SAYA sudah bercerai dan ketika perceraian, diperintah bekas suami membayar nafkah edah, nafkah anak, mutaah dan harta sepencarian. Beliau bersetuju memindah milik sebuah rumah dan sebidang tanah kepada saya. Ketika membeli harta itu, saya saja yang membayar sepenuhnya. Nama beliau diletakkan untuk mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerjanya (KWSP). Semua wangnya sudah saya bayar namun beliau masih enggan menandatangani borang pindah milik. Mahkamah turut memerintahkan sebuah kereta Kancil diserahkan kepada saya namun belum diserahkan. Nafkah edah, anak dan mutaah juga masih belum dijelaskan walaupun sudah tiga tahun kes selesai dengan alasan tiada duit sedangkan beliau bergaji RM3,000. Bekas suami akan menerima wang ganjaran kerana menerima tawaran berhenti kerja daripada majikannya. Apakah perlu saya lakukan untuk menjamin hak saya dan anak berjaya diperoleh atau perintah itu hanya sekadar sehelai kertas saja?
Ibu Penyabar,
Klang, Selangor Darul Ehsan.
SEMOGA Allah sentiasa menambahkan kesabaran dalam diri puan mengharungi kehidupan sebagai suatu cara menambahkan pahala. Namun, puan wajar bertindak mendapatkan hak puan dan anak yang sememangnya berhak diperoleh.
Puan boleh mendapatkan nasihat guaman untuk menguatkuasakan perintah yang diperoleh dengan beberapa alternatif permohonan diperuntukkan undang-undang.
Rujukan kes puan dibuat kepada Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003 (ETTMMS). Berkaitan perintah nafkah edah, anak dan mutaah yang diperintahkan kepada suami tetapi selepas tiga tahun masih gagal dipatuhi, puan berhak membuat permohonan mendapatkan saman penghutang penghakiman menurut Seksyen 176 ETTMMS.
Melalui permohonan itu bekas suami sebagai penghutang penghakiman akan dipanggil hadir ke mahkamah untuk diperiksa secara lisan mengenai keupayaan membayar atau menyelesaikan hutang penghakimannya.
Selepas pemeriksaan, mahkamah boleh memerintahkan bekas suami sama ada serta merta membayar hutang penghakiman sekali gus atau secara ditetapkan bayaran ansuran. Kini, mahkamah boleh bertindak agresif melalui permohonan puan menggunapakai Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968 (dirujuk sebagai APBAA) memerintahkan pendapatan bekas suami dipotong secara bulanan oleh majikan dan dibayar kepada puan.
Seksyen 14 APBAA memperuntukkan akta itu turut terpakai dalam hal nafkah yang sudah diperintahkan Mahkamah Syariah.
Jika tidak sempat mendapatkan perintah pemotongan gaji kerana beliau berhenti kerja dan masih gagal membayar hutang diperintahkan secara perintah penghutang penghakiman, puan boleh menurut Seksyen 179 ETTMMS memohon mendapatkan Notis Penghakiman meminta beliau hadir ke mahkamah menunjukkan sebab keingkaran itu.
Jika beliau masih gagal menunjukkan sebabnya, mahkamah boleh mengeluarkan perintah pengkomitan, dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi 30 hari. Walaupun bekas suami dipenjarakan, ia tidak sesekali melupuskan hutang. Seksyen 147 ETTMMS, menetapkan kewajipan pihak berkenaan mematuhi apa-apa penghakiman atau perintah diputuskan mahkamah.
Puan juga boleh memohon perintah bagi pembayaran wang dikuatkuasakan sama ada melalui penyitaan dan penjualan, prosiding garnishee (hiwalah) atau dalam keadaan tertentu perintah pengkomitan menggunakan Seksyen 151 ETTMMS. Jenis penguatkuasaan itu boleh dipohon secara pilihan mengikut mana sesuai.
Perintah penguatkuasaan boleh dilaksanakan melalui memohon perintah pelaksanaan bagi menguatkuasakan perintah menurut Bab 3 Bahagian XVIII ETTMMS di mana puan boleh melalui mahkamah meminta bailif supaya mengambil mana-mana satu atau lebih tindakan.
Tindakan itu termasuk menyita dan menjual harta alih bekas suami, menahan harta alih seperti wang bekas suami yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga (seperti majikan atau bank) atau hutang kena dibayar pihak ketiga kepada bekas suami, menyita dan menghantar serah kepada puan barang yang diperintahkan supaya dihantar serahkan (dalam kes puan merujuk kereta kancil) atau menahan pendapatan bekas suami seperti dihuraikan dalam Saman Penghutang Penghakiman tadi.
Berkaitan perintah harta sepencarian menghendaki bekas suami memindah milik harta tak alih iaitu tanah dan rumah kekal tetapi beliau gagal melaksanakan proses pemindah milikan, puan boleh menguatkuasakan perintah secara perintah pemilikan menurut Seksyen 149 ETTMMS atau dalam keadaan tertentu, secara perintah pengkomitan menurut Seksyen 151 ETTMMS.
Puan juga boleh mendapatkan perintah berkaitan harta tak alih dengan memohon pembayaran wang dan penguatkuasaan pembayaran yang diperintahkan.
Walau bagaimanapun, Seksyen 154 ETTMMS antara lain menetapkan perintah pelaksanaan menguatkuasakan sesuatu perintah tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran mahkamah dalam beberapa keadaan seperti jika perintah mencapai 6 tahun atau lebih.
Oleh itu, bersegeralah memohon ke mahkamah supaya perintah yang diperoleh dikuatkuasakan dan dilaksanakan seberapa segera tanpa menanti sesuatu yang tidak pasti. Ini demi masa depan puan dan anak. Semoga puan tidak berputus asa demi mendapat hak.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke exco@yahoo.com. Layari http:// peguamsyarie.blogspot.com
Thursday, June 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment