Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ISLAM menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dengan ini, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)
Bagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, kadang-kadang ada juga yang tersungkur serta rebah tergoda dengan ajakan hawa nafsu hingga terjebak dalam kancah maksiat.
Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi menerangi hatinya yang tercalit karat dosa. Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa.
Taubat bererti kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada segala perbuatan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian Allah.
Taubat membolehkan manusia memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat dan seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan ketaatan penuh keikhlasan kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap hamba-Nya yang tersilap langkah. Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya yang hatinya masih beriman kepada-Nya kecuali dosa syirik.
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar, ayat 53)
Seterusnya, Rasulullah SAW menjelaskan sememangnya manusia tidak terlepas daripada kesilapan dalam hidupnya dan selamanya manusia itu tidak maksum atau terpelihara kecuali nabi dan rasul.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Darimi)
Ini ditambah lagi dengan perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah al-Tahrim, ayat 8)
Maksud daripada nas suci itu, jelas mengambil kira kelemahan manusia tetapi bagi insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah, dia akan segera menyedari serta menginsafi diri terhadap kesilapan dilakukannya.
Maka, dia terus bertaubat kepada Allah dan menyerahkan diri kepada-Nya dengan penuh penyesalan dan seterusnya membulatkan tekad keazaman mempertingkatkan amal soleh dalam kehidupannya.
Inilah antara ciri dan kriteria orang yang benar-benar beriman kepada Allah selari firman-Nya yang bermaksud: "Dan (antara ciri orang bertakwa itu) ialah orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Orang yang demikian sifatnya), balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah Ali Imran, ayat 135-136)
Taubat bukan sekadar melafaz ucapan, sebaliknya mereka yang bertaubat hendaklah menyesal dan insaf terhadap kesilapan terdahulu dan bertekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu.
Lanjutan itu, kehidupan Muslim dihiasi dengan amalan muhasabah dan menilai diri supaya dia dapat mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup penuh onak dan duri. Kemudian, memantapkan jiwa menepis segala bentuk dugaan dan godaan yang mendatang.
Diriwayatkan Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang. Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah, "Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Saturday, June 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment