MEMBINA BANGSA: Usaha murni melahirkan belia cemerlang, gemilang dan terbilang harus didokongi bersama supaya menjadi kenyataan. - Gambar hiasan
Masyarakat caca-marba jika remaja dibiar 'hanyut' dengan budaya penjajah
KETERLALUAN dalam mengejar kebendaan yang bermaharajalela sekarang turut mempengaruhi dan mencetuskan krisis serius dalam bentuk kemelut kemanusiaan. Ia mengakibatkan terhakisnya ciri dan nilai kemanusiaan yang akhirnya membawa kehilangan jati diri serta misi kemanusiaan di dunia ini.
Harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan budaya cemerlang, gemilang dan terbilang adalah suatu garis landasan ke arah memberikan matlamat yang jelas kepada masyarakat dan negara.
Kerajaan, pertubuhan belia, generasi muda dan kelompok dewasa hendaklah sama-sama saling sokong-menyokong bagi merealisasikan harapan untuk membudayakannya.
Mereka yang cemerlang mesti bersedia membimbing dan membantu rakan lain. Sifat bagai 'enau dalam belukar' perlu dijauhkan. Budaya saling sokong menyokong perlu ditanam dalam generasi muda.
Kegagalan untuk bersaing secara sihat akan hanya mendatangkan keburukan kepada masyarakat dan negara. Persaingan yang tidak perlu pula boleh melemahkan usaha menuju kecemerlangan.
Manusia dicipta secara fitrahnya mempunyai dua fungsi besar iaitu menyembah Tuhan dan mengamalkan segala perintah serta meninggalkan segala larangan agama serta menjadi pemimpin yang memakmurkan muka bumi.
Ini merujuk kepada hubungan manusia dengan alam dan penghuninya. Dua fungsi manusia ini jika dizahirkan akan menjadi sebahagian daripada pencetus ketamadunan dan memberi makna jati diri sebenar manusia.
Firman Allah yang bermaksud: "Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebajikan, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka selalu menyembah." (Surah Al-Anbiyaa', ayat 73)
Kualiti jati diri manusia sebenarnya boleh dilihat melalui kemampuannya menyumbang dan memberi manfaat kepada manusia lain. Dia tidak sekadar menjadi pengguna kebendaan tetapi sebaliknya mencipta sesuatu yang boleh dimanfaatkan bersama.
Kemelut yang ada hari ini menjadi semakin rumit khususnya dalam arus globalisasi yang melanda. Pelbagai cabaran mengancam dalam pelbagai bentuk lingkungan menuntut supaya kita semua berfikir, merenung, meneliti dan mengatur rencana bagi menghadapi cabaran getir ini.
Cabaran besar hari ini ialah untuk mengekalkan keutuhan negara, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi, sambil menentukan negara membangun dengan acuan sendiri berlandaskan agama dan budaya kita.
Ia menjadi lebih mencabar kerana Malaysia ialah sebuah negara pelbagai bangsa dan agama. Setiap kaum mempunyai keperluan dan kehendak tersendiri. Kewujudan persaingan tidak sihat antara kaum dengan melupakan kontrak sosial akhirnya nanti menggugat keutuhan negara.
Penjajahan akal budi melalui dominasi ideologi, budaya dan agama membawa banyak implikasi sosial khususnya peleburan budaya, pemikiran dan bahasa masyarakat teras. Penjajahan budaya menghasilkan generasi hamba yang terkongkong dari segi minda akibat serangan pemikiran yang lebih bahaya daripada serangan bersenjata.
Generasi hamba ini akan mengagungkan budaya dan bahasa penjajah serta memperkecil, merendahkan budaya sendiri kerana menganggap tidak relevan dengan perkembangan zaman. Kita dilalaikan oleh hiburan melampau dan tidak berfaedah maka lahirlah masyarakat yang merelakan diri dijajah kerana kelemahan dalaman dan perpecahan sesama sendiri.
Oleh itu, perancangan pembangunan harus dibuat dengan teliti, mengambil kira aspek kemanusiaan dan kesan sosial kerana masyarakat akan menjadi carca-marba berikutan ketiadaan perancangan infrastruktur yang mengambil kira faktor kemanusiaan.
Kebelakangan ini, harta dan kekayaan menjadi mercu tanda kejayaan seseorang. Golongan berpendapatan tinggi semakin besar sehingga mewujudkan jurang dengan golongan miskin kerana ketiadaan semangat persaudaraan untuk membantu orang miskin dan menderita.
Mereka sebaliknya mulai mencari hobi baru yang melambangkan status barunya. Kemewahan yang dimiliki akhirnya menjadi pembaziran kerana tidak diletakkan pada tempat sebenar.
Firman Allah yang bermaksud: "Hai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah ) sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah orang zalim." (Surah al-Baqarah, ayat 254)
Suasana dan perkembangan semasa yang semakin kompleks memerlukan kita mencanai generasi belia berdasarkan acuan yang tepat mengikut agama serta budaya Malaysia. Sejajar dengan ini, empat ciri penting perlu diketengahkan bagi mengisi agenda membina belia cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pertamanya, membina generasi mencintai ilmu dan terdidik dengan didikan komprehensif dari segi akal, fizikal, emosi dan roh. Belia berjiwa merdeka mempunyai semangat tinggi untuk bersaing, berdikari, berbangga dengan agama serta sanggup mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.
Keduanya, belia mesti berdisiplin tinggi dan menegakkan atas kesedaran sendiri dan kumpulan. Disiplin dalam erti kata sebenar ialah usaha yang dilakukan secara berterusan, berencana dan serius.
Ketiganya, belia mesti bijak meletakkan sesuatu pada tempatnya atas dasar kesucian jiwa dan raga. Mereka melaksanakan tanggungjawab dan peranan kepada agama, bangsa dan negara dengan saksama.
Belia juga mesti membina keazaman kental dalam diri untuk bersama membangunkan negara dan manusia. Mereka juga adalah generasi gagah, cekal dan tabah dengan segala rintangan yang datang. Namun mereka tetap seimbang dan sederhana dalam apa juga keadaan dihadapi.
Di samping itu, pembabitan belia dalam proses membuat keputusan mesti ditingkatkan supaya pemimpin belia diberikan suara dan terbabit dalam jawatankuasa peringkat nasional. Ia kerana pembabitan pemimpin belia dalam jawatankuasa akan membawa suara generasi belia.
Pergerakan belia juga adalah medan latihan bagi melahirkan kepemimpinan. Ia melatih generasi muda mempunyai dan menghayati idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Pemimpin belia dididik bahawa kepemimpinan adalah amanah, bukannya habuan harus dibanggakan.
Kita juga harus memberi ruang kepada generasi muda memimpin dan membuat keputusan terutama membabitkan rakan sebaya. Mereka diajar berani mengetengahkan pandangan baru dan mengemukakan penyelesaian alternatif kepada permasalahan yang ada.
Pergerakan belia perlu sentiasa rapat dengan masyarakat dengan mengikis pendekatan elitis di kalangan ahli pergerakan. Pertubuhan belia harus lebih responsif terhadap permasalahan rakyat dan mampu membela kelompok terpinggir.
Pembinaan jati diri belia perlu lebih terbuka, tidak tertakluk kepada aspek budaya, ekonomi atau politik semata-mata. Ia perlu lebih menyeluruh serta dirasai semua lapisan masyarakat. Usaha murni melahirkan belia cemerlang, gemilang dan terbilang harus didokongi bersama supaya menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment