Oleh Mohd Adidi Ab Rahman
MENJADI kewajipan bagi setiap Muslim mencontohi keelokan keperibadian Rasulullah SAW sebagai pembuktian cinta kepadanya, kejituan iman dan menepati kalimah syahadah yang diucapkan kerana pada diri Baginda terhias akhlak terpuji yang tidak ada tolok bandingnya. Antara akhlak Rasulullah SAW ialah memiliki sifat zuhud.
Menurut Sheikh Muhammad Al-Mubarak dalam bukunya 'Sistem Islam, Akidah dan Ibadat' mengenai zuhud, "Seseorang yang melebihkan akhirat dan apa yang berkait dengannya di atas dunia dan apa-apa yang berkait dengannya."
Seorang ulama besar Islam, Imam Al-Ghazali pula mengemukakan pendapatnya mengenai zuhud, "Suatu keputusan untuk membanteras jiwa daripada segala rupa kesenangan sambil melangkah kepada yang lebih baik; iaitu dengan meninggalkan yang tidak baik kepada lebih baik."
Daripada dua pendapat itu dapat dirumuskan zuhud ialah memandang sesuatu benda itu kurang penting, atau tidak berharga dalam timbangan fikiran yang sihat atau meninggalkan segala kenikmatan hidup dan kelazatannya dengan hanya mengambil yang perlu semata-mata untuk beribadat atau menyediakan diri menuju ke alam akhirat kekal abadi.
Bagi segelintir masyarakat yang kurang faham menganggap zuhud itu meninggalkan segala kesenangan hidup di dunia dan akan menumpukan sepenuhnya untuk kehidupan akhirat. Lalu menyeksa diri dengan berpakaian kasar dan tampak tidak terurus.
Jika demikianlah, perbuatan itu menyalahi naluri dan fitrah manusia serta terpesong daripada landasan Islam sebenar. Bukankah Islam menyuruh supaya setiap Muslim menyeimbangkan antara kehidupan dunia dengan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)
Orang yang memiliki sifat zuhud menganggap dunia serta segala perhiasannya itu kecil saja dan akan musnah semuanya. Hanya yang dimanfaatkannya tidak lebih sekadar mencukupi untuk makan, minum, pakai dan tempat tinggal atau dengan kata lain mengambilnya sebatas yang diperlukan saja.
Pesan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Hendaklah kadar yang diambil oleh seseorang kamu dari dunia hanya sebanyak bekal seorang musafir." (Al-Hadis)
Atas fahaman itu, maka bagi zahidin tidak ada alasan untuk mengagungkan sesuatu yang hanya bersifat sementara dan akhirnya lenyap. Sedangkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal, lalu bijaklah jika kehidupan akhirat diutamakan.
Oleh sebab kurang iman, maka di kalangan kita ada yang terlampau mencintai dunia, lantas bekerja siang malam mengumpul harta kekayaan hingga terlupa mengingati Allah, seolah-olah mereka dapat hidup buat selamanya di sini.
Dalam hal ini Allah menerangkan sikap kebanyakan manusia melalui firman yang bermaksud: "Bahkan kamu lebih memilih kehidupan dunia. Sedang kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal." (Surah al-A'la, ayat 16-17)
Oleh itu, bagi orang Islam hendaklah mementingkan kehidupan yang kekal di akhirat. Walaupun begitu, bukan bermakna kehidupan sekarang tidak perlu diurus. Hanya perlu diingat, jangan berlebih-lebihan dan melampaui batas. Sesungguhnya berzuhud hakikatnya tidak pernah merugikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang bangun pagi sedang ingatannya hanya pada akhirat semata, nescaya Allah akan menghimpunkan segala urusannya, memelihara perusahaannya dan dunia akan datang menyembah kepadanya."
Isteri Baginda SAW, Siti Aisyah menceritakan bahawa belum pernah dijumpai dalam rumah Rasulullah SAW ada persediaan makanan, bila makan siang, tidak ada lagi persediaan untuk makan malam. Dan Baginda belum pernah memiliki dua lembar serban, sarung dan dua pasang selipar.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah kenyang daripada gandum selama tiga hari berturut-turut hingga akhir hayatnya. Sifat zuhud Rasulullah SAW tergambar juga dalam doanya yang bermaksud: "Ya Allah, berikanlah kepada keluarga Muhammad rezeki sekadar cukup makan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya sifat zuhud itu menjadi perhiasan akhlak Rasul, sebagai jambatan untuk mengingati dan mendekati diri kepada-Nya. Jika diteliti apa diutarakan Imam Ahmad bin Qudamah al-Maqdisi mengenai tingkatan kedudukan orang yang zuhud terhadap sesuatu diingini:
Pertama, zuhud orang yang takut kepada Allah. Sentiasa menyelamatkan diri daripada azab dan hisab yang akan ditempuhi setiap manusia di akhirat.
Kedua, zuhud orang yang berharap. Sentiasa berusaha untuk mendapatkan pahala dan nikmat yang dijanjikan. Meninggalkan nikmat dunia semata-mata mendapat nikmat akhirat.
Ketiga, zuhud orang yang ikhlas. Iaitu tidak pernah mengelak daripada penderitaan atau untuk mendapatkan keseronokan, tetapi semata-mata ingin bertemu dengan Allah.
Daripada ketiga-tiga tingkatan kedudukan orang yang zuhud di atas, ternyata bertujuan untuk mendampingi Allah.
Sebagai seorang Muslim yang bercita-cita mendapat kasih sayang dan keredaan Allah, sudah tentu akan mengamalkan sifat zuhud dengan penuh keimanan kerana berzuhud juga menjamin keikhlasan beramal.
Saturday, May 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment