BUDAYA berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca sikap berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai tunai, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan dengan cara membeli secara kredit.
Di kalangan golongan miskin memang sudah biasa dikaitkan dengan hutang. Namun, dalam dunia moden hari ini golongan kaya dan sederhana juga terbabit dengan hutang yang diambil dengan institusi kewangan dan syarikat menjual secara kredit.
Maknanya, berhutang sudah menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat. Orang miskin atau kesempitan wang berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan orang kaya berhutang untuk bermewah.
Pada dasarnya, Islam tidak melarang berhutang, tetapi tidak menggalakkan jika ia tidak dianggap keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara suka-suka.
Sepatutnya kita berasa 'malu' hendak berhutang kerana ia dikaitkan dengan kemiskinan dan ketidakupayaan dari segi kewangan. Mengapa berhutang dijadikan budaya sedangkan ia bukan keperluan amat penting hingga mewajibkan berhutang seperti untuk keperluan perubatan dan pendidikan.
Islam menetapkan peraturan berkaitan hutang agar ia memberi kebaikan kepada pemiutang (pemberi hutang) dan penghutang (menerima hutang) dan mengelak keburukan akibat urusan hutang itu.
Di pihak penghutang, antara perkara mesti dipatuhi ialah:
Untuk tujuan kebaikan.
Pinjaman itu dibuat untuk tujuan kebaikan. Jika sudah ada wang, maka tidak perlu berhutang biarpun ada pihak ingin memberi pinjaman. Dalam dunia moden, aktiviti hutang (kredit) dianggap satu perniagaan yang mana institusi pemberi hutang akan menawarkan hutang sebagai satu perkhidmatan.
Niat ingin menjelaskan hutang.
Perkara utama mesti ada dalam minda penghutang ialah niat hendak menjelaskan hutang itu. Niat itu akan membantu memudahkan urusan pembayaran hutang itu.
Tunaikan janji.
Penghutang mesti berusaha melangsaikan pembayaran hutang mengikut perjanjian, dari segi jumlah dan tempoh. Perjanjian itu sebaik-baiknya dibuat secara bertulis dan ada saksi bagi mengelak pertikaian berkaitannya kemudian.
Wajib membayar hutang.
Setiap hutang wajib dibayar biarpun tidak dituntut. Sesiapa yang sengaja tidak membayar hutang, termasuk kepada institusi kewangan dan badan kerajaan, antara dosa besar yang tidak tertebus biarpun dengan pahala mati syahid.
Boleh membayar lebih.
Penghutang dibolehkan menyerahkan kembali hutang melebihi apa diperoleh dulu, asalkan ia bukan disebabkan diminta pemiutang. Pembayaran yang lebih itu sebagai tanda bersyukur di atas bantuan dihulurkan pemiutang.
Harta pusaka penghutang.
Harta pusaka penghutang yang meninggal dunia sebelum sempat menjelaskan hutangnya mesti digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang itu. Waris tidak berhak ke atas harta pusaka itu melainkan baki selepas ditolak membayar hutang simati.
Memberi hutang sebagai membantu.
Individu yang berkemampuan memberi hutang harus melakukan jika ada individu lain yang memerlukan hutang itu untuk tujuan kebaikan.
Wajib memberi hutang.
Dalam keadaan membabitkan perkara darurat yang mana dengan cara itu saja dapat mengelak berlaku perkara buruk terhadap penghutang atau perkara yang berkaitan dengan tujuan berhutang itu, orang yang mampu wajib memberi hutang diperlukan itu.
Haram memberi hutang.
Jika diketahui penghutang ingin menggunakan apa dihutang itu untuk tujuan diharamkan seperti berjudi, membeli arak dan melakukan maksiat, maka haram diberikan sebagai hutang. Pemiutang akan bersubahat terhadap dosa-dosa dilakukan penghutang yang dilakukan hasil hutang itu.
Minta hutang dijelaskan.
Pemiutang boleh meminta kembali hutang diberikan apabila cukup tempoh dijanjikan.
Memberi tangguh atau menghalalkan.
Dalam kes di mana penghutang tidak mampu menjelaskan hutang itu, pemiutang wajar memberi tangguh atau menjadikan hutang itu sebagai sedekah yang mendatangkan kebaikan kepada pemiutang dan penghutang.
Minta jumlah menyamai apa yang diberikan.
Pemiutang hanya berhak meminta kembali hutang mengikut jumlah diberikan. Jika meminta melebihi jumlah itu, maka ia termasuk dalam riba. Amalan riba menghilangkan keberkatan amalan dan pelakunya menanggung dosa besar memakan atau menggunakan manfaat hasil riba.
Sehubungan itu, bertuah sesiapa yang bebas daripada beban hutang. kepada perkara yang penting saja dapat mengelak diri daripada terjebak masalah hutang.
Thursday, May 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment