Wednesday, May 14, 2008

Bersama YaPEIM: Pengurus Muslim pegang amanah

Oleh Penulis Khas YaPEIM


KEMAKMURAN RAKYAT: Sifat keadilan kepemimpinan itu harus ada pada setiap manusia sebagai proses pembentukan insan kamil, agar sesebuah masyarakat dapat hidup di dalam suasana aman dan makmur. - Gambar hiasan

Pentadbir berilmu, beradab mampu bawa kecemerlangan menurut acuan Islam

HAL berhubung pengurusan dalam Islam boleh diertikan sebagai kebolehan menggunakan sumber sama ada berbentuk kebendaan atau kemanusiaan yang dikurniakan Allah. Muhammad Al-Buraey menyifatkan pengurusan sebagai aktiviti kumpulan manusia yang tersusun, melaksanakan tugas secara kerjasama dan harmoni serta membuat keputusan rasional.

Perbezaan antara pengurusan kontemporari dengan amalan Islam ialah dari sudut matlamat dan sumbernya. Pengurusan kontemporari yang berasaskan pemikiran sekular hanya bermatlamatkan kepentingan duniawi manakala pendekatan Islam ialah kepentingan dunia dan akhirat serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Sehubungan itu, kita wajib membezakan antara hadis yang khusus kepada nabi dan hadis dituju kepada umum. Setiap perkataan atau perbuatan yang datangnya daripada nabi dengan sifatnya sebagai seorang Rasul, hadis itu hendaklah dijadikan sebagai sumber hukum dan tidak seseorang pun harus mengingkarinya.

Sementara yang datang dengan sifatnya sebagai seorang pemimpin, ketua negara atau hakim, hadis seumpama itu hendaklah dijadikan panduan oleh generasi kemudian untuk diamal mengikut kesesuaian masa dan tempat.

Seperkara lagi ialah kita tidak perlu kembali dari segi bentuk, model, fizikal dalam kebanyakan hal tetapi yang perlu diikuti dan dicontohi ialah konsep Islah yakni menjaga kemaslahatan umat dan mengawasi kandungan syariat Islam supaya tidak diselewengkan.

Dengan demikian mengikut A Ibrahim, pengurusan dalam Islam adalah bergantung pada ijtihad pemimpin dan ketua bahagian, akan tetapi asas prinsip dan peraturannya hendaklah mengikut al-Quran dan al-Sunnah.

Fahaman Islam mengenai pengurusan perlu dirujuk kepada al-Quran. Perkataan yang digunakan ialah 'Yudabbir' (tadbir) yang disebut sebanyak empat kali antaranya, firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan kamu adalah Allah yang menciptakan ruang angkasa dan bumi dalam enam hari (enam tahap) Kemudian dia bersemayam di Arsy mengatur segala-galanya. Tiada seorang juga pun yang dapat memberikan syafaat kecuali dengan izin-Nya. Itulah Allah Tuhanmu, maka sembahlah dia. Apakah kamu tidak mengambil pelajaran." – (Surah Yunus, ayat 3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dia yang mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian disampaikan kepadanya dalam satu hari yang lamanya seribu tahun menurut perhitunganmu." – (Surah Sajdah, ayat 5)

Semua perkataan merujuk bahawa manusia diwujudkan menurut satu ketetapan dan ilmu yang maha sempurna. Di sini Allah adalah pentadbiran hakiki dan manusia sebagai pentadbiran yang diamanahkan.

Berlainan dengan fahaman dan amalan Barat di mana tiada kesatuan antara teori dan praktik. Islam menggariskan pendekatan menyeluruh di mana istilah dan amalan tadbir merangkumi teori dan praktik.

Pada peringkat pemikiran ialah proses memperhalusi, menilai dan menyaring, manakala pada peringkat amali adalah tindakan melakukan sesuatu perkara untuk hasil yang terpuji.

Tugas pentadbir yang diamanahkan ini disebut berkali-kali dalam al-Quran yang semuanya membawa maksud peranan manusia sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan dan mentadbir alam ini dengan baik.

Ia bukan sesuatu yang boleh dipisah-pisahkan kerana Islam sebagai satu cara hidup yang komprehensif mengatur kehidupan tidak terbatas kepada soal keagamaan saja tetapi mencakupi setiap aspek urusan di dunia serta akibatnya di akhirat nanti (salah satu makna tadbir ialah memikirkan akibat, kesudahan daripada sesuatu perkara).

Salah satu fitrah kejadian manusia adalah menjadi tujuan hidupnya untuk mengenali dan menyembah Allah. Justeru, manusia perlu mematuhi Allah.

Sebagai khalifah Allah, sifat kepemimpinan dan keadilan menjadi tunjang kepada pentadbiran dan pengurusan yang harus dilaksanakan. Maka dengan itu, asas utama dalam pengurusan ialah manusia itu sendiri.

Sifat keadilan kepemimpinan itu harus ada pada setiap manusia sebagai proses pembentukan insan kamil. Hanya dengan itu, manusia menjadi beradab seterusnya melahirkan masyarakat adil dan berilmu.

Ini bermakna pengurusan bermula daripada pengurusan diri sendiri. Jika keadaan ini berlaku maka kita sudah melakukan keadilan pada diri kita, yakni meletakkan sesuatu di tempatnya. Seseorang yang berkeupayaan melakukan keadilan adalah seorang pemimpin bagi diri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.

Seseorang pemimpin yang adil adalah pemimpin berakhlak dan beradab. Ini dengan sendirinya menunjukkan pembangunan insan adalah faktor terpenting di bawah konsep pengurusan organisasi. Aspek kemanusiaan adalah perkara yang harus diberi pertimbangan khusus di samping aspek teknikal seperti sistem, peraturan dan struktur organisasi.

Setiap organisasi beradab harus dipimpin seorang yang paling berilmu di kalangan ahlinya kerana hanya dengan itu ia berupaya menangani masalah pekerja dengan adil, meningkatkan mutu kerja dan mengharungi perubahan tanpa mengorbankan nilai keagamaan, masyarakat dan alam sekitar.

Dimensi pengurusan dalam Islam amat luas dan saling melengkapi antara satu sama lain. Bermula daripada pengurusan diri kepada pengurusan rumah tangga, masyarakat, organisasi, negara dan alam sekitar.

Teras kepada pengurusan Islami ialah adab dan akhlak melalui penerapan nilai kerohanian dalam pentadbiran dan pengurusan harian kita. Kaedah itu dapat menghindarkan daripada hanya mementingkan kebendaan dan keuntungan (keduniaan) semata-mata.

Prinsip pengurusan Islami semasa boleh dibentuk dengan meneliti semua khazanah silam seperti Kitab al Kharaj (buku mengenai percukaian), Siyar al Muluk (peraturan bagi kerajaan atau pemerintah), Nasihat Lil Muluk (nasihat untuk raja), Kitab Siyasatul Sibyan Wa Tadbiruhum, Kitab Tadbirul Mutawahhid dan Tadbirul Iksir Al-Azam.

Pembongkaran semula rahsia pentadbiran silam ini dapat membantu kita mengemukakan tatacara pengurusan terkini dan terjamin yang memberi manfaat kepada manusia dan alam sekitar. Ia juga menepati matlamat bagi mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Orang Islam perlu yakin dan komited kepada pembentukan pengurusan pentadbiran daripada model dan acuan Islamnya sendiri. Tugas ini terletak di bahu semua ilmuwan, cendekiawan, pentadbiran serta pengurusan Islam di seluruh dunia bagi menunjukkan ia bukan sesuatu yang mustahil dan harus diperkecilkan.

Disiplin pengurusan bukan berlaku kepada masyarakat Barat, tetapi warisan dipertanggungjawabkan kepada kita semua pada setiap masa. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepada-Ku." - (Surah az-Zariyaat, ayat 56)

No comments: