Saya ikutkan dan ternyata mereka menyukainya," katanya.

Walaupun tidak mempunyai asas dalam bidang seni reka, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberanikan diri melakar sendiri rekaan baju mandi keluaran syarikatnya berpandukan kepada kajian dibuat terhadap pakaian mandi yang ada di pasaran.

Lakaran rekaan pakaian mandi itu kemudian dihantar ke Indonesia untuk dijahit menggunakan material asas spandex lycra dari Korea sebelum dihantar terus di butik di tingkat atas pejabatnya di Shah Alam.

Sebagai mengekalkan nilai eksklusif, beliau mengehadkan 20 pasang untuk setiap corak dan warna, selain memastikan rekaan pakaian mandi Active Attire bertukar setiap tiga bulan mengikut aliran fesyen semasa.

Sebenarnya perniagaan menjual pakaian mandi dilakukan sebagai kerja sampingan tetapi apabila usaha meluaskan lagi pasaran memerlukan perhatian tidak berbelah bahagi, Nuraini yang bertugas di sebuah syarikat teknologi maklumat mengambil keputusan meninggalkan dunia kerjaya.

"Maklumlah, saya juga terbabit dengan pertunjukan fesyen memperkenalkan pakaian mandi menutup aurat termasuk di luar negara dan baru-baru ini saya berkesempatan ke Dubai. Kerja ini memakan masa dan perlu diberi penelitian.

"Selepas berbincang dengan suami, pada Julai tahun lalu saya ambil keputusan berhenti kerja. Bagusnya, apabila terbabit secara langsung, banyak idea yang datang dan pelbagai perancangan ingin saya realisasikan demi membantu masyarakat menjalani kehidupan menurut syariat agama," katanya.

Ditanya apakah bidang perniagaan baru yang ingin diceburi, beliau sambil tersenyum berkata, biarlah ia menjadi rahsia dulu tetapi yang penting setiap pembaharuan ingin dilakukan tetap bersandar kepada memenuhi keperluan umat Islam menjalani kehidupan lebih sempurna.

Katanya, dalam setiap usaha dilakukannya beliau ingin menekankan hakikat bahawa agama Islam tidak pernah mengekang atau dilihat sebagai penghalang untuk umat Islam maju dengan syarat mereka bersedia melihat apa yang tersembunyi di sebalik setiap kekurangan itu.

PROFIL: Nuraini Mohd Ariffin

Tarikh lahir: 10 Jun 1972
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Ijazah sarjana muda ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Suami: Zaidi Zainuddin
Anak: Muhammad Haziq Fitri, 8, Nur Jazmina Aliah, 7, Nur Wardina Sofia, 4

1 comment:

Unknown said...

Berpa harga set baju no yerr