Saturday, June 21, 2008

Darul Quran ambil pelajar OKU

Oleh Hasliza Hassan

Warga cacat penglihatan berpeluang dalami pengajian mulai November

ORANG kurang upaya (OKU) khususnya orang buta yang berminat mendalami ilmu al-Quran boleh mengikuti pengajian di Darul Quran apabila kerajaan membuka pengambilan pertama golongan berkenaan pada November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata kemasukan pelajar OKU ke Darul Quran bagi membolehkan mereka mendapat bimbingan untuk mengembangkan bakat serta minat mempelajari al-Quran.

Katanya, usaha kerajaan itu bagi mendekatkan al-Quran kepada semua lapisan masyarakat termasuk OKU supaya kelebihan yang ada pada mereka dapat dimanfaat dalam usaha mengembangkan syiar Islam.

"Pengambilan terbuka kepada OKU ini kerana kita lihat ramai orang buta yang boleh membaca al-Quran dengan baik mengalunkan ayat suci di pasar malam untuk mendapatkan derma. Oleh itu, kita mahu kumpulkan mereka supaya dapat dibimbing melalui saluran betul.

"Dengan ilmu yang ada kita mahu mereka menyumbang kepada negara kerana jika lihat negara Arab, orang buta adalah imam dan qari yang hafaz al-Quran," katanya pada sidang media selepas program peringkat akhir Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam Khamis lalu.

Beliau berkata, pengambilan pelajar mengikuti pengajian al-Quran di Darul Quran dibuka kepada OKU berumur 18 tahun ke atas yang berminat dan memenuhi syarat ditetapkan.

Mengenai program realiti terbitan TV9 yang sudah memasuki musim ketiga, Mashitah mengalu-alukan usaha stesen televisyen berkenaan memartabatkan al-Quran dengan mendekatkan kitab suci itu kepada masyarakat.

Katanya, program seumpama boleh menarik penonton mendalami ilmu pembacaan al-Quran di kalangan beliau dan bagi mereka yang sudah mempunyai asas, dapat meningkatkan kemahiran membaca al-Quran secara berlagu dengan baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata segmen baru diperkenalkan AQ3 berjaya menarik minat penonton apabila secara tidak langsung mereka juga menjadi sebahagian daripada peserta yang mempelajari ilmu pembacaan al-Quran.

Beliau berkata, bantuan belajar seperti grafik dan maklumat mengenai ayat yang akan dibaca membolehkan penonton bersedia di depan televisyen untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama peserta AQ3.

Katanya, berdasarkan maklum balas diterima penonton gembira dengan pembaharuan dilakukan dan ia terbukti melalui peningkatan rating siaran mingguan yang mencapai 800,000 penonton berbanding musim lalu.

"Istilah yang digunakan juri akan ditunjukkan supaya penonton tahu apa dimaksudkan. Malah, sebelum bersiaran, kita akan meminta mereka bersedia dengan al-Quran. Oleh itu, setiap minggu penonton juga belajar mengenai ilmu al-Quran.

"Matlamat kita ialah pada akhir program AQ baik daripada musim satu hingga tiga ini, bukan untuk menentukan siapa yang menang atau menjadi juara tetapi memberi ilmu kepada pelajar serta penonton," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan rating penonton peringkat akhir AQ3 akan menunjukkan peningkatan antara 1.6 juta hingga 1.7 juta penonton melebihi 1.3 juta yang dicapai pada program peringkat akhir AQ musim kedua.

Bukhari berkata, AQ3 juga mengetengahkan kelainan melalui segmen pertama mewajibkan peserta membaca ayat lazim yang sama iaitu biasa didengar terutama ketika solat berjemaah tetapi dengan cara bacaan berbeza.

Beliau berkata, pendekatan itu satu kejayaan besar kepada TV9 kerana AQ kini menjadi program realiti yang mendapat sambutan masyarakat khususnya remaja untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang al-Quran.

Ia membuktikan program AQ mempunyai keunikan tersendiri kerana tujuan utamanya tidak bertumpu kepada usaha mencari pemenang tetapi menjadi sumber maklumat serta ilmu yang boleh dimanfaat penonton daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

"AQ adalah program realiti remaja yang memberi pengetahuan, bimbingan dan kekuatan. Seperti malam ini, semua yang berjaya masuk final adalah pemenang kerana mereka bukan saja membawa pulang hadiah tetapi ilmu serta sahabat.

"Selain memberi pendidikan, AQ membimbing kerana juri tidak hanya memberitahu, malah menunjukkan cara betul untuk menterjemahkan ilmu dalam bentuk bacaan tepat. Insya-Allah, TV9 akan meneruskan program ini pada musim depan serta memperkenalkan konsep baru," katanya.

Mengenai cadangan supaya diasingkan peserta lelaki dan wanita bagi membolehkan pembabitan lebih ramai peserta wanita, katanya, cadangan itu boleh dipertimbangkan tetapi semuanya bergantung kepada penyertaan.

Beliau berkata, melihat kepada sesi uji bakat yang diadakan daripada musim pertama hingga ketiga program AQ, kebanyakan yang hadir adalah peserta lelaki termasuk kumpulan mat rempit yang datang mempamerkan bacaan al-Quran mereka.

"Kita melihat minat ditunjukkan mereka yang hadir sesi uji bakat dibuat di seluruh negara sebagai perkembangan yang sihat untuk menjayakan usaha melahirkan generasi al-Quran," katanya.

No comments: