Bersama Dr Juanda Jaya
Ilham Illahi dititip melalui insan lain tetapi pelaku maksiat tidak diberi petunjuk
SIFAT manusia memang sentiasa mahu dirinya dipandang baik. Jika orang lain memburuk-burukkan diri kita, tentu saja reaksi pertama kita akan tonjolkan ialah marah. Manusia tidak boleh menerima nasihat jika ia berada pada kemuncak kebongkakan dan kezaliman dirinya.
Jarang sekali orang yang tinggi ilmu, berkuasa, kaya, hebat, berjaya dan bahagia mahu menerima teguran, nasihat dan pandangan orang lain. Kerana dia berasa sudah memiliki segala-galanya, tiada kecacatan dan keaiban yang boleh menjejaskan dirinya.
Kecuali, mereka yang disentuh hatinya oleh rahmat Allah, sentiasa mencari aib diri, membandingkan kelemahan pengamalan agamanya dengan kesempurnaan pengamalan agama orang lain.
Nasihat ialah ubat bagi jiwa, cahaya menerangi kegelapan, petunjuk menjadi penyelamat, jalan keluar daripada kekusutan dan penyelesaian bagi setiap masalah. Untuk itulah manusia dibekalkan hati dan fikiran supaya boleh menyaring setiap nasihat baik untuk menjadi pedoman hidupnya.
Sedangkan al-Imam al-Syafie saja boleh berlapang dada menerima nasihat daripada guru beliau, Waki' Ibnul Jarrah. Mengapakah kita yang kurang ilmu, cetek pemikiran, keras jiwa dan buta hati kadang-kadang mengamuk apabila seseorang menegur kesilapan kita.
Al-Zahabi menyatakan al-Syafie mempunyai daya hafalan yang hebat. Imam al-Syafie berkata dalam syairnya: "Aku mengadu kepada guruku Waki' mengenai buruknya hafalanku. Dia membimbingku supaya meninggalkan segala maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu adalah cahaya. Dan cahaya Allah tidak memberi petunjuk kepada pelaku maksiat."
Imam al-Syafie pernah menghadap Khalifah Harun al-Rasyid. Beliau memberi salam dengan ucapan Assalamualaika ya Amirul mukminin wabarakatuh. Khalifah tidak suka mendengar salam yang tidak lazim disebut itu kerana al-Syafie tidak menyebut warahmatullah. Kemudian al-Syafie berkata: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya rahmat Allah itu sudah pun berada di hati tuan, tidak perlulah saya menyebutkannya."
Beliau sudah membuka hati Amirul Mukminin, sekali gus melembutkannya supaya baginda tidak terasa hati apabila mendengar nasihatnya. Kemudian beliau membacakan firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah sudah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang tetap kafir sesudah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (Surah al-Nur, ayat 55)
Imam Al-Syafie berkata: Demikianlah Allah menepati janjinya kerana sekarang baginda sudah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman."
Nasihat mestilah disampaikan dengan lemah lembut tanpa menyembunyikan sesuatu di sebaliknya. Kadang-kadang manusia mempunyai agenda tertentu untuk mengambil peluang daripada hubungan persahabatannya dengan orang lain, sehingga nasihat diberi hanya menguntungkan dirinya dan merugikan orang menerima nasihat.
Ada pula yang sengaja menyembunyikan kelemahan saudaranya dan suka memuji saja. Apabila saudaranya itu terjatuh ke dalam lubang kehancuran maka si pengampu cepat-cepat menyelamatkan dirinya sendiri. Kerana tiada keikhlasan dalam persahabatan mereka.
Amalan meminta nasihat ulama dan pandangan pakar untuk memperbaiki iman dan keadaan negara sebenarnya sudah menjadi amalan Khalifah yang pernah memerintah dalam sejarah umat Islam. Salah satu contoh boleh diambil teladan ialah tabiat Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang meminta alim ulama untuk menasihati beliau secara terbuka mahupun melalui surat bertulis.
Baginda pernah meminta seorang yang alim lagi warak setaraf ilmu dengannya iaitu al-Imam Hasan al-Basri supaya memberi nasihat. Surat al-Hasan datang dan menyatakan: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin adil itu umpama tongkat yang menguatkan mana yang condong, tempat berlindung orang teraniaya, memperbaiki mana yang rosak, menjadi kekuatan bagi orang lemah, membela orang tertindas dan tempat mengadu orang yang kemalangan."
"Wahai Amirul Mukminin, pemimpin adil adalah laksana gembala menggembalakan unta yang dikasihinya, dihalau ke padang subur rumputnya, dihindarkan daripada tebing curam, dijaga supaya tidak dimakan binatang buas, dipelihara supaya jangan mati kepanasan dan kedinginan."
"Wahai Amirul Mukminin, pemimpin adil ibarat hati dalam tubuh insan, baik tubuh badan itu kerana kebaikannya dan rosak pula kerana kerosakannya. Pemimpin adil itu adalah seorang yang sentiasa berdiri di sempadan antara Tuhannya dan rakyatnya. Dia mendengar kalam Allah lalu disampaikan kepada rakyatnya. Dia melihat kuasa Allah lalu disampaikan pandangannya itu kepada mereka supaya berpegang semua rakyat kepada kuasa Allah, dia membimbing tangan rakyatnya menapak jalan kebahagiaan."
"Ingatlah, wahai Amirul Mukminin mengenai keperitan maut, maka sediakanlah bekalan untuk menghadapi mati dan selepasnya. Tuan akan berpindah ke suatu tempat yang belum pernah tuan diami. Tuan akan berada di sana pada masa tersangat lama, akan ditinggal oleh segala yang tuan cintai, sunyi, tak berkawan. Ingatlah betapa hebatnya ketika isi kubur dibongkarkan dan isi hati dikuakkan. Semuanya sudah ditulis, yang kecil dan halus atau yang besar daripada setiap perbuatan."
"Untuk itu wahai Amirul Mukminin, janganlah tuan menjatuhkan hukuman kepada hamba Allah dengan kejahilan dan jangan memilih wakil daripada mereka yang bersifat sombong lagi takbur. Nanti mereka tiada berbelas kasihan kepada rakyat jelata dan tidak bertanggungjawab. Padahal yang akan memikul dosa mereka ialah diri tuan sendiri."
"Janganlah tuan terpedaya oleh orang di sekeliling tuan yang mendapat kesenangan dunia kerana kedudukan tuan, nanti tuan akan kehilangan nikmat akhirat. Jangan dipercayai kekuatan tuan hari ini, ingatlah ketika tuan lemah berdiri di hadapan Allah, pada majlis yang dihadiri malaikat, nabi dan rasul. Hari itu seluruh wajah tertunduk ke bumi lantaran hebatnya kuasa Ilahi."
"Adapun diri hamba ini wahai Amirul Mukminin, meskipun nasihat hamba ini tiada kelebihannya dibandingkan nasihat orang terdahulu, namun cinta hamba kepada tuan tidaklah berkurangan. Terimalah surat dan nasihat hamba ini umpama semangkuk ramuan ubat yang diberikan oleh seorang amat cinta kepada sahabatnya yang sakit, walaupun pahit disuruh juga sahabatnya itu menelan kerana berharap sangat akan kesembuhannya."
Dalam surat ini kita menemukan cinta sejati antara seorang hamba Allah kepada saudaranya seagama. Seseorang yang ikhlas amat menyukai nasihat dan teguran membina, sebaliknya membenci pujian memabukkan.
Bagaimanakah cara menenangkan hati dan perasaan ketika menerima teguran? Supaya kita tidak terasa sakit dan boleh melapangkan dada dengan penerimaan yang tulus? Beberapa perkara berikut perlu diambil perhatian;
Yakin dan percaya bahawa pandangan kita betul tetapi mengandungi kemungkinan salah, sedangkan pendapat orang lain salah tetapi mengandungi kemungkinan betul.
Jangan pandang siapa yang mengatakan tetapi lihatlah apa yang dikatakan.
Teguran itu mungkin ilham daripada Allah yang dititipkan melalui insan lain.
Bersangka baik kepada penasihat, dia menasihati kita kerana cinta dan sayang.
Syukur dan reda kepada Allah bukan kepada orang yang memberi nasihat.
Apabila hubungan insan ditegakkan atas asas nasihat, teguran, amar makruf nahi mungkar dan dakwah kepada kebaikan nescaya akan tertegaklah umat yang bersih, ikhlas dan maju ke hadapan. Kerana amalan mereka saling menjaga dan membimbing ke jalan yang diredai Allah.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Monday, June 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment