Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
excopgsm@yahoo.com
MAHKAMAH Syariah boleh menjatuhkan hukuman dalam kes jenayah yang diperuntukkan dalam Enakmen atau Akta Jenayah Syariah Negeri. Dalam bidang kuasa menjatuhkan hukuman kes jenayah, Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman maksimum denda RM5,000, penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan rotan tidak melebihi enam kali sebatan.
Had ini diperuntukkan oleh akta yang digubal Parlimen iaitu Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984. Akta itu sebenarnya mengongkong Badan Perundangan Negeri daripada menggubal hukuman lebih berat kepada pesalah syariah.
Akta itu hendaklah dikaji semula bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah supaya setara dengan bidang kuasa rakan mereka di Mahkamah Sivil. Banyak aspek lain seperti kaedah rotan, hukuman khidmat masyarakat, pembayaran ganti rugi dan sebagainya masih boleh dibincangkan untuk tujuan penambahbaikan. Namun begitu, ruangan kali ini hanya akan memfokuskan kepada aspek hukuman penjara saja.
Hukuman penjara bukan hanya dijatuhkan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia, malah ia juga dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di setiap negeri di Malaysia. Walaupun hukuman penjara oleh Mahkamah Syariah terhad kepada tempoh maksimum selama tiga tahun saja (berbanding Mahkamah Sivil yang boleh menjatuhkan hukuman penjara sehingga seumur hidup) namun hakikatnya memang mahkamah syariah mempunyai kuasa dan telahpun menjatuhkan hukuman penjara terhadap pesalah syariah seperti dibenarkan undang-undang.
Ada lebih 60 kesalahan jenayah syariah mempunyai peruntukan penjara seperti mengikut Enakmen Jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan beberapa undang-undang lain lagi.
Sebenarnya falsafah hukum penjara dalam Islam bermotifkan antara lain memberi peluang kepada pesalah menjalani sesi pemulihan dan bertaubat. Ia bukan bertujuan menyeksa pesalah dengan menarik balik hak kebebasan mereka.
Ia juga berbeza dengan hukuman penjara sivil. Sepatutnya pesalah syariah ini diberi ruang dan peluang bagi memperbaiki kesilapan lalu dengan penekanan kepada aspek akidah, akhlak dan syariah.
Malangnya, buat masa ini semua pesalah sama ada pesalah jenayah ataupun jenayah syariah ditempatkan dalam penjara yang sama. Bayangkan seorang pesalah jenayah syariah seperti berpoligami tanpa kebenaran ataupun melanggar fatwa mufti diletakkan dipenjara yang sama dengan pesalah dadah, rogol dan merompak.
Sudah tentulah keperluan kedua-dua pesalah ini berbeza. Mereka juga perlu menjalani aspek pemulihan melalui kaedah berlainan juga. Tetapi pentingnya keperluan berbeza ini seolah-olah tidak langsung mendapat perhatian pihak berwajib.
Pesalah syariah perlu diberi penekanan dalam aspek pemulihan akidah, akhlak dan tidak boleh disamakan dengan pesalah lain. Dikhuatiri pesalah syariah mungkin terpengaruh dengan pesalah lain dan apabila keluar kelak mereka bukannya insaf atas kesalahan dilakukan tetapi lebih teruk daripada itu, cuba melakukan kesalahan lain pula setelah mempelajarinya dalam penjara.
Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan mekanisme untuk mengasingkan penjara pesalah syariah daripada pesalah jenayah lain dan modul khusus dibuat bagi memfokuskan dalam tempoh tahanan itu pemulihan akidah, akhlak dan adab dilakukan supaya apabila mereka keluar dari penjara dengan penuh keinsafan dan bertaubat tidak akan mengulangi kesalahan dilakukan itu.
Mungkin lontaran pandangan ini membawa implikasi besar daripada segi kewangan kerajaan dan perbelanjaan serta penjawat pegawai awam namun, ia dilihat sebagai perlu memandangkan kadar kesalahan jenayah syariah semakin hari semakin berganda.
Ia juga tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan apatah lagi apabila melihat situasi di penjara sivil yang terlalu sesak tidak memungkinkan pesalah syariah mendapat program yang boleh menginsafkan mereka.
Mungkin juga dasar kerajaan untuk berhemat dalam perbelanjaan sekarang dikatakan tidak mewajarkan pandangan ini direalisasikan, namun keperluan mendesak ini perlulah disegerakan bagi menjamin dan memperbetulkan akidah serta akhlak umat Islam.
Keperluan penjara berasingan bagi pesalah syariah amat ketara buat masa ini kerana sistem penjara yang ada sekarang gagal mengekang pesalah mengulangi kesilapan mereka. Sering kali kita dengar pesalah mengulangi kesalahan mereka semata-mata ingin kembali ke penjara kerana mereka merasakan lebih selesa berada di belakang tirai besi.
Hal ini mengakibatkan kerajaan membelanjakan banyak wang awam bagi menanggung mereka di penjara. Sifat punitif hukuman penjara sudah dikesampingkan kerana tiada atau kurangnya nilai keagamaan disemai dalam modul pemulihan di penjara.
Bukanlah penulis mengatakan tiada langsung program keagamaan diadakan di penjara tetapi apabila dicampurkan antara pesalah berat dengan pesalah syariah, adalah tidak sesuai bagi mereka ini dikumpulkan bersama.
Bagi tujuan pemulihan terutama pesalah berkaitan kesalahan akidah, kaunseling agama oleh mereka yang terlatih boleh dilaksanakan. Untuk itu jabatan kerajaan lain boleh bersama-sama membantu seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti dan Jabatan Kebajikan.
Di samping itu, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan juga boleh membantu pihak penjara syariah dalam program yang akan diadakan di sana. Begitu juga penyelidik dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi boleh membantu menjayakan dasar ini. Kerjasama mantap ini sudah pasti akan membuahkan hasil yang baik bagi memulihkan pesalah syariah.
Pesalah syariah khususnya berkaitan akidah sebenarnya adalah orang yang ingin mencari hidayah Allah pada mulanya. Tetapi diakibatkan mereka tidak mempunyai asas Islam yang kukuh mereka terjebak dalam lembah kekeliruan dan menjangka apa yang diamalkan itu adalah benar.
Landasan yang benar tidak dibina untuk mereka semasa kecil, itulah sebabnya mereka mudah tergelincir daripada landasan Islam. Dengan adanya penjara syariah yang memfokuskan menarik kembali mereka ke jalan yang benar, peluang untuk mereka kembali adalah cerah.
Program penghayatan agama, kesedaran dan keinsafan, peningkatan akhlak Islamiah, pemantapan akidah dan nilai budaya Islam juga perlu dititikberatkan dalam modul dakwah di penjara syariah ini. Dengan cara itu pesalah syariah akan menginsafi kesalahan yang mereka lakukan dan peluang untuk membuka lembaran baru amat besar.
Oleh demikian, demi pemulihan ke atas pesalah syariah, adalah perlu kerajaan mengkaji mengadakan penjara berasingan bagi golongan ini. Pelaksanaan penjara berasingan akan membawa kesan besar kepada pesalah dan juga sistem keadilan syariah di negara ini.
Diharapkan mereka yang dibebaskan dari penjara syariah mampu menjadi orang yang beriman dan insaf atas kesalahan lalu. Itulah sebenarnya matlamat hukuman penjaga dalam Islam.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment