Saturday, May 10, 2008

Kuiz dekatkan YaPEIM, masyarakat

Oleh Hasliza Hassan

Rakyat mula prihatin aktiviti yayasan untuk mempertingkat ekonomi ummah

KUIZ Bersama YaPEIM anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama akhbar Berita Harian berjaya mendekatkan masyarakat kepada yayasan yang ditubuhkan untuk membudayakan amal jariah dengan menyediakan prasarana diyakini untuk masyarakat.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malek Awang Kechil, berkata maklum balas diterima daripada penganjuran kuiz berkenaan menunjukkan masyarakat mula prihatin dengan aktiviti yayasan terutama program pajak gadai Islam Ar-Rahnu.

Katanya, sehingga kini seramai tiga juta sudah menerima manfaat daripada program pembiayaan berasaskan hukum syarak di 130 cawangan Ar-Rahnu dengan 118 di bawah pengendalian Bank Rakyat di seluruh negara.

"Matlamat penganjuran Kuiz Bersama YaPEIM adalah untuk mendekatkan yayasan ini dengan kumpulan sasar. Ini antara strategi kerana kita sudah merancang dan memantapkan program baru sejak 2006," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Bersama YaPEIM-Berita Harian dan Pelancaran Kolum Santun YaPEIM-Skor di Ampang baru-baru ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malek Awang Kechil.

Pada malam itu juga dilancarkan Kolum Santun YaPEIM-Skor, kerjasama YAPEIM dengan Unit Pendidikan Berita Harian yang akan menyiarkan rencana dihasilkan pelajar yang berjaya dalam pendidikan di ruangan akhbar sisipan Skor setiap Rabu.

Dr Abdul Malek berkata, Kolum Santun YaPEIM-Skor bertujuan menyediakan wadah baru untuk anak yatim dan miskin yang cemerlang ditawarkan Skim Anugerah Pelajar Miskin/Anak Yatim Cemerlang Nasional (Santun).

Beliau berkata, untuk jangka masa enam tahun YaPEIM menjangkakan seramai 3,720 pelajar akan mendapat manfaat daripada skim ini yang menelan kos antara RM8 juta hingga RM9 juta setahun dalam bentuk bantuan kewangan dan pembentukan sikap.

Katanya, matlamat skim itu bukan sekadar menawar bantuan, sebaliknya sebagai program perintis yang menggalakkan pelajar menimba pengetahuan maksimum serta membina sikap supaya apabila tamat pengajian mereka akan mampu berdikari.

"Maknanya jika dia mengambil jurusan pengurusan dia akan membentuk diri menjadi usahawan berjaya. Begitu juga jika dia mencari pekerjaan, wang bukan matlamat utama tetapi untuk menimba pengetahuan seterusnya menjadi contoh kepada orang lain," katanya.

Dr Abdul Malek berkata, pihaknya mempunyai cadangan untuk meneruskan kerjasama menganjurkan Kuiz Bersama YaPEIM dengan kerjasama Berita Harian dan mengakui pengaruh akhbar dalam membantu menyebarkan maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, Manja berkata, sebagai organisasi yang diamanahkan untuk membangunkan ekonomi umat Islam YaPEIM berjaya mencapai kejayaan melalui program berkesan termasuk skim pajak gadai Islam yang bebas daripada amalan riba.

Katanya, perkembangan dan perubahan lanskap politik negara menjadikan peranan YaPEIM untuk memperjuangkan ekonomi umat Islam di negara ini semakin mencabar tetapi kebijaksanaan dan kreativiti pihak pengurusan mampu membantu yayasan itu menangani cabaran.

"Begitu juga pendekatan menjalinkan kerjasama dengan media seperti penganjuran Kuiz Bersama YaPEIM-Berita Harian yang memberi peluang YaPEIM mendekati masyarakat melalui rencana yang memuatkan maklumat mengenai yayasan ini kepada masyarakat," katanya.

Kuiz Bersama YaPEIM sebagai nilai tambah kepada rencana Kolum Bersama YapEIM disiarkan setiap Rabu di Ruangan Agama Berita Harian bermula 26 September dan berakhir 12 Disember 2007 menerima kira-kira 10,000 penyertaan.

No comments: