Oleh Lokman Ismail
KEBIASAAN, masalah kekurangan bekalan makanan akan diikuti dengan isu kenaikan harga. Ia tidak terhad kepada barangan tertentu, bahkan barang lain dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi negara.
Dalam situasi ini, pengedar dan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga, terutama barang yang tidak ditetapkan harga siling. Alasan diberikan ialah mereka mendapat bekalan harga lebih mahal dan pastinya juga perlu menjualnya pada harga lebih mahal daripada biasa.
Sebenarnya inilah kerenah peniaga yang ingin mendapat untung lebih. Mereka mengambil kesempatan ketika pembeli sanggup membayar lebih asalkan dapat membeli keperluan untuk kegunaan harian. Pengguna tidak akan terjebak dengan perangkap peniaga jika menjadi pengguna bijak dan menggunakan hak sebaik-baiknya.
Antara perkara yang perlu diamalkan sebagai pengguna berhemah ialah:
Belanja mengikut keperluan. Pengguna yang berhemah bijak berbelanja mengikut keperluan dan mengelak perbuatan boros. Islam memberi penekanan supaya setiap Muslim tidak melakukan pembaziran membelanjakan harta. Sifat membazir adalah amalan syaitan yang perlu dijauhkan. Banyak keburukan berpunca sifat membazir yang membawa kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut keperluan)." (Surah al-Furqan, ayat 67)
Ikut kemampuan. Sebagai pengguna berhemah, seseorang itu tidak terpengaruh dengan apa dibeli orang lain. Setiap orang ada wang dan keperluan berbeza. Membeli atau membayar perkhidmatan yang tidak digunakan adalah satu kerugian besar.
Faham hak pengguna. Pengguna juga perlu mengetahui hak sebagai pengguna. Perniagaan global hari ini bersifat lebih kompleks. Pengguna perlu mengetahui hak mereka supaya tidak tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab.
Kerjasama peniaga penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan bersih daripada penipuan. Peniaga perlu mengamalkan etika perniagaan yang betul berdasarkan kepada hubungan sesama manusia yang terikat dengan ketetapan hukum.
Hukum Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penipuan dan penindasan dalam urusan perniagaan. Perniagaan yang wujud unsur penipuan dan penindasan samalah seperti perbuatan merompak atau mendapatkan sesuatu secara tidak hak.
Rasulullah menggalakkan umatnya berniaga sebagai sebahagian daripada hubungan muamalat sesama manusia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sembilan persepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan." (Hadis riwayat Bukhari)
Etika utama perlu diamalkan setiap peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Peniaga mengamalkan perniagaan secara beretika mendapat keuntungan berkali ganda di dunia dan akhirat.
Peniaga juga perlu mengamalkan etika bagi memastikan perniagaan berjalan lancar, menguntungkan dan diberkati Allah SWT. Antara perkara penting diamalkan ialah:
Jujur. Bersifat jujur adalah aset penting perlu dimiliki peniaga. Sikap itu memberi kedudukan baik di sisi agama dan apa yang dilakukan akan menjadi amalan menguntungkan di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Peniaga jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid." (Hadis riwayat Hakim dan Tarmizi)
Elak sikap menipu. Peniaga biasanya menipu berkaitan kualiti dan kuantiti. Mereka sering bersumpah atau mengatakan modal perniagaan itu tinggi, jadi harga ditetapkan juga tinggi bagi mendapat untung. Bahkan, ada mengaku terpaksa menanggung kerugian, sedangkan sebaliknya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Celakalah orang menipu dalam perniagaan. Apabila mereka memesan barang, mahu mendapatkan barang bermutu dan sempurna. Akan tetapi apabila mereka menjual kepada orang lain, maka mereka akan mengurangkan mutunya." (Surah al-Mutaffifin, ayat 1 hingga 3)
Allah SWT menguji peniaga tidak jujur dengan dikurniakan keuntungan, tetapi tanpa diduga kekayaan itu boleh lenyap disebabkan mengalami kerugian besar kemudiannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka itulah membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 16)
Menjaga hubungan baik dengan pembeli. Peniaga beretika lebih disukai pelanggan dan mendapat keuntungan lumayan. Pelanggan tentunya tidak mahu menanggung kerugian akibat perbuatan peniaga yang tidak bertanggungjawab. Jika diketahui dirinya ditipu, pelanggan akan tidak berurus niaga lagi.
Thursday, May 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment