TETAP BERSABAR: Mendapat layanan terbaik serta berkualiti menjadi harapan setiap insan. - Gambar hiasan
Umat berkualiti anggap pekerjaan amalan salih, lambang pengabdian diri
KUALITI sebagai satu istilah dalam pengurusan. Kesedaran pentingnya kualiti semakin meningkat apabila timbul gerakan kepenggunaan, iaitu gerakan menuntut hak sebagai pengguna.
Kesedaran terhadap kualiti semakin meningkat apabila wujud pelbagai pertubuhan yang menjaga hak pengguna. Sebelum istilah kualiti dipakai secara meluas, masyarakat Melayu menggunakan istilah mutu sebagai mana tercatat dalam cogan kata 'Bersekutu Bertambah Mutu'.
Apa yang dimaksudkan dengan mutu atau kualiti itu? Dalam konteks pengurusan konvensional kualiti umumnya dikaitkan dengan kepuasan pelanggan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Dalam hubungan inilah terungkap definisi kualiti sebagai memenuhi harapan pelanggan. Definisi itu diubah suai dengan menambah satu kata munasabah mengiringi kata harapan. Oleh itu, kualiti diertikan sebagai memenuhi harapan pelanggan yang munasabah.
Dalam tradisi kita kualiti lebih merujuk pengertian manfaat. Sesuatu itu dianggap berkualiti kerana ia bermanfaat dan berguna. Ayat 17 surah al-Ra'd di atas mengisyaratkan makna sebenar kualiti yang berpaksikan manfaat serta betapa besarnya kuasa kualiti sebagai penentu kehidupan. Kata al-Zabad (buih) yang digunakan dalam ayat itu adalah lambang suatu yang tidak berkualiti rapuh, tidak memiliki, hampas dan tidak berguna.
Sesuatu yang tidak akan senasib dengan buih yang tidak berguna dan akan segera menghilang kerana tidak memiliki daya tahan. Sebaliknya hanya yang berkualiti saja mampu bertahan kerana sifatnya terus menerus relevan dalam erti dapat memberi manfaat kepada manusia. Demikianlah hakikat kualiti menurut perspektif Qurani yang menjadikan manfaat sebagai terasnya.
Kualiti dalam erti sedemikian itulah yang menjadi faktor kelangsungan, menepati ungkapan kualiti bererti kelangsungan. Sesuatu produk barangan dianggap berkualiti selama masih membawa manfaat kepada pelanggan. Semakin banyak manfaatnya semakin tinggilah kualitinya. Dengan menjadikan manfaat sebagai kriteria, bererti barangan yang membawa mudarat tidak dapat diterima sebagai berkualiti meskipun mungkin permintaan pasarannya tinggi dan memuaskan pelanggannya. Barangan seperti arak, dadah berbahaya dan barangan lain yang haram di sisi hukum syarak pada hakikatnya adalah tidak berkualiti.
Ternyata kualiti dari perspektif Islam mempunyai dimensi jasmani rohani. Kerana itu ia tidak hanya perlu pula menepati syariat sebagai mana yang diperincikan dalam hukum ilmu fiqh, termasuk pengawalannya dalam lingkungan daruriyat (keperluan asasi dan mendesak), hajiyat (keperluan biasa) dan tahsiniyat (keselesaan).
Kualiti tidak harus terlalu mewah sehingga menjadi pembaziran. Urusan jual beli diperincikan begitu rupa dalam fiqh mu'amalat, lengkap dengan hukum dan etikanya adalah dengan tujuan antara lain untuk memelihara dan menjamin kualiti.
Kualiti tidak hanya tertumpu pada produk barangan, tetapi meliputi yang lain juga termasuk manusia dan perkhidmatan atau amalnya. Istilah salih (baik) yang dipakai secara meluas dalam teks keagamaan adalah juga membawa erti kualiti yang merujuk amalan (termasuk khidmat), barangan dan manusia.
Kualiti salih digunakan juga dalam konteks benda dan manusia seperti dalam sabda Nabi: "Sebaik-baik harta ialah harta yang baik dan dimiliki oleh orang yang baik pula". Hadis itu menyebut harta yang sebaik-baik (berkualiti) dengan kalimat al-mal al-salih, dan orang yang baik (berkualiti) pula disebut sebagai al-Rajul al-salih.
Dengan kata lain, objektif al-Quran adalah untuk membebaskan manusia daripada segala bentuk belenggu menjadi manusia berkualiti, manusia sempurna sifat kemanusiaannya dan mampu melaksanakan tanggungjawab pengabdiannya (kepada Allah) dan berbakti (kepada manusia) dengan sebaik-baiknya (prestasi berkualiti).
Ciri manusia berkualiti tentunya banyak, termasuk antara yang terpenting ialah kemampuan menyumbang (produk dan khidmat yang bermanfaat) kepada manusia lain. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Nabi lewat sabdanya: "Manusia terbaik adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain".
Manusia berkualiti adalah manusia penyumbang dan manusia produktif. Faham kualiti seperti itu sebenarnya dalam manusia berguna". Memang manusia faktor penentu tercapainya kualiti. Hanya pekerja berkualiti mampu menghasilkan produk berkualiti baik barangan dan perkhidmatan.
Antara kriteria penting kualiti menurut perspektif Islam termasuklah, manfaat, bukan mudarat. Barangan atau perkhidmatan yang berkaitan harus membawa manfaat yang diiktiraf oleh syarak atau sekurang-kurangnya tidak bertentangan dengan syarak.
Atas asas itu barangan yang haram menurut syarak seperti arak, meskipun daripada jenis yang terbaik sekalipun, ia tetap dianggap tidak berkualiti kerana mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya.
Bagi perkhidmatan yang membawa kerosakan, seperti muamalat berunsur riba. Meskipun mungkin dilaksanakan dengan cara yang 'terbaik' ia tetap tidak dapat diterima sebagai berkualiti.
Tercapainya keadaan saling rela antara semua pihak terbabit, misalnya antara penjual dengan pembeli, antara pemberi dengan penerima perkhidmatan. Dalam kaitan ini yang harus puas bukan cuma pelanggan, tetapi juga penjual atau pihak yang memberikan khidmat. dalam Islam tidak ada istilah "menang sendiri", tetapi "menang bersama".
Bagi Muslim keredaan Allah adalah matlamat tertinggi segala amalnya. Tidak ada ertinya amal yang dijulang sebagai 'khidmat cemerlang', jika tidak diterima oleh Tuhan sebagai 'amal salih. Manusia berkualiti seperti sahabat Nabi, setiap kali disebut namanya tercantum bersamanya ungkapan doa "radiya 'Llahu 'anh" (semoga Allah meredainya).
Untuk menjadikan sesuatu pekerjaan itu berkualiti amal salih mendapat keredaan Tuhan, maka ia harus bertitik tolak daripada niat pengabdian kepada Allah dan dilaksanakan dengan cara yang menepati ajaran-Nya. Kualiti adalah prestasi terbaik yang dapat dilakukan, menepati tahap takwa dan ihsan. Rasulullah sepanjang hayatnya sebagai manusia pekerja dan Rasul pesuruh Allah. Junjungan cemerlang dalam segala bidang yang diceburinya: bidang dakwah, pentadbiran dan perniagaan.
No comments:
Post a Comment