Oleh Wan Roslili Abd Majid
Satu perkara penting menjayakan serta meneguhkan kepemimpinan termasuklah wawasan yang terancang. Dalam hubungan ini, wawasan masa depan tidak boleh sama sekali dipisahkan daripada apa yang sudah berlaku dalam sejarah dan yang sedang berlaku kini.
Bagi umat Islam, masa depan yang dimaksudkan bukan saja membabitkan kehidupan di dunia bahkan akhirat. Berbicara mengenai sejarah, barangkali ada antara kita menganggap sejarah tidak begitu penting untuk diketahui dan ditelusuri, apatah lagi dihayati pengajarannya.
Lebih malang lagi jika sikap itu wujud pada pemimpin kerana ternyata apabila mendepani kemelut yang pernah berlaku dalam sejarah, mereka mengatasinya tanpa cuba mempelajari sesuatu daripada tindakan generasi sebelum menyelesaikannya.
Sejarah dan sifatnya yang berulang pernah diungkap dengan indahnya oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam seloka ciptaannya, "Sifat sejarah menurut orang, ibarat pentas bermain wayang, cerita lampau dihurai dalang, pabila tamat segera diulang."
Menurut beliau lagi, Muslimin tidak mungkin dapat mengulangi kegemilangan yang pernah dicapai pada zaman silam jika mereka lupa sejarah, peranan, nilai yang dianuti dan ilmu dimiliki selain kehilangan makna diri, keperibadian serta perwatakan sebenar mereka. (Risalah untuk Kaum Muslimin, ISTAC, 2001)
Berbalik pada wawasan yang terancang, Muhammad Baqir Najm-I Thani dalam karyanya Mau`izah-i Jahangiri yang menyentuh mengenai pemikiran siasah dan adab di India sewaktu pemerintahan Maharaja Mughal, Jahangir, memetik kata-kata cendekiawan.
Kata cendekiawan antara unsur keteguhan sesebuah negara dan kestabilan kuasa seseorang pemerintah termasuklah pertama, langkah berjaga-jaga sepenuhnya supaya pemerintah berupaya menjangka atau menggambarkan keadaan masa depan berdasarkan cerminan apa yang wujud sekarang dan kedua, keazaman yang teguh supaya kelemahan tidak sama sekali menggugat tekad serta kesungguhannya.
Rasulullah SAW dirakam oleh catatan sirah Baginda, jelas memperlihat kewibawaannya sebagai pemimpin berwawasan, terancang dan berpandangan jauh sehingga melewati zamannya. Lihat saja ucapan pertama Baginda kepada kaumnya yang ringkas tetapi amat berkesan lagi berpengaruh.
Antaranya Baginda menawarkan sesuatu kepada mereka yang tidak pernah ditawarkan kepada bangsa Arab sebelumnya dan menjanjikan masa depan yang gemilang.
Saidina Ali yang ketika itu masih kecil, turut menjadi saksi dan meriwayatkan seruan Baginda dengan menegaskan, "Tidak ku ketahui bahawa ada orang lain daripada kalangan bangsa Arab selainku yang menemui kaumnya dengan membawa risalah lebih mulia daripada apa yang kubawa. Aku membawa (risalah) yang terbaik bagi dunia ini dan kehidupan selepasnya (akhirat)
"
Di kalangan pemerintah Bani Umayyah misalnya, Khalifah Umar ibn Abd al-Aziz (Umar II, 717-720 Masihi) adalah contoh terbaik seorang pemimpin yang menjadikan sejarah sebagai panduan dan wawasan jauh lagi terancang sebagai dasar pemerintahannya.
Sehubungan itu, beliau berusaha sedaya upaya menegakkan dasar pemerintahan Islam seperti dilaksanakan Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rashidin, khususnya datuknya, Umar ibn al-Khattab.
Antara usaha penting dilaksanakan dari sudut dakwah, beliau mengambil langkah berhikmah untuk memujuk golongan bukan Islam menerima agama Islam. Justeru, beliau mengutus arahan kepada semua gabenor yang antara lain, menekankan hasrat untuk membina sebuah masyarakat baru berlandaskan keimanan dan tidak berlandaskan bangsa atau keturunan.
Kedua, mewujudkan persamaan hak dan tanggungjawab bagi setiap individu beragama Islam, sama ada berketurunan Arab mahupun bukan Arab terhadap agama serta negara. Ketiga, memansuhkan jizyah (cukai) yang dikenakan atas orang bukan Arab beragama Islam yang diamalkan sejak zaman al-Hajjaj.
Seperti ditetapkan agama Islam, jizyah hanya dikenakan atas orang bukan Islam saja dan apabila seseorang memeluk agama Islam, ia sekali gus dikecualikan daripada tanggungjawab membayar jizyah.
Keempat, cukai lain seperti cukai tanah, cukai perniagaan dan zakat dikenakan atas orang bukan Arab yang beragama Islam, sama seperti orang Arab beragama Islam, berdasarkan hak serta tanggungjawab.
Di penghujung surat arahannya itu, beliau menegaskan bahawa sesiapa saja yang beragama Kristian, Yahudi atau Majusi yang menyertai orang Islam dengan mendiami tempat kediaman mereka serta meninggalkan rumah kerana seruan Islam, berpeluang menikmati semua keistimewaan dan memikul tanggungjawab sama seperti umat Islam.
Malah, beliau juga menegaskan kewajipan umat Islam untuk berbuat baik kepada individu yang menerima seruan Islam itu dan menganggapnya sebahagian daripada mereka.
Tindakan Umar menghapuskan jizyah atas kaum Muslimin bukan Arab ditentang beberapa orang gabenor, termasuk gabenor Mesir yang berpandangan bahawa tindakan itu boleh memberikan kesan buruk kepada kedudukan kewangan negara kerana apabila banyak orang memeluk Islam, maka bilangan yang membayar jizyah akan bertambah kecil.
Jawapan tegas yang diberikan Khalifah Umar kepada gabenor berkenaan ialah, "Hapuskan jizyah daripada orang Islam, sesungguhnya Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa petunjuk dan bukan sebagai pemungut cukai."
Dengan wawasannya yang jauh lagi bijaksana, Khalifah Umar melaksanakan pula dasar baru bagi menjana pendapatan negara termasuklah melalui cukai tanah (kharaj), iaitu tanah yang diperoleh melalui penaklukan dan ia menjadi hak milik bersama umat Islam.
Hasil tanaman bagi tanah itu dikenakan cukai oleh kerajaan dan tanah kharaj tidak boleh dijual beli atau diagih-agihkan kepada sesiapa pun, sama ada sebagai hadiah atau pemberian. Kedua, membezakan antara jizyah dengan kharaj.
Berbeza dengan zaman pemerintahan Abdul Malik dan al-Walid, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar, jizyah hanya dikenakan atas orang bukan Islam saja manakala kharaj dikenakan atas sesiapa saja yang memiliki tanah, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Zakat pula hanya dikenakan atas umat Islam saja.
Ketiga, memansuhkan segala jenis perayaan, upacara rasmi kerajaan, hadiah kepada tetamu dan perbelanjaan lain yang menyebabkan pembaziran.
Dengan sudut ekonomi baru inilah Khalifah Umar berjaya membawa kemakmuran kepada negara sehingga masyhur diperkatakan, pada zaman pemerintahan beliau tiada seorang pun yang layak menerima zakat disebabkan keselesaan hidup dinikmati rakyatnya.
Dari aspek siasah, Khalifah Umar menunjukkan sikap berbaik dengan musuh kerajaan Bani Umayyah, bukan saja dari luar tetapi juga dalam, iaitu di kalangan orang Arab sendiri, termasuk kaum Khawarij.
Khalifah Umar mengambil pendekatan berbeza dengan pemerintah sebelumnya apabila cuba mengadakan perbincangan dan perbahasan dengan kumpulan berkenaan. Hujah dan dalil kuat yang dikemukakan Khalifah Umar berjaya menyedarkan mereka dan beliau dapat menamatkan penentangan iaitu satu-satunya pemberontakan yang dihadapi sepanjang tempoh pemerintahannya selama kira-kira dua setengah tahun.
Sesungguhnya peristiwa sejarah bukan sekadar rakaman peristiwa yang berlaku pada zaman silam tetapi ia mempunyai makna tersirat dengan mendalam di sebalik yang tersurat. Terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya, sama ada untuk mencari panduan menyelesaikan permasalahan, kemelut dan pertikaian atau mencipta kegemilangan serta kemajuan mengambil pengajaran daripada keruntuhan serta kemunduran yang pernah menimpa bangsa silam.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment