Oleh Hasliza Hassan
Penderitaan mangsa bencana beri dorongan untuk terus laksana misi kemanusiaan
MINAT dalam kerja amal yang lahir sejak kecil terus subur dalam sanubari penceramah motivasi yang juga Pengerusi Persatuan Belia Sri Al Ain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menumpukan usaha membimbing remaja dan pelajar, Muhammad Zakaria.
Beliau yang kini bertugas sebagai editor di syarikat penerbitan, tidak pernah jemu menabur bakti serta menghulurkan bantuan kepada pihak memerlukan terutama masyarakat Islam yang menghadapi kesusahan tidak kira di mana juga.
Maka, tidak hairanlah selepas tragedi tsunami pada 2004, beliau melalui Persatuan Belia Sri Al Ain meninjau keadaan kira-kira 40,000 anak yatim di Aceh, kawasan teruk dilanda tsunami bagi melihat bentuk bantuan boleh diberi.
Hasil kata sepakat rakan yang bersedia membantu, persatuan berjaya menubuhkan Rumah Anak Yatim Sri Al Ain yang mampu menempatkan 20 anak yatim di bawah penyeliaan lima petugas dengan modal RM20,000.
"Selain memberi motivasi untuk menghilangkan trauma yang dirasai, mereka dibimbing menghafaz al-Quran. Alhamdulillah, sekarang sudah masuk tahun ketiga dan anak yatim yang kita bantu sudah boleh menghafaz al-Quran, malah ada antara mereka menyambung pengajian di sekolah agama.
"Harapan kita misi kemanusiaan ini dapat diteruskan oleh semua pihak terutama untuk membantu remaja serta anak yatim di kawasan dilanda bencana yang keadaan mereka selalunya memang menyayat hati," katanya.
Katanya, pepatah 'berat mata memandang berat lagi bahu memikul' memang banyak kebenarannya dan hanya akan dirasai apabila golongan bertuah meletakkan diri mereka dalam keadaan daif yang dilalui pihak tidak bernasib baik.
Muhammad berkata, pengalaman melakukan kerja amal banyak mendedahkan beliau kepada kesengsaraan yang dilalui masyarakat bukan saja di negara ini juga negara jiran yang dilanda bencana dan pengajaran daripada itu membuatkan beliau mensyukuri kehidupan dikurniakan Allah.
Justeru katanya, kudrat serta rezeki yang ada akan digerakkan ke arah memberi satu kehidupan baru untuk golongan berkenaan supaya mereka tidak putus harapan kerana walaupun menghadapi kesusahan, masih ada pihak sedia menghulur tangan.
Tidak dinafikan, usaha murni itu bukan semudah disangka apatah lagi untuk mengajak orang lain terbabit sama memandangkan kerja amal bukan satu tugas menarik. Bagaimanapun, perlu ada yang melaksanakannya demi memenuhi tuntutan fardu kifayah.
"Memang ada cabarannya. Apabila kita ajak bantu mangsa bencana di negara berjiran dengan kita, ada yang berkata di Malaysia pun ramai yang susah. Tetapi, susah rakyat di negara kita, susah lagi mereka di tempat lain itu.
"Contohnya, penduduk di Kemboja hanya berasa makan daging setahun sekali ketika Aidiladha tetapi kita makan daging seminggu dua kali. Di Jakarta, saya lihat sebiji telur goreng dadar dikongsi enam orang dan anak kita di sini makan telur dua butir seorang.
"Sebab itu saya kata, jika kita tidak duduk bersama mereka, lalui apa yang mereka harungi setiap hari, sampai bila tidak tahu rasa peritnya. Tetapi apabila sudah merasa, perasaan itu akan terus menghantui dan dari situ hasrat untuk membantu sentiasa membara," katanya.
Beliau berkata, penolakan atau kata-kata negatif tidak pernah melunturkan perasaan untuk membantu kerana hatinya yakin masih ada pihak berkongsi misi dan visi yang diperjuangkan Persatuan Belia Sri Al Ain.
Semua itu dapat dilihat apabila setiap kali berkunjung di kawasan yang dilanda masalah atau malapetaka, beliau akan berjumpa dengan kumpulan sukarelawan sama yang turut berjuang memberi satu pengharapan serta kehidupan baru kepada saudara yang memerlukan bantuan.
Muhammad berkata, kebanyakan perjalanan serta pengalaman menjadi sukarelawan dikongsi dalam ceramah motivasi, sesi latihan kem remaja dan buku tulisannya bagi mendedahkan masyarakat selain menyuntik semangat mereka untuk membabitkan diri dalam program amal.
Berkongsi kisah membantu masyarakat Islam di Phnom Penh, Kemboja, anak kelahiran Rembau itu pernah menaiki lori yang sepatutnya memuatkan 10 penumpang tetapi diisi 40 penumpang untuk perjalanan selama tiga jam.
Perasaan hatinya tersentuh apabila melihat seorang penumpang iaitu seorang nenek tua mendakap erat al-Quran seolah tidak mahu melepaskannya. Apabila ditanya, jawab nenek itu, al-Quran susah diperoleh di sana.
Ketika zaman pemimpin kejam rejim Khmer Rouge, Pol Pot, al-Quran dibakar dan ditanam. Malah, al-Quran yang diberi kerajaan Arab Saudi untuk masjid di Phnom Penh turut menjadi rebutan hingga tidak ada satu pun walau di masjid terbesar di ibu kota itu.
"Sampai ke tahap itu dan kita di sini, al-Quran ada yang tidak dibaca. Justeru, masyarakat perlu sedar kerja amal ini banyak cabangnya dan jika tidak terdaya pergi membantu di tempat mereka, kita boleh menghulur bantuan melalui saluran lain," katanya.
Bagi Muhammad, kerja amal yang dilakukan bukan sesuatu untuk dibangga tetapi beliau percaya dengan qada dan qadar Allah yang membuka jalan baginya menyumbang bakti dengan cara membantu saudara seagama merasai kehidupan lebih bermakna.
Katanya, berdakwah dan menolong mereka yang memerlukan sudah dilakukan, selebihnya bukan tugas manusia sebaliknya kehendak Allah yang menentukan. Sebagai hamba, matlamat beliau adalah mencari keredaan Allah.
Tumpuan beliau kini ialah terhadap kerjaya sebagai editor dan kerja amal menjadi hobi yang tidak akan mati kerana sudah menjadi sebahagian daripada hidup. Apatah lagi, hatinya puas apabila dapat memberi sinar baru serta membuat mereka yang menderita tersenyum semula.
Pada masa sama, beliau berharap dapat bercerita seperti burung pipit apabila Allah bertanya nanti mengenai perkara yang dilakukannya terhadap orang di sekeliling.
Burung pipit membawa setitik air untuk membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim dan burung pipit ditegur burung enggang yang berkata, "Kamu kecil bagaimana hendak memadamkan api yang besar?"
Maka jawab burung pipit, "Wahai burung enggang, aku padamkan api ini supaya jika Allah tanya nanti apa yang kamu buat untuk Nabi Ibrahim, sekurang-kurangnya aku boleh berkata aku bawa setitik air untuk menolong Nabi Ibrahim."
Akhirnya, berkat setitik air itu yang memadamkan api membakar Nabi Ibrahim walaupun hakikatnya bukan air setitik itu tetapi ia menjadi sebab atas izin Allah.
Muhammad berkata, beliau sudah berusaha melakukan sedaya upaya dan sama ada jadi atau tidak hasilnya terpulang kepada Allah. Sekurang-kurangnya, apabila ditanya nanti boleh menjawab seperti burung pipit.
Thursday, June 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment