Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
MINGGU lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan sebagai berkata, wanita Malaysia yang ingin ke luar negara berseorangan mungkin disyaratkan mendapat perakuan majikan atau keluarga bagi mengelakkan mereka diperangkap menjadi penghantar dadah oleh sindiket antarabangsa yang berpangkalan di luar negara.
Perakuan itu bagi memastikan tujuan sebenar mereka ke luar negara sama ada untuk berkursus, berniaga atau belajar. Rais berkata, tindakan itu berikutan peningkatan kes wanita diperangkap sindiket dadah antarabangsa.
Menurutnya, setakat ini ada 119 kes membabitkan warga negara Malaysia ditangkap berikutan dadah, 90 peratus daripada mereka adalah wanita berusia antara 21 hingga 27 tahun.
Menariknya, apabila ada permasalahan sebegini menteri mengambil sikap mencari jalan penyelesaiannya dengan berbalik kepada agama. Dalam Islam memang disyaratkan bagi wanita Islam yang bermusafir lebih dua marhalah hendaklah ditemani mahramnya.
Marhalah adalah kadar ukuran jauh bagi masyarakat Arab. Satu marhalah adalah satu perjalanan unta tanpa perlu berhenti rehat atau minum. Dua marhalah dianggarkan lebih kurang 90 kilometer bagi ukuran metrik.
Hatta dalam mengerjakan ibadat pun syarat itu tidak dilupuskan. Itulah sebabnya kita sering mendengar kerajaan Arab Saudi tidak memberikan visa perjalanan umrah atau haji kepada wanita yang tidak ditemani mahram atau sekurang-kurangnya ditemani wanita yang dipercayai sepanjang mengerjakan ibadat itu.
Tujuan syarat itu dikenakan kepada wanita bukanlah untuk menyekat pergerakan wanita Islam, malah ia adalah satu jaminan keselamatan kepada wanita Islam. Ia tidak harus dilihat sebagai diskriminasi terhadap wanita tetapi sebagai suatu cara melindungi wanita Islam.
Ada juga suara menyatakan wanita sekarang tidak perlu dilindungi lagi, mereka lebih lincah, bijak dan lebih bekerjaya daripada lelaki. Oleh itu, sebarang usaha yang dikatakan mahu melindungi wanita adalah semata-mata kerana memandang rendah kredibiliti dan kebolehan mereka.
Tidak dinafikan wanita alaf ini memang hebat dan memberi sumbangan besar kepada negara, namun jika dilihat daripada angka dikeluarkan oleh Rais, sebenarnya memang masih perlu perlindungan diberikan kepada wanita dalam hal perjalanan ke luar negara.
Begitu juga dalam hal keganasan rumah tangga, hubungan kekeluargaan, jenayah dan sebagainya di mana wanita perlu diberi keistimewaan bagi melindungi kepentingan dan sifat semula jadi mereka.
Wanita seperti Umi Azlim Mohamad Lazim, Dayang Sakeinah Mat Lazim, Norfaizura Azura Md Lias dan ramai lagi yang sedang ditahan di luar negara akibat kesalahan berkaitan dadah amat menyedihkan kita.
Apatah lagi apabila mengetahui bahawa sebahagian besar mereka adalah graduan universiti yang bijak, yang sepatutnya boleh membantu pembangunan negara. Alangkah ruginya negara kehilangan bakat dan intelek seperti mereka ini.
Berbalik kepada saranan Menteri Luar itu, penulis ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Rais atas syor diberikan. Malah, dalam banyak keadaan lain pun sebenarnya agama sudah menyediakan panduan bagaimana menangani setiap per-masalahan.
Penulis menyokong sebarang usaha meletakkan agama sebagai suatu cara hidup, bukan dipilih bila ketikanya mahu mengikut agama dan bila waktunya meminggirkan agama. Keindahan Islam hanya akan dikecapi dan dinikmati bersama jika kita mengambil agama secara keseluruhannya.
Sudah sampai masanya setiap polisi yang ingin digarap kerajaan menoleh kembali apa yang disajikan agama. Sajian agama memberikan santapan mantap bagi memelihara diri dan keluarga. Mungkin satu ketika dulu sebahagian umat Islam melihat agama sebagai kolot dan ketinggalan zaman.
Ia sebenarnya tersasar daripada landasan sebenarnya. Ia adalah hasil kecetekan kefahaman Islam itu sendiri. Daripada aspek sains dan teknologi juga sudah dibuktikan bahawa agama Islam mendahului zamannya dan bukan ketinggalan.
Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan dengan sokongan padu daripada kerajaan dan masyarakat setempat. Dengan dilaksanakan syor itu sudah tentulah majikan dan keluarga yang memberi perakuan mengetahui tujuan sebenar wanita ke luar negara dan ia akan mengelakkan diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa.
Bukan itu saja, jaringan kekeluargaan antara keluarga juga perlu dipereratkan, pihak keluarga perlu tahu ke mana anak gadis mereka, apa yang mereka lakukan dan apakah pekerjaan sebenar mereka. Bukan sekadar melepaskan mereka ke alam pekerjaan tanpa memantau aktiviti mereka.
Pendekatan yang diambil Rais adalah pendekatan terbaik harus dicontohi menteri lain. Insya-Allah suatu masa nanti kita akan mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan melalui pendekatan agama.
Pendekatan itu adalah pendekatan terbaik yang sudah dijamin Allah. Sebagai orang Islam sentiasalah kita melihat sesuatu isu atau perkara itu daripada lensa Islam. Kacamata agama ini akan memberikan kehidupan terbaik kepada kita di dunia dan akhirat.
Sudah sampai masanya kita mendasari setiap tindakan serta perancangan dengan berpaksikan kepada agama. Agama, khususnya Islam sudah lama sebati dalam jati diri orang Melayu dan menjadi alternatif terbaik bagi setiap permasalahan.
Tidak guna kita tercari-cari penyelesaian dalam budaya lain tanpa melihat ke dalam diri sendiri. Islam adalah sebuah kehidupan yang cantik susun aturnya. Susunan itu tidak harus dirungkaikan kerana akan punah masyarakat jika kita tidak menggunakan panduan yang sudah digariskan itu.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment