Friday, May 23, 2008

Persepsi salah punca Islam dipandang serong

SAYA seorang pelajar bukan Islam sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan. Penyelia saya yang berbangsa Taiwan memberikan satu tajuk yang unik. Penyelidikan saya ini katanya adalah satu tajuk yang banyak polemik dan menarik untuk dikaji iaitu mengenai amalan poligami di kalangan orang Islam.

Ketika saya membuat beberapa pembacaan dan sesi temu bual dengan beberapa pasangan Islam terbabit, saya lebih terdedah dengan ajaran Islam dan amalan adat istiadat Melayu yang dianggap Islam. Di kalangan umat Islam sendiri ada pelbagai persepsi berbeza.

Antaranya Islam dianggap sebagai agama berbentuk upacara. Islam dilihat hanya mementingkan lima rukun Islam seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.

Contoh lain seperti majlis kenduri untuk si mati, adat nikah kahwin dan adat istiadat Melayu. Ada juga memandang beberapa ajaran Islam sebagai ketinggalan zaman dan menyusahkan. Perbualan saya dengan mereka sedikit sebanyak mengesahkan pandangan beberapa kawan bukan Islam mengenai amalan seperti berkhatan, menunaikan haji dan sembahyang lima waktu amat membebankan.

Persepsi lain termasuk tanggapan Islam menindas wanita. Wanita diwajibkan menutup aurat, taat pada suami dan tiada hak untuk memiliki harta. Islam juga mengenakan hukuman berat kepada pesalah seperti hukuman rejam kepada penzina, bunuh untuk murtad dan potong tangan untuk pencuri. Apakah persepsi itu betul?

Sue,

Pelajar Malaysia di Taiwan

Terima kasih kerana bertanya dan menunjukkan minat untuk membetulkan persepsi. Beberapa perkara mengenai fahaman salah beberapa orang Islam yang saudari sebutkan itu memang ada benarnya. Cuma saya mohon saudari dapat bezakan antara Islam dengan orang Islam.

Ada beza antara amalan orang Islam dengan Syariah Islam. Islam bukan hanya untuk orang Melayu atau Arab saja. Bahkan jika dikaji statistik, umat Islam di China lebih ramai dari umat Islam di Malaysia.

Islam diturunkan sebagai rahmat ke seluruh alam yang melindungi semua ciptaan Allah di kalangan manusia, haiwan dan alam semesta. Islam adalah satu cara hidup yang mencakupi semua aspek kehidupan daripada kebersihan diri hinggalah kepada pemerintahan negara.

Permasalahan utama umat Islam ialah salah faham penganutnya sendiri dan juga persepsi negatif bukan Islam. Permasalahan ini perlu di tangani melalui pembacaan dan perbincangan dengan orang yang mempunyai kuasa dalam bidang agama.

Islam memberi kebaikan kepada manusia ibarat ubat yang pahit tetapi mujarab. Contohnya Islam melarang pergaulan bebas untuk mencegah daripada penyakit kelamin seperti Aids dan HIV, merosakkan keturunan dan membunuh jiwa anak yang tidak berdosa.

Kebenaran Islam terbukti secara saintifik. Saintis Barat sudah membongkar rahsia keajaiban beberapa ajaran Islam contohnya solat yang memberi impak kesihatan yang baik. Al-Quran juga menekankan solat itu mencegah umatnya melakukan kejahatan.

Selain itu, saintis membuat pelbagai kajian dan menjumpai penemuan terbaru dari semasa ke semasa. Contohnya Harun Yahya yang menulis dalam bukunya menemui bukti saintifik dalam Al-Quran tanda kebesaran Allah dalam segala bidang.

Beberapa penemuan baru ditemui pada abad ini sebenarnya sudah termaktub dalam al-Quran lebih 1400 tahun lalu seperti penemuan kerak bumi yang bergerak dan mawar merah. Islam adalah agama fitrah. Allah sebagai Pencipta manusia menyediakan manual kehidupan dengan panduan al-Quran dan sunnah.

Firman Allah yang bermaksud: “Pada hari ini telah Ku sempurnakan untukmu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku menyukai Islam itu menjadi agamamu.” - (Surah al-Maidah, ayat 3)

Persepsi yang betul terhadap Islam dapat melahirkan umat yang mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan seharian. Kisah pengorbanan sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Abu Bakar mendermakan keseluruhan hartanya pada Islam.

Begitu juga sahabat Nabi bernama Hanzalah yang syahid di malam pertama perkahwinan untuk menegakkan Islam. Oleh itu, umat Islam diseru untuk membetulkan persepsi mengenai Islam dan beramal dengan amal Islami sebenar.

Pada masa sama, kita lihat banyak persepsi negatif daripada orang bukan Islam khasnya di Barat yang tidak memenangkan Islam kerana ada dua persepsi dalam melihat sesuatu. Satu nilai kepada orang Islam dan satu nilai yang lain kepada bukan Islam.

Mereka menggunakan neraca berbeza untuk menimbangkan perkara yang sama. Mereka tidak bandingkan antara satu epal dengan epal yang lain.

Contohnya di Barat, mengapa seseorang Yahudi dibolehkan menyimpan janggut untuk mengamalkan kepercayaannya, tetapi bila seorang Muslim berbuat demikian, dia dianggap ekstrim dan pengganas? Mengapa seorang rahib Kristian boleh menutup keseluruhan tubuhnya kerana memperhambakan diri kepada Tuhannya, tetapi apabila seseorang perempuan Islam melakukan, ia dikatakan kuno dan tertindas?

Mengapa apabila wanita Barat menjadi suri rumah sepenuh masa, dia dihormati kerana dikatakan berkorban untuk keluarganya, tetapi apabila wanita Islam berbuat begitu, mereka kata, “Dia mesti dibebaskan.”

Mengapa mana-mana gadis boleh ke universiti dengan berpakaian mengikut kesukaannya kerana punyai hak dan kebebasan, tetapi apabila wanita Muslim memakai hijab, dia tidak boleh menjejakkan kakinya ke universiti?

Mengapa apabila seseorang kanak-kanak meminati sesuatu bidang, dia dikatakan punyai bakat, tetapi apabila kanak-kanak meminati Islam, dia dikatakan tidak punya masa depan dan tidak berguna?

Mengapa apabila seseorang Kristian atau Yahudi membunuh, agamanya tidak dikaitkan dengan dirinya, tetapi apabila orang Muslim didakwa melakukan jenayah, nama Islam turut diadili. Mengapa apabila seseorang berkorban diri untuk melihat orang lain hidup, dia amat disanjungi, tetapi apabila seseorang warga Palestin mengangkat senjata untuk membela diri, keluarga, rumah tangga dan masjidnya, dia dicop sebagai pengganas?

Mengapa apabila seseorang memandu kereta mewah dengan cara bahaya, keretanya tidak pernah dipertikaikan, tetapi apabila seseorang Muslim melakukan kesalahan, orang kata ia adalah kerana agama Islamnya.

Saya minta saudari melihat Islam daripada kacamata syariah Islam dan belajar Islam daripada cerdik pandai Islam yang mengamalkan Islam dengan ikhlas. Saya berharap saudari akan lebih tekun mempelajari Islam dan menerima Islam sebagai satu cara hidup.

Jawapan disediakan setiausaha Wanita JIM Kuala Lumpur, Julie Rosita. Semua persoalan yang lepas boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

No comments: