Oleh Hasliza Hassan
ADA benarnya jika dikatakan hanya remaja memahami kehendak dan permasalahan yang membelenggu dunia hidup mereka. Disebabkan itu, remaja lebih terbuka untuk meluahkan apa terbuku di hati kepada rakan sebaya yang dirasakan akan faham jiwa dan keadaan dilalui mereka.
Namun, itu tidak bermakna golongan dewasa tidak boleh memecahkan tembok yang memisahkan mereka dengan remaja tetapi syaratnya, perlu tahu cara serta teknik untuk mendapatkan keyakinan serta kepercayaan mereka.
“Mereka perlu bijak membaca suasana politik kelompok itu. Masyarakat Malaysia terkenal dengan kelembutan jadi kita tahu remaja mudah diajak jika kita berlembut dengan mereka,” kata pengacara program Jemputan Umrah terbitan saluran Astro Oasis, Nabil Ahmad, 28, yang mengakui cara berlembut banyak membantu beliau mendekati remaja ketika menjadi fasilitator program perkhemahan pelajar anjuran pelbagai pihak.
Beliau berkata, sifat keserasian dan rasa percaya ditunjukkan golongan dewasa mampu mencairkan hati keras remaja hingga ada antara mereka bersedia menceritakan rahsia terpendam sekian lama tanpa diminta.
Ketika itu, pihak yang diberi kepercayaan perlu menerima permasalahan, antaranya mengejutkan mereka dengan hati terbuka supaya kepercayaan tidak diragut hanya kerana tindakan yang selalunya lebih senang menghukum daripada memberi kata-kata menenangkan.
“Bayangkan saya bersama mereka baru dua hari tetapi ada antaranya bersedia berkongsi pengalaman yang dipendam sekian lama mungkin kerana percaya atau berasakan ada persefahaman antara kami.
“Ada yang mengaku pernah mencederakan orang kerana mengikut kumpulan gangster, ada juga yang beritahu pernah berzina dengan pasangan tetapi tidak tahu kepada siapa hendak mengadu. Soalan mereka, adakah Allah akan mengampuni insan seperti mereka.
“Berdepan keadaan itu menyedarkan saya bahawa remaja sebenarnya menghadapi pelbagai cabaran hidup dan memerlukan panduan, tetapi malangnya mereka tidak tahu pada siapa atau ke mana hendak mengadu,” katanya.
Katanya, memang kadang kala timbul perasaan takut apabila mendengar cerita remaja yang terbabit dengan pelbagai masalah atau aktiviti menyalahi undang-undang tetapi menjadi orang yang diberi kepercayaan, beliau tidak boleh lari.
Sebagai cara menjawab persoalan dikemukakan, beliau lebih suka memberi nasihat berdasarkan kisah sejarah, ayat al-Quran dan hadis yang secara tidak langsung dapat memberi panduan kepada remaja kerana dalam keadaan itu, mereka memerlukan penyelesaian, bukan hukuman.
Nabil yang juga anggota kumpulan nasyid Far East berkata, penampilan yang sesuai boleh menjadi strategi untuk mendekati kumpulan sasar supaya kehadiran golongan dewasa dalam kumpulan remaja dapat diterima baik.
Katanya, pandangan pertama kepada penampilan seseorang boleh memberi kesan besar yang menentukan sama ada kehadiran mereka dalam satu-satu kumpulan itu akan diterima dengan baik atau sebaliknya.
Begitu juga cara percakapan, perlu sesuai kerana sesetengah remaja lebih senang berkomunikasi dengan orang yang dirasakan mempunyai gaya dan pendapat yang sama atau tidak jauh beza daripada mereka.
“Bukanlah nak kata jika berbual dengan remaja, mereka juga perlu berperangai seperti remaja. Cukup sekadar memahami budaya dan berusaha menyelami sesuatu perkara itu daripada pandangan remaja.
“Maknanya, jika mereka menyatakan minat pada sesuatu, pandangan itu perlu diterima tetapi andainya kita tidak bersetuju, berikan mereka alasan munasabah yang boleh diterima, bukan memperlekeh pendapat mereka.
“Mungkin penampilan saya yang masih nampak seperti remaja memberi keselesaan kepada mereka untuk bercerita,” katanya yang memang mempunyai tutur kata lembut dan dilihat berhati-hati memilih perkataan sepanjang perbualan.
Nabil yang senang mendampingi remaja berkata, pergaulan dengan kumpulan anak muda bakal mewarisi perjuangan membangunkan negara membolehkannya mengetahui apakah masalah atau keperluan mereka dan berusaha untuk membantu.
Seperti murid sekolah rendah katanya, mereka perlu dipandu dari segi memahami apakah matlamat ke sekolah sementara pelajar remaja pula penekanan diberi kepada mengorek apa yang tersimpan dalam hati mereka.
Beliau yang pernah mempunyai blog turut menjadikan teknologi yang kian menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini sebagai landasan berdakwah mengajak pelayar internet mendekati ajaran agama.
Katanya, berdakwah di alam maya banyak hikmahnya kerana ia membolehkan semua pihak memberi pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara dan membuka peluang percambahan fikiran daripada ilmu yang dikongsi bersama.
Selain itu, hasil perbincangan boleh menjadi panduan pelayar internet lain yang mungkin sedang berhadapan masalah tetapi tidak tahu kepada siapa untuk dirujuk.
Selain bergiat dalam program motivasi dan ceramah agama, Nabil aktif memperjuangkan irama nasyid kerana pembabitannya membuka peluang berdakwah lebih luas begitu juga dunia pengacaraan baru diceburi.
Beliau berkata, tuntutan tugas yang memerlukan beliau sentiasa membaca dan mengulang kaji memberi peluang untuknya menambah pengetahuan bukan saja untuk diri sendiri tetapi bagi dikongsi bersama penonton.
Bercerita mengenai pengalaman mengacarakan program Jemputan Umrah, anak kelahiran Perlis itu memberitahu bukan mudah untuk berbicara seorang diri depan kamera menyebabkan penampilan awal, beliau kelihatan agak kaku.
Bagaimanapun, lama kelamaan apabila sudah mendapat rentak dan tunjuk ajar penerbit, beliau dapat menghayati suasana bercakap seorang diri sambil membayangkan seolah-olah ada penonton di depan yang sedang mendengar.
“Berceramah dengan orang yang wujud depan kita berbeza dengan bercakap seorang diri depan kamera. Mula-mula memang saya kekok maklumlah ini bukan bidang saya tetapi saya ambil peluang ini untuk asah bakat menjadi pengacara,” katanya.
Ditanya apakah beliau sudah pernah mengerjakan umrah, pengacara yang petah membicarakan pengalaman peserta program menunaikan ibadat itu di Tanah Suci Makkah dengan tersenyum menggelengkan kepala.
Niat menunaikan umrah ketika melanjutkan pengajian di Mesir tidak kesampaian kerana apabila tiba waktu dijadualkan untuk berangkat, beliau jatuh sakit dan keluarga di tanah air menasihatkannya tidak meneruskan hasratnya itu.
Namun, niat itu bakal terlaksana kerana Nabil dijadualkan menyertai peserta Jemputan Umrah yang akan berangkat ke Makkah pada 26 Mei ini.
Bercita-cita menjadi pakar motivasi seperti Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, beliau yang baru saja melangsungkan perkahwinan pada 9 Mac lalu, meletakkan prinsip cuba dulu sebelum terima apa kesudahannya nanti.
“Pada masa sama, saya mahu belajar dan mengkaji kelebihan diri. Selalunya kita tidak tahu apa yang kita miliki, saya harap isteri dan sahabat di sekeliling dapat mencungkil keistimewaan yang ada pada saya.
“Saya juga berharap dapat sentiasa bermuhasabah diri kerana untuk mencapai cita-cita menjadi pakar motivasi serba boleh, yang penting saya tidak tinggalkan apa yang Allah suruh dan Nabi SAW minta,” katanya.
Thursday, May 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment