Oleh Mohd Shukri Hanapi
SETIAP manusia yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup meyakini bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, manakala Nabi Muhammad adalah Rasul-Nya. Maknanya mereka mengakui status sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhammad SAW yang mengamalkan semua ajaran dibawa Baginda.
Memang hakikatnya, pengabdian atau perhambaan diri kepada Allah adalah fitrah yang tertanam dalam diri seseorang manusia. Allah berfirman yang bermaksud, "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami telah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Surah al-A'raf, ayat 172)
Sebagai hamba Allah, manusia mesti sentiasa mengabdikan diri atau beribadat kepada Allah. Ibadat itu pula tidak terhad kepada perkara keagamaan saja, tetapi merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.
Ringkasnya, ibadat bermaksud merendah diri, tunduk, taat dan patuh, yakni pengabdian kepada Allah melalui perbuatan, perkataan dan pengakuan hati yang berlandaskan syariat Allah serta mengakui dan meyakini bahawa Allah saja yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan.
Memandangkan semua perbuatan, perkataan dan pengakuan hati manusia yang berlandaskan syariat Allah itu dikira sebagai ibadat, ulama membahagikan ibadat itu kepada dua jenis, iaitu ibadat khusus dan ibadat umum.
Ibadat khusus ialah semua amalan khusus yang disyariatkan Allah sama ada berbentuk fardu atau sunat seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, zikir dan membaca al-Quran.
Secara mudahnya, ibadat khusus merujuk kepada amal kebaikan membabitkan hubungan manusia dengan Allah. Ibadat itu wajib dan digalakkan ke atas setiap umat Islam yang mukalaf. Apabila ibadat khusus dilaksanakan, mereka akan diberikan pahala. Jika meninggalkan ibadat khusus yang bertaraf fardu, mereka akan mendapat dosa.
Melalui pelaksanaan ibadat khusus, manusia sebenarnya menegakkan hubungannya dengan Allah dan apabila terjalin hubungan dengan Allah, manusia sebenarnya menegakkan dan membangunkan pembangunan kerohanian mereka.
Ibadat umum pula, semua amalan kebaikan yang disyariatkan Allah bagi menghubungkan manusia sesama manusia dan manusia dengan sumber alam demi kebaikan dan keharmonian hidup bersama.
Melalui pelaksanaan ibadat umum, maka tertegaklah hubungan sesama manusia dan dengan sumber alam untuk membangunkan pembangunan material dan fizikal.
Jelaslah, ibadat khusus membawa kepada pembangunan kerohanian, manakala ibadat umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Gabungan kedua-dua pembangunan inilah yang dikatakan pembangunan berteraskan Islam.
Kesan pengamalan ibadat khusus akan menghapuskan dosa dan kesalahan kecil seseorang. Di samping itu, ia juga melahirkan individu berakhlak mulia seperti taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, bersyukur, kasih sayang, tolak ansur dan bersikap lemah lembut.
Adapun kesan pengamalan ibadat umum pula akan melahirkan masyarakat yang taat kepada pemimpin negara, hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu, hormat menghormati dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi serta memajukan negara.
Oleh itu, untuk menegakkan pembangunan yang menyeluruh (pembangunan kerohanian, fizikal dan material), kedua-dua ibadat khusus dan umum perlu dilaksanakan sekali gus mengikut kaedah dan peraturan ditetapkan Allah.
Sesungguhnya setiap ibadat ada kaedah pelaksanaannya. Jika kaedah itu tidak dipatuhi dan diikuti dengan bersungguh-sungguh, maka amalan yang dilakukan tidak akan dikira sebagai ibadat. Malah ia hanyalah perbuatan yang sia-sia saja.
Kaedah pelaksanaan ibadat khusus yang membentuk pembangunan kerohanian tidak terlepas daripada ilmu fardu ain iaitu tauhid, fekah dan tasawuf. Dalam mengerjakan solat, puasa, haji dan sebagainya, ketiga-tiga unsur ini mesti dilaksanakan secara sepadu.
Contohnya, dalam mengerjakan ibadat solat, puasa dan haji, rasa ketauhidan kepada Allah mesti menjadi tunjang, manakala ilmu fekah pula menggariskan peraturan dan tasauf pula melahirkan perasaan khusyuk dalam beribadat.
Ibadat umum pula, kaedahnya ditentukan oleh tiga syarat utama iaitu niat melakukan amalan kerana Allah semata-mata; kewajipan pelaksanaan ibadat khusus tidak diabaikan dan ketiga, pekerjaan atau usaha dilakukan hendaklah sesuai dengan syariat Islam.
Oleh demikian, walaupun seorang peniaga itu dilihat mengerjakan perniagaannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh, tetapi pada masa yang sama dia mengabaikan syarat di atas, maka segala-galanya itu tidak mempunyai sedikit nilai pun di sisi Allah.
Samalah dengan seorang pengurus atau pentadbir yang mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi dengan dedikasi, ikhlas, jujur dan amanah, tetapi dia bersikap mengabaikan pengamalan ibadat khusus, maka amalannya juga tidak dikira sebagai ibadat.
Jelas di sini kedua-dua ibadat itu tidak boleh dilakukan sesuka hati dan sambil lewa saja. Ini kerana Islam mementingkan kualiti dan kecemerlangan melakukan ibadat. Ibadat dilakukan secara sambil lewa atau yang mempunyai maksud tertentu tidak akan diterima Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila Allah menghimpunkan semua manusia pada hari akhirat, berserulah seorang penyeru: Sesiapa yang melakukan amalan kebaikan kerana Allah dan juga manusia, maka hendaklah dia mencari pahala amalan itu daripada manusia itu kerana sesungguhnya Allah tidak memerlukan sekutu yang lain." (Riwayat al-Tirmizi)
Ibadat yang dikehendaki oleh Allah ialah ibadat khusus dan umum. Ini bererti segala aspek hidupan Muslim sepatutnya menjadi ibadat kepada Allah. Ini bertepatan dengan fungsi kejadian manusia untuk pengabdian atau beribadat kepada Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku." (Surah al-Zariyat, ayat 56)
Friday, June 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment